Sebelum meneruskan pengajian peringkat Diploma, saya tidak tahu yang kita perlukan wang untuk keperluan sepanjang belajar. Fikiran naif saya ketika zaman sekolah ialah hanya perlu beberapa ringgit sahaja untuk bayar yuran macam yuran sekolah. Saya pernah mendapat tawaran ke Politeknik di Mersing, Johor. Saya bersama abang, ibu, dan adik menaiki kereta ke sana yang mengambil masa satu jam lebih. Sampainya di sana, pihak pentadbiran meminta duit bagi tujuan yuran dan penginapan. Ibu saya bertanya bolehkah berhutang terlebih dahulu dalam masa sama akan usahakan memohon pembiayaan PTPTN. Pengurusan Politeknik tidak menerima cadangan tersebut dan kami pun pulang, tidak jadi untuk mendaftar. Jauh di sudut hati saya memang rasa tidak berminat untuk belajar di sana kerana bangunan mereka tidak siap lagi dan ketika itu mereka sedang menyewa rumah kedai sebagai bangunan sementara. Sebab itulah saya rasa tidak suka, kerana tiada suasana universiti seperti yang saya bayangkan dalam minda.
Dipendekkan cerita, saya berjaya menamatkan zaman belajar setelah mengambil masa lebih kurang dua tahun setengah dengan memperolehi sijil Diploma dan Sarjana Muda dalam bidang pentadbiran awam. Pengajian peringkat Diploma saya menggunakan pembiayaan PTPTN sebagai sumber untuk menampung kos sara hidup manakala dalam peringkat Sarjana Muda saya mengambil sumber berlainan iaitu Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Ini disebabkan saya membuat sedikit pembacaan di dalam internet mengenai kebaikan dan keburukan kedua-dua badan ini. Faktor utama saya memilih YPJ ketika itu kerana ada satu kelebihan ketika bayaran balik iaitu rebat yang ditawarkan bukan sahaja kepada pelajar yang mendapat keputusan Kelas Pertama, mereka yang berada dalam Kelas Kedua juga disediakan rebat untuk bayaran balik. Cuma peratusannya tidaklah banyak seperti Kelas Pertama, tetapi bagi saya itu ialah peluang yang tak boleh dilepaskan. Kerana saya membuat penilaian bahawa sekiranya sukar untuk mendapatkan Kelas Pertama, saya masih boleh dapat rebat dengan Kelas Kedua yang saya yakin boleh dapatkan. Setakat semakan saya hari ini, rebat untuk Kelas Kedua tidak lagi ditawarkan oleh YPJ menurut laman web mereka.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
“Wahai orang-orang yang beriman. Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”
(Surah al-Baqarah 2: 282)
Islam mengajar kita untuk menulis kontrak dan perjanjian yang terlibat dengan hutang yang kita lakukan. Selesai habis belajar, saya tidak menangguhkan untuk memohon rebat tersebut. Selepas naik turun pejabat YPJ, saya berjaya mendapat rebat tersebut yang berjumlah RM 5,500 iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan pembiayaan tersebut. Mana hendak cari pemberi biaya pelajaran yang sudi memberikan rebat separuh dari jumlah walaupun hanya mendapat Kelas Kedua dalam keputusan Sarjana Muda. Bermula dari situ, saya pun meneruskan bayaran bulanan kepada YPJ melalui pindahan dalam talian. Hampir semua urusan kami hanya melalui emel melainkan urusan yang memerlukan mengisi borang dan menghantar dokumen. Sehinggalah pada akhir tahun 2018, saya memohon pengeluaran KWSP untuk membayar bagi melunaskan terus hutang YPJ. Begitu juga dengan PTPTN untuk pengajian Diploma saya. Sebanyak tiga kali bayaran PTPTN saya lunaskan menggunakan wang KWSP, khususnya di dalam Akaun 2 yang dibolehkan pengeluaran untuk tujuan pendidikan. Inilah yang saya panggil sebagai membayar hutang menggunakan wang orang lain.
KWSP atau nama penuhnya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ialah satu badan berkanun yang mempunyai mandat sebagai organisasi yang menguruskan wang persaraan untuk pekerja di Malaysia. Setiap pekerja wajib mempunyai satu tabung yang mendapat dana daripada gaji pekerja itu dan juga daripada wang majikan. Namun, bukan semua pekerja di Malaysia wajib ada akaun KWSP kerana bagi penjawat awam, mereka boleh memilih skim pencen berbanding KWSP. Secara umumnya, duit di dalam akaun kita mendapat sumber daripada gaji kita sendiri iaitu 11% dan daripada wang majikan iaitu 12% atau 13%. Maksudnya, wang KWSP kita bukanlah 100% daripada hasil gaji kita tetapi ada juga caruman yang majikan wajib bayar. Jadi, apabila kita menggunakan KWSP untuk membayar hutang pendidikan kita, secara tak langsung kita dapat penjimatan daripada menggunakan 100% duit kita sendiri. Itulah kelebihannya untuk mereka yang bekerja makan gaji berbanding orang yang bekerja sendiri atau berniaga. Apabila mereka membayar kos yang berkaitan dengan pendidikan, walaupun boleh gunakan duit daripada akaun KWSP sekiranya mereka ada, tetapi itu ialah wang daripada caruman mereka sendiri. Tetapi untuk orang yang bekerja makan gaji, duit KWSP mereka itu termasuk juga wang yang majikan mereka bayarkan. Malah peratusannya caruman majikan lebih daripada peratusan caruman pekerja.
Secara peribadi, saya telah mengeluarkan RM 7,436.77 daripada KWSP untuk membayar PTPTN manakala RM 1,829 untuk membayar YPJ. Namun, RM 9,265.77 yang digunakan untuk membayar hutang belajar itu bukanlah 100% duit saya. Itulah kelebihan makan gaji dari satu sudut, iaitu membayar hutang pendidikan menggunakan pengeluaran KWSP. Tetapi yang paling penting ialah hutang kita wajib dibayar dengan cara apa sekalipun. Alangkah malangnya apabila kita yang makan gaji dan ada kelebihan seperti yang diterangkan ini memilih untuk tidak membayar hutang.
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
“Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.”
(Riwayat Tirmizi)
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
“Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.”
(Riwayat Bukhari)
Memetik kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2019, terdapat seramai 539,284 orang peminjam ingkar setakat yang dilaporkan oleh media ketika itu. Peminjam ingkar adalah individu yang tidak pernah membayar langsung hutang mereka kepada PTPTN. Pada saya, ini ialah satu angka yang membimbangkan kerana hutang setiap seorang itu bukanlah sedikit. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa PTPTN sebagai sebuah badan berkanun kerajaan menghadapi kerugian yang banyak dan secara tak langsung mungkin memberi kesan kepada generasi akan datang yang memerlukan pembiayaan pendidikan daripada mereka. Kerajaan mungkin akan membuat keputusan yang akan ketat sekiranya jumlah kerugian ini akan terus meningkat saban tahun seterusnya bakal menyusahkan anak-anak kita nanti. Ini kerana pada saya PTPTN ialah instrumen yang baik untuk orang-orang memerlukan keluar daripada kancah kesusahan melalui wadah pendidikan. Negara kita masih lagi wujudnya institusi pengajian tinggi awam yang mendapat subsidi daripada polisi kerajaan namun itu bukanlah percuma seratus peratus. Dari situlah wujudnya peranan badan berkanun PTPTN yang membantu golongan yang kurang kemampuan meneruskan pelajaran.
Hal ini mengingatkan saya pada satu cerpen bertajuk Sehijau Warna Daun yang dibaca ketika bangku sekolah. Kisah di mana seorang murid yang diberi semangat dan motivasi untuk sambung belajar lebih tinggi daripada gurunya. Pendidikan mampu mengubah nasib keluarga dari terus kesusahan. Walaupun pinjaman PTPTN ini tidak seperti biasiswa, tetapi sekiranya peminjam mendapat Kelas Pertama bagi peringkat Sarjana Muda mereka layak mendapat pengecualian bayaran balik. Cuba bayangkan sekiranya kerugian PTPTN semakin meningkat setiap tahun. Tidak mustahil pada masa akan datang generasi kemudian sukar untuk mendapatkan pembiayaan sambung belajar. Apatah lagi biasiswa-biasiswa yang ada, sudah tentu persaingan sangat sengit. Itulah realiti kehidupan kita. Setiap generasi ada bezanya mengikut zaman kerana masing-masing berada dalam keadaan berbeza ekonomi dan polisi kerajaan. Namun begitu, Islam sangat menggalakkan kita terus belajar walau apa pun cabarannya.
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.”
(Riwayat Muslim)
Ilmu yang ada di dunia ini cukup luas untuk kita pelajari. Tidak semestinya ilmu yang diajar dalam kelas-kelas kuliah dan silibus pengajaran, tetapi ilmu termasuklah dengan bagaimana kita menjalani kehidupan. Serba serbi kehidupan kita yang berkait rapat dengan rutin yang selalu kita lakukan tanpa sedar. Macam ilmu perancangan kewangan peribadi yang kita bincangkan ini. Setiap hari tanpa sedar kita melakukan transaksi. Sama ada membayar bil internet, membeli barang dapur, bayar hutang kawan, simpan dalam Tabung Haji, akaun ditolak bayaran takaful bulanan, dan tambah deposit pelaburan. Sekiranya apa yang kita buat hanya mengikut sangkaan dan tidak dipandu dengan pengetahuan kewangan, besar kemungkinan kesihatan kewangan kita boleh berada di tahap yang merisaukan. Contoh yang paling mudah pernah saya lihat ialah orang yang percaya mengenai satu pelaburan yang perlu melalui orang tengah dan medium komunikasinya melalui Telegram. Walhal itu ialah penipuan nyata kerana pelaburan yang sebenar dan sah itu hanya perlu dilakukan dalam aplikasi rasmi mereka sahaja. Mereka yang percaya terus membuta tuli pindahkan duit kepada ‘ejen’ tersebut dengan harapan mendapat pulangan yang lumayan. Itulah bezanya orang yang berilmu dan tidak. Tanpa ilmu, kita terdedah pada kesamaran dan tidak dapat membuat penilaian dengan baik.
وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ
“Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang.”
(Riwayat Abu Daud)
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Pentingnya menuntut ilmu supaya tidak memudaratkan kehidupan kita. Itu juga termasuk dalam maqasid syariah yang salah satunya bertujuan memelihara harta. Terutamanya jika dilihat dari sudut makroekonomi, umat Islam perlu kuat ekonomi dan kewangan mereka. Kita tidak mahu umat Islam ditindas dan tidak dapat memajukan kehidupan mereka kerana kurangnya ilmu pengetahuan dalam bab kewangan. Malah, salah satu rukun Islam ialah menunaikan zakat bagi yang berkemampuan. Bagaimana kita hendak memberi sekiranya kita tidak mempunyainya. Dengan ilmu juga kita boleh bertindak pada peluang-peluang yang muncul. Sebagai contoh, RM 9,265.77 yang saya gunakan dari KWSP saya untuk membayar hutang bukanlah 100% duit saya sendiri. Oleh itu, lebihan penjimatan yang ada itu saya dapat gunakan dalam pelaburan risiko rendah yang boleh menjana pendapatan lebih. Dapat bayar hutang dan jana pendapatan dengan pelaburan. Pada saya itu agak baik berbanding hanya bayar hutang sahaja.
0 Ulasan