Baik.
Kali ini saya ingin kongsikan satu alat yang sangat membantu terutamanya apabila kita termasuk dalam golongan yang selalu membeli barang dengan banyak.
Kebiasaannya bukan semua orang berkerja berdekatan dengan kedai runcit. Bagi yang dekat, mudah untuk mereka beli barang secara sedikit-sedikit. Namun, ada juga yang membeli barang dapur atau keperluan secara sekaligus ketika waktu cuti terutamanya bagi yang sudah berumahtangga.
Sejak beberapa tahun ini pula banyak syarikat atau kedai-kedai yang telah mengamalkan kempen tidak menyediakan beg plastik. Jika disediakan, ada pula cajnya setiap kali kita mahu menggunakannnya. Syarikat yang terlibat pula masing-masing ada menjual beg mereka tersendiri dengan pelbagai rekaan. Contoh syarikat yang awal mengambil langkah ini ialah Aeon Co. Bhd yang mana bermula pada tahun 2010 lagi. Pada saya, ini ialah langkah bagus untuk mendidik pembeli supaya membawa beg sendiri daripada terus-menerus menggunakan beg plastik yang umum tahu berikan kesan kepada ekosistem alam sekitar.
Selain isu beg plastik, menjadi satu hal pula untuk bawa kesemua beg masuk ke rumah setelah penat membeli-belah. Bayangkan pula bagi yang tinggal di rumah atas tanpa ada lif. Letih sungguh.
Solusi kepada permasalahan itu ialah dengan memiliki troli serba guna ini. Saya menjumpai troli ini di kedai Mr DIY yang berharga bawah RM90 sahaja.
Pertama kali saya melihat produk ini ialah di dalam Twitter yang mana ada orang muat naik video daripada China yang promosikan troli ini sambil berikan pautan di Shopee.
Namun, apabila saya periksa pautan tersebut, produk ini telah habis. Dan berdasarkan carian di Shopee, saya agak ragu-ragu untuk membeli kerana membaca ulasan pembeli sebelum ini yang merungut tentang kualiti troli tersebut yang dikatakan mudah bengkok dan rosak. Saya terus membatalkan hasrat untuk membeli.
Tetapi, sebaik sahaja saya ternampak troli ini di kedai Mr DIY, terus saya ambil dan bayar. Setakat ini setelah dua bulan menggunakannya, tiada tanda-tanda kekurangan dari segi kualiti. Bahannya agak tegap dan keras. Penggunaannya pula dipermudahkan dengan ciri boleh lipat. Hanya lipat dan letak sahaja di dalam kereta. Apabila perlu, boleh gunakan bila-bila masa sahaja.
Pemegangnya yang lembut turut membantu kita apabila menolak atau menariknya tanpa ada sebarang geseran kuat di tapak tangan.
Kelebihan utama troli ini ialah mekanisma rodanya yang ada tiga biji berpasangan. Sangat sesuai untuk dibawa menaiki permukaan tidak rata. Malah, sangat boleh ditarik menaiki tangga. Boleh tonton contoh video di pautan ini bagaimana fungsinya:
https://www.youtube.com/watch?v=tM2JeXPIH5c
Bagi yang berminat, turut disertakan nombor barkod produk ini. Mana tahu di tempat para pembaca juga ada kedai Mr DIY. Bolehlah tanya pada mereka ada atau tidak troli ini di sana.
0 Ulasan