Persoalan mengenai cinta begitu banyak diungkapkan sehinggakan dibicarakan sejak dahulu lagi. Bagi pelajar pengajian Islam sudah pasti mereka mengenali ulama' seperti Ibn Qayyim yang mengarang kitab bertajuk "Raudhatul Muhibbin Wa Nuzhatul Musytaqin" iaitu maksudnya Taman Pencinta dan Perindu. Saya belum lagi berkesempatan membacanya namun betapa pentingnya persoalan cinta sehinggakan para ulama' juga membicarakannya. Begitu juga terdapat satu puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e
"Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinya daku juga turut gering kerana risaukannya datangnya sang kekasih menziarahiku maka daku pun sembuh kerana melihatnya"
Yang menjadi persoalan dalam fikiran penulis ialah apa maksud cinta itu sendiri yang membawa kepada kebaikan dan kebahagiaan. Kerana dalam literasi hal cinta ini terdapat juga satu istilah yang digelar "infatuation" dalam bahasa Inggeris. Malang sekali tiada istilah yang sama dalam bahasa Melayu yang tepat untuk menggambarkan maksudnya. Menurut kamus Oxford, perkataan 'infatuation' bermaksud 'very strong feeling of love or attraction of somebody/something, especially when these are unreasonable and do not last long'. Bagi penulis, 'infatuation' lebih kepada tarikan perasaan suka terhadap idea atau permukaan sahaja yang tiada ruh atau sesuatu yang mendalam. Sebab itulah kita mendapati dialog-dialog dalam filem Barat sering mengatakan "It isn't love, it's just a passing infatuation" bagi yang selalu menontonnya.
![]() |
Tarikan yang tak berasas |
Pendapat peribadi penulis, tarikan ini lebih kepada perasaan yang tidak berasas dalam erti kata terhadap nilai yang dipegang oleh individu itu sendiri. Maksudnya di sini ialah setiap individu pasti ada nilai yang menjadi keutamaan dalam hidupnya dan juga mempunyai selera tarikan (taste) yang berbeza-beza sesama kita. Itulah yang digelar 'infatuation' apabila kita tidak berpegang padanya dalam menyukai seseorang. Kita tidak meletakkan nilai dan pegangan kita terhadap orang tersebut. Hanyalah sekadar perasaan suka dan tertarik pada luarannya yang apabila telah mengenali hati budi dan minatnya mula hilang beransur-ansur perasaan suka dan tarikan tersebut. Hal ini begitu subjektif bergantung kepada individu tersebut. Oleh itu, ianya berbalik kepada hati kita sendiri. Contoh yang mudah untuk dibuat perbandingan ialah maksud cantik. Cantik yang subjektif mengikut mata siapa yang melihat dan siapa yang dilihat. Cantik yang subjektif mengikut telinga yang mendengar dan siapa yang didengarnya.
'Infatuation' adalah apa yang kita gelar sebagai buta. Hanya tidak lebih daripada tarikan di permukaan dan luaran sahaja tanpa begitu mengenali orang yang kita suka. Saya gemar bawakan contoh Fata Morgana atau dikenali sebagai 'mirage' dalam bahasa Inggeris. Apabila dilihat dari jauh kelihatan begitu sempurna dan menarik sekali namun semakin mendekatinya, ianya jauh daripada sangkaan kita yang sebenar. Ilusi yang kita cipta sendiri tanpa ingin mengenali lebih hati seseorang itu. Itulah maksud 'infatuation' bagi penulis. Kita hanya sukakan idea mengenai perkahwinan dan cinta tetapi tidak bersedia untuk melayarinya. Tidak membuat sebarang persediaan untuk mengenali orang yang kita ingin hidup bersama dan tidak terfikir langsung untuk punyai sebarang komitmen.
![]() |
Love is real, infatuation is illusion |
Pakar perhubungan terkenal, Dr John Gray, dalam bukunya yang menjadi laku keras (bestseller) di peringkat antarabangsa telah membahasakan persoalan hubungan lelaki wanita dalam konteks suami dan isteri dalam tulisannya Men Are From Mars, Women Are From Venus. Begitu juga di dalam buku Act Like a Lady, Think Like a Man oleh Steve Harvey. Dua buku yang terkenal ini tidak bercerita tentang idea cinta yang indah-indah belaka tanpa berpijak di realiti, malah konteks perbahasan dan perbincangan mereka lebih kepada hubungan lelaki wanita yang serius dan kekal berpanjangan. Penulis suka untuk berkongsi berkenaan idea menarik di dalam buku Steve Harvey ini. Beliau menasihati para wanita supaya memilih lelaki yang benar ingin bertanggungjawab dan menanggung komitmen sepenuh masa berbanding mereka yang sekadar singgah tanpa ada niat menjaga kehormatan wanita tersebut. Pembaca perlu memahami konteks budaya di negara Barat yang agak berbeza dengan cara kita yang disaluti dengan budaya Timur dan pegangan agama Islam. Kita dapat melihat meskipun cara hidup mereka yang agak bebas dan melanggar syariah Islam, namun tetap mereka berasa pentingnya cinta yang kembali kepada fitrah iaitu dengan adanya institusi rumah tangga.
لَمْ نَرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ
Tidak pernah terlihat dua orang yang saling mencintai (yang lebih baik/indah) seperti pernikahan [Riwayat Baihaqi dan Ibn Majah]
![]() |
Buku baru baca |
Apakah pentingya dengan pernikahan? Jika diteliti, nikah dalam Islam itu mengajar seribu satu konsep dan nilai-nilai kebaikan dalam kehidupan. Paling mudah untuk dijadikan contoh ialah konsep tanggungjawab dan komitmen. Tanpa sebuah ikatan yang serius, mudah sahaja untuk kita meninggalkan hati yang terkesan dengan kehadiran kita. Hanya dengan kata-kata dan sedikit tindakan, kita begitu mudah mempergunakan jiwa seorang insan untuk kepentingan peribadi. Dengan cinta yang sebenar berbanding 'infatuation', individu itu akan berfikir begitu mendalam dan bertanya hatinya sendiri akan perasaannya. Jika perasaan itu tidak lebih sekadar tarikan 'infatuation' yang kita bahaskan di awal perenggan tadi, pasti seseorang itu tidak ingin melangkahkan kakinya ke tahap pernikahan kerana baginya itu bukan apa yang sebenarnya dia mahu terhadap seseorang itu. Dia akan berlari sejauh mungkin daripada perkahwinan kerana yang diharapkan hanyalah sekadar idea romantis yang manis-manis belaka tanpa sedikit kepahitan dan payah jerih dalam perjalanan kehidupan. Itulah orang yang dalam hatinya perasaan 'infatuation'.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda kebesaranNYA, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir
[Ar-Rum 30: 21]
0 Ulasan