Ticker

6/recent/ticker-posts

Bagaimana Saya Menjadi Muflis

Definisi muflis dalam bahasa mudahnya ialah tindakan undang-undang terhadap seseorang disebabkan oleh hutang yang tidak dapat dilunaskan. Nilai yang disebut sebagai hutang itu tidak tetap kerana kerajaan telah beberapa kali menukarnya disebabkan ada keperluan pada hemat mereka. Seingat saya, sebelum tahun 2017 jumlah minimumnya ialah RM30,000 dan telah dinaikkan kepada RM50,000. Dan yang terbaru tahun 2020 nilai itu berubah menjadi RM100,000. Manakala kesan besar yang dikenakan terhadap orang muflis ialah hilang keupayaan untuk mempunyai portfolio kewangan yang sihat.
Bagi pembaca yang ingin tahu lanjut, pembacaan yang teliti boleh dilakukan dengan merujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, terutamanya dalam laman web mereka yang pada saya cukup untuk faham dengan menyeluruh. Tulisan kali ini adalah untuk bercerita dan ingat kembali pada pengalaman peribadi saya bagaimana pada awalnya saya terjerat ke dalam status bankrap supaya menjadi teladan kepada pembaca sekalian.

Kisahnya bermula beberapa tahun sebelum ini ketika saya baru sahaja menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda setelah menghabiskan dua tahun setengah dalam tahap Diploma. Waktu itu ada seorang saudara dalam keluarga saya ini baru sahaja pencen wajib dalam kerjaya beliau di dalam sektor kerajaan. Beliau bercadang hendak membuka perniagaan dan memerlukan modal untuk pelaksanaan idea itu. Dipendekkan cerita, ibu saya telah memujuk saya untuk bersama-sama meletakkan nama dengan saudara kami itu dalam satu syarikat, dan membuat pinjaman perniagaan menggunakan nama syarikat tersebut dengan satu badan kerajaan khusus membantu peniaga dalam hal ehwal pembiayaan perniagaan. Wajar untuk dikatakan pada usia begitu, saya ialah seorang yang agak naif disebabkan kurangnya pendedahan terhadap operasi perniagaan dan perancangan kewangan. Pada saya, saudara kami itu boleh dipercayai kerana jawatan terakhir beliau dalam kerajaan agak tinggi, merupakan graduan luar negara, dan mempunyai sijil akademik yang selari dengan bidang perniagaan yang mahu dilaksanakan itu. Tambahan pula, yang memujuk ialah ibu saya sendiri, itu juga salah satu faktor bagaimana akhirnya saya bersetuju. Mentaati ibu bapa secara umumnya dalam Islam ialah satu arahan yang perlu diikuti setiap Muslim.

وَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya."
(Surah Lukman 31: 14)

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”
(Riwayat Tirmizi dan Ibn Hibban)

Namun, Islam juga mengajar pengikutnya supaya sentiasa belajar dan menimba ilmu supaya tidak terperangkap dalam sesuatu musibah yang berisiko menyusahkan kehidupan kita. Ketaatan kepada ibu bapa bukanlah bersifat tetap dan meliputi segala macam situasi. Ada perkara yang tidak perlu pun untuk kita turuti sekiranya pujukan atau suruhan ibu bapa itu kelak akan mendatangkan mudarat kepada kita. Hal ini tidak semestinya berkaitan dengan akidah semata-semata seperti ibu bapa yang berlainan agama mahu kita menganuti agama tersebut. Contoh yang boleh dijadikan hujah ialah dalam tulisan Dr Zulkifli al-Bakri yang bercerita tentang satu hadis bahawa Umar telah menyuruh anaknya, Abdullah bin Umar, supaya menceraikan isterinya. Dalam kitab Syarh Riyadhussolihin, Syeikh Ahmad Hutaibah mengatakan bahawa ibu bapa tidak mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan arah tuju rumahtangga anaknya kerana mereka bukanlah berkeperibadian seperti Umar al-Khattab.

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا
"Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya."
(Surah Lukman 31: 15)

Oleh itu, secara peribadinya, saya berpendapat bahawa dalam isu ini kita perlu lihat kepada peribadi ibu bapa dalam perkara yang khusus. Sebagai contoh, ambil bab perancangan kewangan. Sekiranya ibu bapa kita kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai kewangan, bukan menjadi kewajipan untuk kita patuh pada suruhan mereka dalam isu tersebut. Dengan syarat, kita sebagai anak perlulah lebih mengetahui dan terdedah berbanding mereka. Ibu atau ayah menyuruh kita membeli kereta Toyota yang agak tinggi bayaran bulanannya, sedangkan kita punyai pilihan untuk memilih jenama Perodua yang lebih ekonomik dalam masa sama wujud komitmen-komitmen kewangan lain. Jadi dalam hal ini pendapat peribadi saya tidak perlu untuk ikut kata mereka tetapi haruslah berkomunikasi dengan baik terhadap mereka supaya faham akan situasi yang kita alami.

Berbalik kepada pengalaman saya, setelah saya ikut cadangan ibu, kami pergi ke pejabat utama badan kerajaan yang menawarkan pinjaman peniagaan itu. Sebenarnya, saudara kami itu tidak layak untuk memohon pinjaman disebabkan usianya yang telah lanjut. Sebab itulah dimasukkan nama saya sekali kerana itulah syarat yang dikenakan oleh badan kerajaan itu. Agak pelik kerana untuk pinjaman wang sehingga ratusan ribu, agak mudah untuk badan kerajaan itu meluluskannya asalkan ada penama lain yang lebih muda usianya. Berbanding dengan badan kewangan seperti bank yang ketat kerana status sebagai pelajar tidak menjamin seseorang boleh membayar hutang kerana masih belum mempunyai pekerjaan. Di pejabat tersebut kami menurunkan tandatangan masing-masing di dalam kontrak pembiayaan perniagaan. Sejujurnya satu apa pun tidak saya fahami ketika itu kerana seperti yang disebutkan tadi, saya masih dalam fasa naif ketika itu. Turunkan tandatangan tapi langsung tak membaca pun kontrak tersebut. Ini ialah salah satu ciri-ciri kejahilan yang perlu dijauhi. Para pembaca boleh jadikan kisah saya ini sebagai sempadan supaya tidak ikut kesilapan yang telah dilakukan beberapa tahun lalu. 

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ 
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya."
(Surah al-Isra' 17: 36)

Setelah selesai urusan nama dan pembiayaan, saya tidak lagi terlibat. Ini kerana status sebagai pelajar sepenuh masa ketika itu menyebabkan saya sibuk dengan hal pengajian dan latihan. Segala operasi syarikat pula tidak pernah diberitahu dan saya tidak pula ambil tahu. Ini juga satu lagi kesilapan, namun disebabkan naif dan tidak tahu selok-belok perniagaan, saya cuma bersangka baik dengan saudara kami. Sepatutnya apabila melibatkan nama saya sendiri, haruslah tahu beberapa perkara seperti status kewangan syariat, prestasi jualan syarikat, perkembangan pemasaran perniagaan, hal ehwal pengambilan staf dan lain-lain. Namun ketika usia yang mentah begitu, memang tidak terfikir dek akal langsung. Iyalah, kerja pun belum lagi macam mana hendak tahu semua itu. Kurangnya pendedahan kepada dunia luar dari universiti. Oleh itu, ini kesilapan yang saya belajar daripada perkara ini. Disebabkan tidak punyai pengetahuan mengenai operasi perniagaan, tindakan kemuflisan dikenakan terhadap saya secara tiba-tiba.

Perkara ini berlaku pada tahun 2017 ketika itu saya telah habis belajar dan bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat peruncitan global. Pada satu malam, saya tidak boleh mengeluarkan wang daripada akaun bank saya di mesin ATM. Tindakan pertama saya ialah menelefon khidmat pelanggan bank dan staf tersebut menyarankan supaya pergi ke cawangan di mana saya membuka akaun bank itu kerana beliau tidak dapat mengetahui secara jelas daripada sistem yang digunakan. Setelah merujuk pada cawangan yang dinyatakan itu, barulah saya tahu bahawa tindakan kebankrapan telah dikenakan terhadap saya. Mujur pegawai yang melayan saya itu bersikap empati kerana beliau membantu menelefon pihak pembiaya itu sebagai pengesahan tindakan itu daripada mereka. Apabila mendapat tahu khabar tersebut, luluh hati saya seakan-akan gelap masa depan dan tiada lagi harapan yang ada. Mulalah berfikir segala macam perkara dalam kepala. Pegawai bank itu pun menasihati saya supaya pergi ke Jabatan Insolvensi untuk menguruskan kes saya ini.

Menurut undang-undang, seorang muflis dibenarkan untuk mempunyai satu bank bagi tujuan mendapatkan gaji. Tetapi dengan syarat kita wajib membayar secara automatik atau dalam bahasa banknya ialah 'standing instruction' kepada Jabatan Insolvensi setiap bulan satu jumlah wang yang ditetapkan mereka. Teringat saya pada pegawai Insolvensi tersebut yang agak bersahaja rupa-rupanya beliau juga mengambil Diploma yang sama dengan saya di universiti yang sama. Kiranya beliau ialah senior saya yang agak jauh beza masanya. Beliau turut meluahkan pegawai yang ada tidak cukup untuk menguruskan jumlah orang muflis di negeri ini. Mungkin ini juga faktor mengapa kerajaan sekarang menaikkan jumlah nilai minimum yang boleh dikenakan tindakan bankrap. Saya ketika itu hanya duduk termangu sambil mendengar sebab selepas itu mahu ke bank untuk uruskan buka kembali (unfreeze) akaun bank saya.

Tempoh masa untuk membuka kembali akaun bank tidaklah sekejap. Oleh itu, saya bertindak segera menaip surat rasmi kepada majikan saya supaya memberikan gaji melalui cek tunai (cash cheque). Kalau tidak, bagaimana saya mahu tanggung perbelanjaan bulanan kerana masa yang diambil itu agak lama sebab beberapa bulan saya sempat menerima cek tunai untuk mendapatkan gaji saya. Nasib saya baik kerana majikan tidak mengenakan sebarang tindakan atau buang kerja disebabkan kebangkrapan ini. Setakat pembacaan saya, orang muflis hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, tidak boleh bekerja dalam profesion tertentu, hilang jawatan dalam badan berkanun, dan lain lagi. Manakala dalam organisasi swasta, itu tertakluk kepada polisi mereka sendiri. Namun saya percaya secara umumnya kebanyakan syarikat meletakkan muflis atau tindakan undang-undang sebagai kriteria yang tidak boleh ada pada pekerja mereka. 

Rupa-rupanya pengurusan saudara kami dalam perniagaan tersebut begitu teruk apabila diselidik. Wang modal banyak digunakan untuk kos yang tidak berapa penting seperti renovasi pejabat berbanding digunakan untuk tujuan pemasaran. Kedai yang disewa itu tersembunyi daripada pandangan awam, maka lebih patut digunakan untuk menghebahkan kepada komuniti setempat. Operasi jualan pula hanyalah semata-mata mengharapkan tender kerajaan dan juga kehadiran fizikal pelanggan sahaja. Selain itu, surat-surat daripada pemiutang pula tidak pernah diserahkan kepada saya. Itulah puncanya tindakan kebangkrapan itu terjadi secara tiba-tiba dari perspektif saya kerana sebelum itu saya tidak pernah tahu situasi sebenar yang berlaku. 

Begitulah puncanya mengapa perniagaan tersebut jatuh dan tidak dapat membayar balik pembiayaan perniagaan. Faktor utama ialah tidak kompeten menjalankan perniagaan. Apa yang saya belajar ialah perniagaan bukan satu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dapatkan pengalaman terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Jangan kerana kita pernah menjawat pangkat agak tinggi dalam sektor kerajaan membuatkan kita begitu yakin sampaikan berani meminjam wang hingga ratusan ribu ringgit. Jika cara menjual pun kita masih terkial-kial, usahakanlah belajar kerana itulah punca utama untuk mengekalkan perniagaan kita boleh berjalan. Dalam isu ini saya teringat pada kisah Nabi Musa yang telah membantu wanita mendapatkan air.

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.
(Surah al-Qasas 28: 16)

Walaupun kebanyakan asatizah mengaitkan ayat ini dengan hal ehwal pekerjaan dan jawatan, pada saya menjalankan perniagaan juga termasuk dalam bekerja. Cuma kita terpaksa bekerja dengan lebih keras lagi kerana syarikat itu baru sahaja ditubuhkan. Tetapi sebelum itu, pastikan kita ada nilai kuat (kompeten) dan amanah (integriti). Kompeten bermaksud boleh melakukan kerja dan ada kemahiran tertentu. Integriti pula apabila melibatkan perniagaan, pasti kita terlibat dengan perjanjian. Janji dengan kontraktor, janji dengan pembekal, janji dengan pekerja, dan janji dengan pelanggan. Sekiranya kita tak tahu cara menjual, atau menggajikan pekerja yang tahu menjual, sudah tentu kita tidak layak untuk berniaga. Dari sudut amanah pula, sekiranya janji dengan pelanggan pun kita tidak dapat penuhi, lebih elok tanamkan sahaja cita-cita membuat syarikat. Kerana itulah Rasulullah pernah memberikan amaran kepada para peniaga.

إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ، وَبَرَّ، وَصَدَقَ
"Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur."
(Riwayat Tirmizi)

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ
"Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid."
(Riwayat Tirmizi)

Itulah serba ringkasnya bagaimana puncanya saya dikenakan tindakan undang-undang muflis. Kejahilan dan kenaifan diri menjadi punca utama bagaimana semua ini berlaku. Nasihat kepada para pembaca ialah berhati-hati sekiranya ingin membantu sesiapa sahaja sebelum meletakkan nama sendiri sama ada sebagai penjamin atau peminjam sendiri. Lebih malang lagi wang yang dipinjam itu kita sendiri tak merasa langsung tetapi kita pula yang merana dikenakan hukuman bankrap.


















Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement