Ticker

6/recent/ticker-posts

Kebahagiaan Yang Kita Kejari Sedangkan Siap Tersemat Di Hati

Bismillah.

Saya ingin berkongsi apa yang telah dibaca baru-baru ini mengenai hakikat kebahagiaan. Bermula dengan tugasan dalam subjek English for Oral Presentation yang memerlukan kami mencari tajuk untuk dibentang di hadapan kelas, saya terfikir mengenai erti bahagia. Perkara ini terlintas di dalam fikiran saya kerana sebelum itu saya ada menonton video di Youtube berkenaan satu ceramah yang menampilkan penceramah luar terkenal seperti Dr Yasir Qadhi dan Nouman Ali Khan. Oh, baru-baru ini saya gemar mendengar ceramah berbahasa Inggeris untuk cuba menambah baik penguasaan bahasa Inggeris saya.

Berkisar mengenai ceramah tersebut, sedikit sebanyak yang dapat saya simpulkan ialah seperti berikut:

Dr Yasir Qadhi


1. Manifestasi kepada bahagia ialah pertemuan. Dr Yasir Qadhi mengeluarkan ayat al-Qur'an dan hadis yang menunjukkan kebahagiaan itu apabila kita bertemu. Kebahagiaan yang paling hakiki ialah sewaktu ahli syurga dapat bertemu dengan Allah, Tuhan seluruh alam. Selain itu, bahagia adalah sesuatu yang sedikit sebanyak berkait rapat dengan cinta. Kerana cinta, kita merasa bahagia. Kita ingin bertemu dengan orang yang kita cintai, lalu berasa bahagia dengannya (Video)

Nouman Ali Khan


2. Bahagia di dunia tidak akan kekal walaupun sepanjang hayat kita. Hal ini pula dikupas oleh Nouman Ali Khan berdasarkan satu ayat di dalam al-Qur'an.

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan serta perhiasan, juga bermegah-megah di antara kamu  serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;  Samalah seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan di akhirat ada azab yang berat, dan keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya
[al-Hadid ayat 20]

Beliau mengatakan bahawa di dalam hidup ini kita akan melalui fasa-fasa yang mengasyikkan terhadap dunia. Semua ini akan dianggap kebahagiaan oleh kebanyakan orang, sehinggalah bertukar menjadi kuning seperti dalam ayat di atas. Kuning bermaksud, sudah tamat tempoh bahagianya. Dalam kata lain, kita akan rasa bosan dan hilang nikmat bahagia sejurus selepas mendapat perkara yang kita angankan. Contoh yang mudah ialah apabila mendapat kereta Perodua Viva kita mula inginkan Honda Civic, kemudian inginkan lain, lain, dan lain lagi. (Video).

Sewaktu saya mengambil subjek Ethics in Administration pada semester lepas, saya ada membaca buku yang ditulis oleh Barbara MacKinnon bertajuk Ethics: Theory and Contemporary Issue. Di dalamnya beliau mengambil petikan bahawa ahli falsafah Greek yang terkenal, Aristotle, membahaskan bahawa tujuan penciptaan manusia ialah mencapai kebahagiaan. Maksudnya, manusia perlu mencapai kebahagiaan dan mencipta kesejahteraan. Segala perkara yang berlawanan adalah bertentangan dengan objektif penciptaan manusia, sebagai contoh ialah menipu. Menipu boleh mengakibatkan pergaduhan dan kucar kacir, oleh itu menipu adalah perbuatan salah kerana bertentangan dengan asbab terjadinya manusia. Sedangkan Aristotle yang tak percayakan Tuhan pun boleh berfikir sedemikian rupa, inikan pula kita seorang Muslim?

Sebelum saya membentangkan tajuk ini di hadapan kelas, saya sempat mencari bahan bacaan untuk dibaca supaya menambahkan lagi pengetahuan berkenaan kebahagian dalam Islam. Apa yang menarik, saya terjumpa satu tulisan daripada laman web hos rancangan Reflection di TV al Hijrah, Suhaib Webb. Artikel itu ditulis oleh Jinan Bastaki yang mana pada saya cukup menarik untuk kita ambil idea dan teorinya menjadi praktis amalan seharian kita. Di dalam tulisan itu, dia mengatakan bahawa kebahagiaan sukar untuk diterjemah dalam bahasa, kerana ianya sesuatu yang kita rasa. Sesuatu yang kita alami sendiri, jiwa nurani sahaja mampu memahami. Sebagai contoh, kita tidak mampu untuk mentafsir senyuman seseorang sebagai kebahagiaan kerana hanya dia sahajalah tahu dan alami.

Dalam banyak perkara, kebanyakan dari kalangan kita gemar menyandarkan kebahagiaan itu pada sesuatu yang bersifat material, hubungan dan kejayaan semata-mata. Apa yang saya cuba katakan ialah, memang perkara ini boleh menjadi faktor yang menyumbang kepada rasa bahagia. Namun bukanlah bahagia itu terletak pada perkara tersebut secara seluruhnya. Teringat saya pada satu video di Youtube yang mana ceramah disampaikan oleh Dr Asri berkaitan kebahagiaan (Video). Ramai orang tersalah sangka tentang maksud kebahagiaan kerana menyangka wang boleh memberi mereka bahagia.

Bagi menguatkan kenyataan ini, saya ingin mengajak para pembaca berfikir sejenak. Adakah kebahagiaan itu milik eksklusif golongan yang mempunyai harta benda? Adakah mereka yang tak punyai apa-apa itu tidak berhak untuk bahagia? Adakah hidup kita hanya punyai satu pilihan untuk bersedih sahaja jika kita ditimpa kesusahan dan kesengsaraan? Adilkah hidup begitu?

Nick Vujivic


Bagi mereka yang sudah mengenali Nick Vujivic, pasti sudah mengetahui bahawa beliau adalah manusia yang tidak mempunyai kedua belah tangan dan kaki. Walau bagaimanapun, beliau ialah seorang pemberi motivasi yang banyak merantau menyampaikan ceramah dan kata-kata semangat seluruh dunia termasuk Malaysia pada tahun 2013 (Berita). Beliau seorang yang cacat pun mampu memberi semangat kepada orang lain, inikan kita yang lengkap dan sihat tubuh badan sangat mudah berasa kecewa dan sedih dalam kehidupan.

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Ajaib sungguh orang mukmin itu! Segalanya serba baik dan hal itu tidak dimiliki kecuali oleh orang mukmin. Apabila ia mendapat kesenangan, maka dia pun akan bersyukur. Dan sebaliknya, apabila dia mendapat kesukaran, maka dia pun bersabar, hingga apa yang dihadapinya selalu akan mendatangkan kebaikan baginya
[Riwayat Muslim]

Hadis ini menunjukkan bagaimana Rasulullah memuji orang beriman yang bersyukur jika diberi kebaikan dan dalam masa sama tetap sabar apabila ditimpa kesukaran. Oleh itu lebih molek bagi kita untuk kurangkan berkeluh kesah dan cuba apa sahaja yang mampu. Walaupun Nick Vujivic bukan Islam, barangkali nilai Islam itu sendiri beliau sudah amalkan sendiri. Daripada contoh ini, saya mengajak pembaca untuk bersetuju dengan saya bahawa bukanlah pada apa yang kita miliki secara luaran terletaknya bahagia, bahkan ianya terletak pada pemikiran dan kepercayaan yang sudah sedia dimiliki kita.

Bahkan terdapat satu kajian daripada seorang pakar psikologi, Prof Dr Richard J. Davidson, mengatakan bahawa kebahagiaan itu boleh dipupuk. Maksudnya di sini ialah walau apa pun terjadi pada kita, kebahagiaan tetap boleh datang menerpa. Bukan bergantung pada harta benda, wang, pangkat, hubungan dan kejayaan. Dalam kajian beliau (kajian), mereka yang memberi adalah lebih bahagia daripada mereka yang menerima. Konsep memberi itulah yang membangkitkan kebahagiaan manusia.

وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى
Tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah
[Riwayat Muslim]

Islam sedia mengajar umatnya untuk sentiasa membantu orang lain. Hikmah dan kebaikan hasil daripada membantu orang lain adalah dapat memberi kita rasa bahagia. Ini adalah perkara yang terbukti dan telah dibuat kajian oleh Prof. Dr Richard J. Davidson seperti di pautan atas. Rasulullah juga menyuruh sahabat baginda menggembirakan ahli keluarga kepada sahabat lain yang meninggal dunia (Ja'far)



اصنعوا لأهل جعفر طعاما ، فإنه قد جاءهم ما يشغلهم.
Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’afar (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka
[Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah]

Oleh itu, jika difikirkan lebih mendalam dapatlah kita simpulkan bahawa dengan sentiasa membuat orang lain gembira dan bahagia, tiada orang pun ada ketinggalan kerana setiap dari kita memainkan peranan masing-masing. Peranan dalam memberi, berkongsi kebahagiaan kita pada orang lain. Usahlah kita terperangkap dengan pemikiran bahawa apa yang kita ada ini sebagai tahap yang memberi had tertentu sahaja untuk mendapatkan kebahagiaan. Seeloknya kita laksanakan apa yang perlu dan elakkan apa yang merosakkan, demi sebuah kebahagiaan.

يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji
[al-A'raf ayat 157]

Kerana yang bahagia itulah dijemput santunan Allah ke dalam syurga

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai. Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.
[al-Fajr ayat 27-30]

Wallahualam.












































Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement