Ticker

6/recent/ticker-posts

ABC Cinta

Antara perkara yang selalu dibincangkan dalam setiap fikiran manusia ialah cinta. Masakan tidak, lihat sahaja karya-karya sejak daripada pelbagai tamadun pasti diselitkan literasi cinta dalam falsafah mereka. Meskipun begitu, hanya hati yang benar-benar tepat sahaja yang mampu memahaminya. Walaupun ada orang yang boleh membaca seribu buku mengenai cinta, dia tidak akan mampu memahami perasaannya bagaimana apabila berada dalam cinta. Cinta adalah perasaan yang mendorong kita berbuat sesuatu disamping ingin mendapatkan balasan cinta daripada seseorang. Istilah di dalam bahasa Inggeris ialah “quid pro quo”, bermaksud memberi sesuatu yang dibalas dengan sesuatu. Di dalam Islam, perkara ini sudah diberitahu oleh Rasulullah apabila baginda mengatakan bahawa psikologi asas manusia ialah apabila kita tidak menerima, kita juga tidak akan diterima.

مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ
Barangsiapa tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi
[Riwayat Bukhari]

Cinta ialah apabila ia menyentuh hati dan apabila tuan punya sudi


Begitulah dengan cinta, apabila kita tidak mencintai seseorang itu kita juga tidak akan dicintai oleh orang tersebut. Namun, cinta itu datang dengan sendirinya tanpa boleh dipaksa walaupun dengan apa sahaja yang boleh ditawarkan di dunia ini. Sama ada dengan adanya usaha atau pun tanpa usaha, kuasa cinta itu boleh datang secara tiba-tiba tanpa kita sedari. Itulah sebabnya istilah “jatuh cinta” digunapakai apabila perkara itu terjadi tanpa kita boleh elak. Analoginya cukup mudah, ketika seseorang itu sedang berjalan dengan tiba-tiba dia jatuh sama ada tersepak batu atau terlanggar kayu. Perbuatan tersepak dan terlanggar itu bermaksud apabila hati kita tiba-tiba menerima satu kejutan yang memeranjatkan seperti melihat wajahnya yang sungguh tampan atau cantik, mendengar suaranya yang merdu dan melihat kewibawaan seseorang yang memberi inspirasi dan semangat. Ini kerana proses jatuh cinta itu adalah berbeza mengikut pengalaman seseorang. Ada yang jatuh cinta ketika sedang berjalan di tempat awam, ada yang jatuh cinta ketika seorang, ada yang jatuh cinta apabila dikenalkan dan ada yang jatuh cinta apabila dikahwinkan bersama walaupun pada asalnya tiada cinta antara dua jiwa.

Cinta Pandang Pertama?


Cinta itu adalah rezeki. Mungkin ramai di antara kita masih tidak mengetahui bahawa hal ehwal cinta itu termasuk di dalam kategori rezeki. Ini pernah disebutkan di dalam hadis apabila Rasulullah masih lagi punyai perasaan cinta mendalam terhadap isteri baginda, Khadijah, sewaktu Aisyah merasa cemburu akan hal itu.

إِنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا
Aku telah dikurniakan rezeki cinta (Khadijah)
[Riwayat Muslim]

Berdasarkan pemahaman ini menunjukkan bahawa cinta itu rezeki apabila nikmat mencintai dan dicintai dirasai dalam jiwa. Jika kita perhatikan, makanan pada fizikal kita ialah seperti nasi, buah, air dan benda yang boleh disentuh. Tetapi makanan pada jiwa kita salah satunya ialah cinta yang mana hanya hati dan jiwa yang benar-benar kena sahaja yang mampu merasai kelazatan dan kenikmatannya Justeru itu, apabila cinta itu adalah rezeki maka perlulah kita melayannya dengan sebetulnya dan bukanlah hanya sekadar perkara yang hanya dirasakan fitrah semata-mata tanpa ada roh cinta yang sebenarnya.

Usaha perlu ada


Apabila cinta itu termasuk di dalam rezeki, kita seharusnya berusaha dan mensyukuri atas nikmat rezeki cinta tersebut. Sepertimana wang, jika kita tidak berusaha kita tidak akan mendapatkannya melainkan hanya jika telah ditetapkan oleh Allah. Begitu jugalah dengan cinta, perlulah kita berusaha untuk menyemai dan mencari cinta itu atas landasan yang benar supaya cinta itu suci daripada dinodia sesuka hati. Tidaklah hanya dengan duduk diam sahaja, lalu mengadu keseorangan padahal tidak pernah usaha untuk mencari cinta tersebut. Memanglah ada sahaja manusia yang tidak langsung usaha, tetapi ada yang mencintainya. Itu cumalah hanya ketentuan Allah. Sama seperti wang ringgit, ada sahaja yang lahir terus menjadi kaya kerana dilahirkan dalam keluarga yang kaya tanpa perlu susah payah berusaha. Usaha itu pula terbahagi kepada proses mencari cinta, membalas atau menerima cinta, mengekalkan cinta dan menolak cinta. Sedangkan kisah Maryam yang melahirkan Nabi Isa telah memberi pengajaran kepada kita bahawa beliau pun disuruh supaya menggoncangkan pokok kurma yang berdekatan supaya dapat makan hasil buah tersebut, bukannya hanya mengharapkan buah itu jatuh daripada langit.

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.
[Surah Maryam 19: 25]

Begitulah juga dalam mencapai cinta, mensyukuri dan merasa cukup adalah amat dititik beratkan dalam persoalan cinta dengan syarat itu adalah cinta yang suci dan murni mengikut syariat Islam. Apabila dikurniakan cinta suami atau isteri, amatlah mustahil bagi sesiapa pun mendapatkan cinta yang sempurna tanpa cacat cela. Itu adalah kerana kelemahan sifat manusia itu sendiri. Tiada siapa yang sempurna di dunia ini dan diharapkan telah disemai dalam diri masing-masing akan nilai toleransi iaitu bertolak ansur pada pasangan masing-masing. Setiap orang pasti akan melakukan kesilapan, tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menodai cinta itu kerana pasti tidak akan ditemui sesuatu yang sempurna di dunia ini. Alasan mereka yang menodai cinta itu hanyalah untuk menyembunyikan niat sebenar mereka yang hanya tiada cinta dan ingin sekadar mencuba merasainya tanpa memikirkan perasaan orang lain.

لَا يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ أَوْ قَالَ غَيْرَهُ
Janganlah suami yang beriman membenci isteri yang beriman, kerana apabila suami tidak menyukai suatu perangainya tentu ada perangai lain yang menyenangkannya.
[Riwayat Muslim]

Hargai


Bukanlah hadis ini bermaksud secara literal hanya termaktub dan perlu diamalkan oleh para suami, tetapi bagi pihak isteri juga perlu diberi pendekatan sama rata seperti ini. Apabila melihat pasangan kita itu terdapat serba kekurangan, janganlah menjadi alasan untuk kita tidak lagi menghargainya seperti dahulu. Janganlah seperti pepatah, “habis madu, sepah dibuang” apabila inginkan sesuatu daripadanya barulah terhegeh-hegeh mencarinya, contohnya, inginkan perhatian apabila memerlukan sahaja dan mengabaikan pasangan apabila ketika senang. Itulah namanya manusia yang ada kekurangan dan kelebihan dari pelbagai perspektif yang mana tiada siapa dapat menemui puncak kesempurnaan yang didambakan hanya wujud dalam mimpi. Asalkan kekurangan yang didapati pada pasangan itu tidaklah melampaui batasan seperti tidak mahu menunaikan solat fardhu dan memudaratkan seperti membelasah isteri dengan teruk apabila bergaduh. Jangan pula ada pihak yang menggunakan hadis ini lalu mentafsirkannya dengan perspektif yang salah semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka yang melampaui batas itu.

وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
[Surah al-Baqarah 2: 190]

Mensyukuri nikmat cinta itu adalah amalan yang amat dituntut dalam Islam kerana hamba-Nya yang merasa cukup akan nikmat yang telah dikurniakan tanpa menafikan tanggungjawab untuk berusaha adalah mereka yang berjaya. Apabila ada orang yang cintakan kita, kita syukuri dan berusaha untuk mengekalkannya di dalam kerangka syariat manakala apabila tiada orang yang cintakan kita, kita juga syukuri dan berusaha untuk mencarinya sepertimana yang dibenarkan oleh syarak. Itulah kehebatan seorang Muslim yang mana hidup sentiasa dalam keadaan positif apabila selalu berada di dalam sfera optimisma. Sifat yang mahal dan sukar untuk dicari di dalam zaman yang mana manusia sentiasa dicemari dengan sifat stereotaip, prejudis dan buruk sangka terhadap situasi yang dihadapi mereka.

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Orang mukmin itu sungguh sangat menyenangkan! Segalanya serba baik dan hal itu tidak dimiliki kecuali oleh orang mukmin. Apabila dia mendapat kesenangan, maka dia pun akan bersyukur. Dan sebaliknya, apabila dia mendapat kesukaran, maka dia pun bersabar, hingga apa yang dihadapinya selalu akan mendatangkan kebaikan baginya.
[Riwayat Muslim]

Dalam kata-kata Rasulullah (s.a.w.) ini memberi maksud bahawa apabila seseorang itu bersikap selalu baik sangka dan optimis walaupun menghadapi kesusahan atau kepayahan hidup, mereka akan mendapat kebaikan juga akhirnya kesan daripada sifat baik ini. Contoh yang mudah dalam konteks yang kita bicarakan sekarang ini ialah apabila seseorang itu dilepaskan pergi dan tidak diingini lagi dalam hidup pasangannya, dia mempunyai dua pilihan. Sama ada untuk terus kecewa dan meratapinya dengan kesedihan berpanjangan atau pun menganggapnya sebagai satu ujian dan terus berusaha untuk yang terbaik. Hakikatnya, pilihan kedua itulah yang memberi implikasi positif pada diri individu tersebut kerana hanya mereka yang berusaha sahaja yang akan mendapat apa yang telah mereka usahakan. Bukannya berasa kecewa dan sedih, lantas menunggu jodohnya turun daripada langit menyapa hatinya yang lara.

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّـهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِّعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَىٰ قَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۙ وَأَنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, sehingga kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[Surah al-Anfal 8: 53]

Begitulah ertinya cinta sesama manusia, perkara yang hanya boleh dirasai oleh mereka yang punyai jiwa yang normal dan memerlukan orang yang betul untuk merasai kehebatannya disamping berada dalam konteks yang halal. Cinta yang murni perlukan medium yang suci, ibarat air yang jernih tidak boleh dicemari walau setitik pun nila yang akan merebak perlahan-lahan akhirnya merosakkan elemen suci itu sendiri. Manusia itu perlukan panduan dan pengajaran untuk menjadikan cinta itu selamat terjaga tanpa dinodai mereka yang tidak bertanggungjawab. Bukanlah cinta itu fitrah jadi tidak perlukan ilmu untuk menguruskannya, bahkan ilmu yang mencukupi dapat menjadikan cinta kekal suci sehingga ke akhirat.



Perasaan emosi dalam diri yang wujud dalam diri jika tidak ada sebarang panduan akan meruncingkannya menjadi tidak teratur dan tiada nilai. Nilai adalah prinsip yang paling penting dalam cinta. Sama ada apa yang kita ada ini adalah cinta sebenar atau sekadar nafsu seperti haiwan yang tiada cinta, cuma nafsu dan fitrah menjaga anak sahaja.










Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement