Saya pernah bekerja di sebuah
syarikat peruncitan global sebelum bertukar kerja. Semasa di tempat kerja lama,
adalah beberapa kali sertai rakan-rakan kerja bermain sukan badminton secara
santai. Setelah bekerja di syarikat baru, ada satu hari saya sertai permainan
rakan kerja lama kerana kebetulan ketika itu ada kelapangan. Hendak dijadikan
cerita, sewaktu bermain badminton yang mana badan saya berada dalam keadaan
keletihan, saya diprovok berkali-kali oleh seorang pemain kerana pada dia
prestasi permainan saya kurang menyenangkan dia. Walhal setahu saya permainan
ini ialah secara santai dan rekreasi, bukannya dalam satu pertandingan
melibatkan beberapa pemegang taruh (stakeholders). Pertandingan
peringkat kampung pun bukan.
Akhirnya, pada set yang kedua,
saya beralah ke bangku untuk berehat daripada terus bermain. Jika hendak
diikutkan perasaan ketika itu, mahu sahaja dituruti untuk menyumpah seranah.
Tetapi apabila memikirkan tentang adab dan akhlak, serta suasana santai bersama
bekas rakan sekerja yang lain, lebih baik diam sahaja daripada memarakkan (escalate)
keadaan tersebut. Mujur semasa kejadian itu berlaku, seorang rakan yang lain
sedar dan berkata secara lembut pada saya, “Set kedua nanti kamu rehat ya”.
Apabila berlaku kejadian ini di hadapan saya, mengingatkan saya pada betapa
banyaknya kejadian teruk disebabkan sikap jelik kita yang merendahkan orang
lain tetapi disaluti dengan istilah provokasi sukan dan bukannya hal peribadi. Kejadian
yang baru sahaja menggegarkan dunia sukan ialah pada awal Oktober 2022 yang
mana berlaku kematian seramai 129 orang ketika perlawanan bola sepak di Stadium
Kanjuruhan, Indonesia. Kita boleh meraikan perasaan geram dan tidak puas hati
terhadap seseorang, tetapi dilarang untuk melampaui batas.
وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“(Tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
(Al-Baqarah 2:190)
Ada orang yang sifatnya
bongkak dan meninggi diri. Mereka cenderung pada perwatakan narsisistik toksik
dan tidak peduli pada nilai-nilai murni yang ada seperti berakhlak mulia, sabar
dalam konflik, berkata baik, dan menghormati orang lain sekalipun pihak lawan. Kebiasaan
yang ada pada orang begini ialah Allah telah kurniakan bebeberapa kelebihan
pada mereka dalam bentuk kewangan, kesihatan, peluang baik, dan lain-lain. Ini
yang disebutkan sebagai ‘istidraj’, iaitu kurniaan yang diterima Allah tetapi
semakin sesat dalam melakukan kemungkaran.
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا
مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
“Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada
hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus
melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah
istidraj dari Allah SWT.”
(Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan al-Tabarani)
Kadangkala kita tertanya-tanya
kenapa individu begini tiada akal budi (common sense) dalam perkara yang
jelas. Contoh kes saya di atas, apakah sebab tidak boleh berkata baik apabila
ingin seseorang melakukan sesuatu. Dia boleh sahaja cakap dengan elok supaya
pergi berehat kerana mahu bermain dengan orang yang lebih handal, tetapi itu
tidak dilakukannya. Sebaliknya mengeluarkan perkataan kurang ajar untuk
menyakitkan hati dengan harapan kita beredar dari situ walhal tujuannya sama. Justeru,
tidak semua orang memiliki akal budi yang sihat sekalipun menginjak usia tua dan
bergaul dengan ramai orang. Walaupun lebih banyak ‘makan garam’ bukanlah
ukuran kematangan perilaku. Apabila difikirkan, inilah yang dipanggil sebagai
hasutan syaitan dan belitan hawa nafsu yang menguji setiap insan.
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي
مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ
“Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri
anak-anak Adam melalui saluran darah.”
(Riwayat Bukhari)
إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ
رَبِّي
“Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh
kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.”
(Yusuf 12: 53)
Sepanjang menjalani kehidupan,
saya kira para pembaca turut pernah mengalami situasi dipandang rendah. Selain
pengalaman sewaktu beriadah bermain badminton yang saya coretkan tadi, ada satu
lagi insiden yang tersimpan dalam ingatan. Ketika itu ialah hari saya menduduki
ujian pemanduan kereta atau lesen D. Sebaik sahaja tiba giliran saya masuk ke
dalam kereta, pegawai tersebut terus memarahi saya. Pada mulanya beliau
mengatakan saya tidak memberikan salam walhal dia tidak mendengarnya. Kemudian,
pegawai itu menyuruh saya memandu kereta dengan laju walaupun bukan itu yang
diajar oleh sekolah memandu. Sepanjang perjalanan tersebut yang sekejap, dia
hanya mengeluarkan kata-kata kesat. Disebabkan malas untuk mengulangi ujian,
saya bertindak meminta maaf berkali-kali. Pada awalnya, saya anggap mungkin dia
hendak menguji kita memandu dalam keadaan stress. Namun, apabila berakhir saya
fikir pegawai itu ada masalah kecelaruan fikir dan sakit mental.
Jika dilaporkan perkara ini ke
pihak atasan, sudah tentu saya tidak ada sebarang bukti untuk mengukuhkan
dakwaan. Namun, itulah realiti dunia ini. Kejadian ini berlaku pada tahun 2017
dan kebetulan pada 2018 telah dilaporkan media mengenai kes gangguan seksual
pegawai JPJ terhadap gadis 17 tahun ketika ujian pemanduan. Walaubagaimanapun,
pegawai tersebut hanya dipindahkan ke bahagian lain sementara siasatan lanjut
dijalankan terhadap kes itu. Daripada dua kejadian ini menunjukkan bahawa
betapa rosaknya akhlak kita hanya kerana tiada saksi dan rakaman. Orang yang
merasakan diri dia lebih tinggi kedudukannya berbanding kita dengan mudah
mengambil kesempatan dan memandang rendah. Keadilan tidak semestinya akan
berpihak pada kita kerana kekurangan bahan bukti tetapi tempat yang paling adil
ialah pada hari akhirat yang tiada sebiji zarah pun terlepas daripada dihakimi
Tuhan Maha Besar.
نَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ،
وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي عَلَى
نَحْوِ مَا أَسْمَعُ. فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلاَ يَأْخُذْهُ،
فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنْ النَّارِ
“Saya hanyalah manusia biasa, dan kamu mengadukan
sengketa kepadaku, boleh jadi sebahagian di antara kamu lebih petah berbicara
daripada yang lainnya sehingga aku putuskan seperti yang ku dengar. Maka barang
siapa yang aku putuskan (menang) dengan mengambil hak saudaranya, janganlah dia
mengambilnya, sebab itu seakan-akan aku memberikan potongan api neraka untuknya.”
(Riwayat Bukhari)
Menurut laporan UNICEF tahun
2020, belia dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan pembuli siber kedua
terbesar di benua Asia. Berdasarkan penyelidik dalam kajian tersebut, faktor
mereka melakukan buli siber disebabkan ingin mendapatkan perhatian kerana
kurang kasih sayang dan kesunyian. Berdasarkan kaji selidik lain pada tahun
2014 yang bertajuk “Trolls just want to have fun”, mengesahkan bahawa ‘troll’
ialah orang yang mempunyai sifat narsisistik, psikopatik, dan sadistik. Troll
ialah satu slanga internet bermaksud individu yang kebiasaannya menggunakan
profil palsu, masuk ke dalam perbincangan dan komen, serta menyiarkan mesej
berbentuk sinikal dengan niat untuk mengejek, dan menyakitkan hati orang lain
sambil menyimpang daripada tujuan asal perbincangan atau tajuk isu yang
berlaku. Apa yang menarik ialah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah
menulis berkenaan hal ini lalu menyimpulkan bahawa perbuatan troll yang melanggar
syariah adalah dilarang dan boleh membawa kepada dosa. Kenapa troll kebanyakan
menggunakan profil palsu ialah kerana mereka gemar bersembunyi di sebalik
paparan skrin tanpa siapa tahu. Sekiranya kita ingin laporkan ke pihak berkuasa
pun, mungkin tidak dilayan kerana memerlukan kerja lebih untuk mengesan siapa
suspeknya. Begitulah lumrah dunia, apabila tiada bukti dan saksi, akhlak
ternoda dengan kemungkaran terhadap orang lain.
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
“Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah
(apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya
dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang
meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.”
(Riwayat Bukhari)
Dalam pergaulan dan interaksi
sosial, kadang-kala ada perkara yang kita terlepas cakap atau lakukan pada
seseorang. Pada kita itu ialah tidak sengaja dan tak perlu diperbesarkan,
tetapi mungkin pada individu yang kena itu bukanlah satu hal yang remeh. Inilah
ragam dalam hidup bermasyarakat. Ada juga yang kita menjadi mangsa tetapi kita
diamkan sahaja walaupun terguris hati kerana terpaksa menjaga suasana harmoni
dan hubungan baik. Perkara ini pada saya agak sensitif kerana mungkin
disebabkan kesilapan yang kita anggap kecil, akan dibawa ke mahkamah akhirat
dan terpaksa menanggung bebannya nanti. Malah, terdapat kisah apabila
Rasulullah pernah memukul seorang sahabat dan bersedia dibalas balik.
بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ
بَيْنَا يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي خَاصِرَتِهِ
بِعُودٍ. فَقَالَ: أَصْبِرْنِي. فَقَالَ: اصْطَبِرْ. قَالَ: إِنَّ عَلَيْكَ قَمِيصًا
وَلَيْسَ عَلَيَّ قَمِيصٌ، فَرَفَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ
قَمِيصِهِ، فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ، قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا
يَا رَسُولَ اللَّهِ
“Ketika dia (Usaid bin Hudhair) sedang berbual
dengan kaumnya dan di dalamnya terdapat gurauan yang membuatkan mereka tertawa.
Maka Nabi SAW telah memukul pinggangnya dengan sebatang kayu. Maka dia berkata:
“Beri saya kesempatan untuk melakukan qisas (membalas dengan yang setimpal)”.
Beliau bersabda, “Silakan membalas.” Dia berkata, “Kamu memakai baju, sedangkan
aku (ketika kamu memukulku) tidak memakai baju.” Maka Rasulullah SAW mengangkat
bajunya. Maka dia terus memeluk dan mencium pinggang Rasulullah SAW sambil
berkata: “Inilah yang aku inginkan wahai Rasulullah.”
(Riwayat Abu Daud, al-Baghawi, al-Thabarani, al-Hakim
dan al-Baihaqi)
Justeru, hal ini menginsafkan
kita. Namun, tidak ramai yang bersedia untuk dibalas balik terhadap apa yang
telah mereka lakukan pada orang lain. Lebih parah lagi, mereka menganggap
perbuatan mereka itu betul dan perlu dilakukan. Disebabkan mempunyai
personaliti narsisistik dan sadistik, keupayaan kognitif seseorang menjadi
rosak. Hal ini amat berbahaya sekiranya individu seperti ini memegang jawatan
atau peranan yang penting dalam masyarakat. Lantas akan meresap perlahan-lahan
sehingga sesuatu kaum itu ditimpa bala oleh Allah. Semoga kita menjadi sebuah
masyarakat yang seimbang dalam mengajak kebaikan dan melawan kejahatan.
0 Ulasan