Salam Sejahtera,
Semalam baru mendapat sijil kursus pengendalian makanan yang ditaja oleh syarikat beberapa bulan dahulu. Sebelum ini juga telah diberikan secara percuma oleh syarikat suntikan typhoid yang saya tidak tahu berapa kosnya. Saya gemar mengikuti isu berkenaan vaksinasi dan membaca hujah mereka. Manakala semalam tiba-tiba isu menjadi viral apabila agama digunakan untuk menguatkan hujah oleh seorang Imam Muda dalam status Facebooknya yang telah dipadam namun sempat diambil gambar.
Gerakan anti-vaksin berlaku apabila pihak yang memandai-mandai bersumberkan testimoni rawak dan penulisan seleweng (misleading) mengajak orang lain untuk menolak kepada kepercayaan arus perdana (mainstream). Mereka menyangka diri mereka telah diberi kesedaran (enlightened) dan beralih kepada kepercayaan alternatif.
Pemahaman Anti-Establishment Yang Rosak.
Ini dikenali sebagai 'anti-establishment' yang bermaksud pandangan/kepercayaan yang bertentangan dengan idea/konsep yang tertubuh kukuh. Contoh lain bagi anti-establishment selain isu kesihatan ialah seperti kewangan dan media massa. Mereka merasakan selama ini diri mereka ditipu dan dimanipulasi oleh satu entiti besar yang beroleh keuntungan hasil 'penipuan' terhadap mereka. Dalam isu perubatan, mereka percaya wujudnya entiti digelar Big Pharma yang mempunyai strategik bijak untuk membuatkan bergantung pada vaksin untuk mendapat untung. Ironinya. kepercayaan mereka adalah sangat terpilih (selective) dan bukannya merangkumi semua bidang di dunia. Contohnya, dalam hal kejuruteraan/teknologi tiada pula pertikaian mengapa kita bergantung pada negara/kuasa luar. Jika hendak diikutkan sifir dan logik mereka, sepatutnya entiti Big Pharma biarkan orang sakit, barulah dapat untung dengan menjual ubat. Buat apa bersusah payah mencipta vaksin dan hindarkan penyakit pada awalnya (at the first place) untuk dapatkan untung.
Sumber Yang Diambil Mereka Penuh Dengan Masalah Etika dan Moral.
Contoh paling mudah ialah percaya kepada laporan Andrew Wakefield yang terbukti menipu dan mempunyai percanggahan konflik (conflict of interest) apabila membuat kajian mengenai vaksin. Beliau mendakwa vaksin penyebab autisme padahal kajiannya hanya mengambil kanak-kanak yang bermasalah dan beliau diberi dana besar oleh sebuah syarikat yang ingin menyaman syarikat vaksin lain. Manakala jika kita baca pendedahan oleh laman Facebook Pseudoscience Watch, terdapat golongan yang menipu mengatakan telah mendapat imunisasi padahal belum. Paling mengejutkan, ada yang menipu untuk melakukan umrah, baca di Antivaxx menipu untuk pergi Umrah. Selain Wakefield, mereka juga mengambil hujah dari Jerry D Gray yang hanya menukilkan testimoni-testimoni peribadi berbanding kajian yang betul. Ini adalah neraca bagi kepercayaan mereka, sekadar cerita-cerita orang sudah cukup berbanding kajian dan statistik yang lebih terkawal dan mengikut disiplin ilmu.
Literalis Dalam Memahami Nas Agama.
Jika kita amati hujah agama yang digunakan golongan terkeliru ini, ada di antara mereka yang gemar menggunakan dalil agama tanpa panduan yang betul. Tanpa disiplin ilmu yang betul. Terus sahaja ambil satu hadis dan membuat penilaian sendiri secara langsung (direct). Seperti contoh, hadis berkenaan habbatussauda' seperti berikut.
هَذِهِ الْحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا مِنْ السَّامِ قُلْتُ وَمَا السَّامُ قَالَ الْمَوْتُ
"Sesungguhnya habbatus sauda' ini adalah ubat dari segala macam penyakit kecuali saam." Aku bertanya; "Apakah saam itu?" Baginda menjawab: "Kematian".
[Riwayat Bukhari]
Kalau hendak difikirkan logik literalis, maka apa-apa penyakit sahaja pun kita gunakan habbatussauda' walaupun selsema, demam, kencing manis, penyakit kulit bermasalah, dan lain-lain lagi. Inilah bahayanya pemahaman agama tanpa panduan dan disiplin yang betul. Dr MAZA, Mufti Perlis, pernah menulis tentang bahaya pemikiran literalis apabila timbul isu politik di negara kita seperti dalam artikel Menangani Fenomena Literalis Agama dalam laman webnya. Dr Zaharuddin, pensyarah UIAM, pernah membicarakan hal ini seperti dalam video Youtube bertajuk Nasihat kepada Para Literalis.
Kekeliruan Konsep Usaha, Tawakal, Takdir dan Kuasa Allah.
Falasi yang seringkali digunapakai anti-vaksin ialah falasi jenis strawman. Maksudnya ialah membuat andaian memutarkan tindakan/perkataan seseorang kepada sesuatu yang lari daripada maksud sebenar. Dalam hal anti-vaksin, golongan ini mengandaikan kita tidak beriman kepada takdir dan kuasa Allah kerana bergantung pada vaksin dan imunisasi untuk menghindari penyakit berbahaya. Rasulullah sendiri menasihati kita dalam hal keduniaan, buatlah yang terbaik untuk dapatkan hasil yang bagus. Malah sebagai contoh, baginda sendiri mengakui dalam ilmu pendebungaan tanaman, baginda tidak tahu akan ilmu tersebut (ilmu mengahwinkan baka pokok). Ini dapat dibaca dalam hadis berikut yang saya salin daripada laman Facebook Dr Rozaimi.
عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم مَرَّ بِقَوْمٍ يُلَقِّحُونَ فَقَالَ " لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا لَصَلُحَ "
Daripada Anas radiallahu 'anhu, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam lalu berhampiran sekumpulan manusia yang sedang mengahwinkan pokok, baginda lalu berkata: Seandainya kalian tidak melakukannya ia akan menjadi baik.
قَالَ فَخَرَجَ شِيصًا فَمَرَّ بِهِمْ فَقَالَ " مَا لِنَخْلِكُمْ " . قَالُوا قُلْتَ كَذَا وَكَذَا قَالَ " أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ "
Perawi berkata: Lalu keluarlah hasil yang tidak elok. Baginda lalu berhampiran mereka lalu bertanya: Apa yang terjadi kepada pokok kurma kalian? Mereka menjawab: Engkau pernah menyebutkan itu dan ini. Lalu baginda berkata: Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.
[Sahih Muslim, Kitab al-Fadhail, hadis no: 2363]
Waktu dahulu, tidak wujud penyakit pelik dan berbahaya. Namun, Rasulullah tinggalkan kita ajaran dan pedoman untuk diikuti sebagai panduan apa yang bakal datang tidak kira dari segi agama mahupun dunia.
Wallahua'lam.
0 Ulasan