Cinta
seringkali terkait rapat dengan pandangan mata yang mana merupakan persepsi
kepada siapa yang memandang. Sebagai contoh, fitrahnya adalah kita cenderung
tertarik pada mereka yang berwajah cantik atau kacak menurut kacamata kita.
Yang menjadi keutamaan terlebih dahulu dalam tarikan terhadap seseorang pada
waktu itu, adalah wajahnya. Kita tidak tahu pun latar belakangnya, asalnya dari
mana, belajar/bekerja di mana/sebagai apa dan namanya pun tidak kita ketahui.
Tiba-tiba sahaja dengan mudah tanpa banyak soal, kita merasa cenderung untuk
tertarik padanya. Itulah lumrah dan tabiat alam yang Allah ciptakan ini.
Berbalik pada tajuk tulisan ini, ‘ain itu bukanlah merujuk pada individu
perseorangan tetapi apa yang boleh difahami sebagai satu bentuk cabang
kecemburuan (jealousy). Dalam bahasa Inggeris, ‘ain itu diberikan
istilah ‘evil eyes’.
الْعَيْنُ حَقٌّ
“Ain itu
benar”
[Riwayat
Muslim]
Rasulullah
seolah-olah dapat mengetahui masa hadapan apabila mengeluarkan kata-kata ini.
Para ulama’ menyatakan ‘ain ini benar berlaku namun amat sukar difahami
disebabkan ciri-cirinya yang bersifat ghaib. Seperti mana Imam Ibn Qayyim dalam
kitabnya Zaadul Ma’ad berkata bahawa ‘ain adalah satu penyakit yang apabila
seseorang berasa kagum terhadap kita, maka kita akan ditimpa penyakit tersebut.
Hal ini pernah berlaku ketika zaman Rasulullah apabila seorang lelaki yang
jatuh sakit diberitahu kepada baginda mengenainya. Pada zaman serba moden ini,
ada di antara kita rasa seolah-olah perkara ini tahyul atau khurafat sedangkan
sebenarnya kita yang tidak perasan mengenai risiko penyakit ‘ain disebabkan
kurangnya ilmu.
Di dalam kitab
al-Muwatha’ karya Imam Malik dan Musnad Ahmad tulisan Imam Ahmad ada direkodkan
kisah dua orang sahabat Nabi yang bernama Abu Sahl bin Hunaif dan ‘Amir bin
Rabiah. ‘Amir begitu kagum melihat kulit badan Sahl yang begitu cerah dan licin
mengalahkan kulit gadis. Justeru itu, Sahl pun ditimpa penyakit sehingga lemah
badannya dan dikhabarkan kepada Rasulullah.
عَلَامَ يَقْتُلُ
أَحَدُكُمْ أَخَاهُ أَلَّا بَرَّكْتَ إِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ تَوَضَّأْ لَهُ فَتَوَضَّأَ
لَهُ عَامِرٌ فَرَاحَ سَهْلٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
لَيْسَ بِهِ بَأْسٌ
“Kenapa
salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Tidaklah (sebaiknya)
engkau mendoakan agar diberkati. Sesungguhnya penyakit 'ain itu benar ada.
Berwudhu’lah kamu untuknya! ‘Amir lantas berwudhu’ untuk Sahl. Setelah itu Sahl
dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berangkat dengan keadaan sihat”
[Riwayat Malik]
Kelihatannya
Nabi memarahi sahabatnya barangkali kerana beliau sudah diajar berkenenaan
adanya wujud penyakit ‘ain, namun atas kesilapannya sebagai manusia mungkin
sahabat itu terlupa untuk memuji Allah atau mendoakan sahabatnya lain. Dalam
hadis ini dapat kita para pembaca sekalian mengambil pengajaran bahawa penyakit
ini wujud cumanya kita tidak dapat mengetahuinya disebabkan batas seorang
manusia yang tidak ada kebolehan mengetahui perkara ghaib. Seperkara lagi, cara
pengubatan sakit ini ialah dengan ruqyah melalui wudhu’ individu yang melihat
dan dijirusnya air tersebut pada orang yang terkena sakit dalam riwayat hadis
yang lain. Inilah asal usulnya ruqyah dalam Islam, bersumberkan hadis yang
sahih untuk tujuan perubatan. Kita juga diajar untuk berlindung diri daripada
sakit ‘ain ini dengan membaca surah al-Falaq.
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ
إِذَا حَسَدَ
“Dan dari kejahatan orang yang dengki
(hasad) apabila dia dengki (hasad)”
(Al-Falaq: 5)
Begitu juga
diajarkan kepada kita supaya membaca doa daripada Jibril kepada Rasulullah ini.
بِاسْمِ اللَّهِ
أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ
اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
“Dengan nama
Allah aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang menyakitimu dan dari kejahatan
segala makhluk atau kejahatan mata yang dengki (‘Ain). Allah yang
menyembuhkanmu. Dengan nama Allah aku meruqyahmu”
[Riwayat
Muslim]
Mungkin saudara
tertanya apa kaitannya perasaan kagum yang membawa kepada mudarat ‘ain dengan
hasad dengki yang disebutkan dalam surah al-Falaq. Ini membawa kepada satu lagi
peringatan Rasulullah kepada kita berdasarkan sebuah hadis lain.
لَا تَبْقَيَنَّ
فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلَادَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلَادَةٌ إِلَّا قُطِعَتْ قَالَ
يَحْيَى سَمِعْت قَوْله تَعَالَى يَقُولُ أَرَى ذَلِكَ مِنْ الْعَيْنِ
“Janganlahlah
kalian biarkan gantungan dari jahitan pada lutut unta, atau kalung, kecuali dipotong.”
Yahya berkata:
"Aku mendengar Malik berkata: “Aku melihat bahawa hal itu sebahagian dari
'Ain.”
[Riwayat Malik]
Hadis ini
memberi gambaran bahawa tingkahlaku dan sesuatu kepunyaan kita itu mempunyai
kemungkinan untuk memberi kesan terhadap orang lain. Apabila individu lain
melihat kita mereka mempunyai persepsi dan tanggapan peribadi tersendiri yang
terdedah dengan hasutan syaitan dan hasad di dalam hati. Memang setiap Muslim
itu digalakkan untuk berfikir yang baik-baik namun menjadi tanggungjawab kita
juga untuk membendung kebarangkalian berlakunya perasaan cemburu atau hasad di
dalam hati insan lain. Tidaklah pelik pada zaman sekarang ramai dalam kalangan
kita yang sangat gemar, mungkin hobi, membanding-bandingkan diri sendiri dengan
orang lain di dalam media sosial. Walaupun pada realiti sebenar kita tidak pun
tahu cerita sebenar di sebalik “kebahagiaan”, “kejayaan” dan “kekayaan” orang
tersebut. Terlalu leka dan asyik dalam mengagungkan (glorify) sesuatu
permukaan (surface) tanpa mengetahui isi dalaman (substance),
maka kucar-kacirlah masyarakat apabila nilai itu diletakkan pada tempat yang
bukan sepatutnya.
Begitu ramai
yang mencari-cari kebahagiaan seolah-olah kehidupan mereka itu tidak bahagia
dan sengsara sahaja sepanjang masa. Hanya disebabkan hobi membanding-bandingkan
diri dengan orang lain di luar sana. Padahal orang lain itu sudah tentulah
hanya akan mempamerkan keseronokan di dalam media sosial berbanding sisi gelap
mereka untuk tatapan rakan-rakan lain. Perbuatan ini tidak salah sama sekali
namun amatlah molek jika disertakan sekali dengan perkongsian maklumat dan
ilmu. Sebagai contoh mudah ialah apabila mempamerkan saat-saat ketika melancong
ke luar negara. Berbanding hanya sekadar tunjuk sahaja, lebih elok berkongsi
tips dan panduan berguna untuk melancong. Atau pun boleh juga berkongsi sedikit
sebanyak pemerhatian terhadap budaya dan sosial kehidupan masyarakat lain di
luar sana. Perkara ini sedikit sebanyak memberi kurang kesan kecemburuan atau
hasad dalam hati, malah memperkayakan pengetahuan mengenai perkara baru.
لَا يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ
مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ أَوْ قَالَ غَيْرَهُ
“Janganlah
suami yang beriman membenci isteri yang beriman, kerana apabila suami tidak
menyukai satu perangainya tentu ada perangai lain yang menyenangkannya”
[Riwayat
Muslim]
أُرِيتُ النَّارَ
فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ قِيلَ أَيَكْفُرْنَ بِاللَّهِ قَالَ
يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَيَكْفُرْنَ الْإِحْسَانَ لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ
الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ
“Aku
diperlihatkan neraka, ternyata kebanyakan penghuninya adalah wanita. Kerana
mereka sering mengingkari”. Ditanyakan: “Apakah mereka mengingkari Allah?”
Beliau bersabda: Mereka mengingkari pemberian suami, mengingkari kebaikan.
Seandainya kamu berbuat baik terhadap seorang dari mereka sepanjang masa, lalu
dia melihat satu sahaja keburukan darimu maka dia akan berkata: “Aku belum
pernah melihat kebaikan sedikitpun darimu.”
[Riwayat
Bukhari]
Berdasarkan
panduan daripada Rasulullah ini, naratif berkenaan mensyukuri terhadap
kehidupan cinta kita telah pun diajar satu ketika dahulu. Perasaan hasad atau
cemburu ini seolah-olah memberi maksud atau konotasi bahawa kita tidak berasa
cukup terhadap hidup kita. Lantas kita berasa orang lain lebih bertuah
berbanding kita, lebih bahagia berbanding kita yang sepatutnya kita sedia
maklum bahawa rezeki itu adalah pemberian Allah. Manakala bahagia itu pula
pilihan dalam diri kita sendiri. Bahagia bukan bergantung pada faktor luaran seperti
mana orang yang hidupnya serba cukup paling meraih bahagia walaupun tidaklah
kaya. Justeru, kehidupan yang serba serbi sempurna itu bukanlah berada di luar
sana ataupun terpampang di dalam media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Malah, apa yang kita cari sebenarnya sudah ada dalam diri kita, bergantung sama
ada kita ingin menerimanya (embrace) atau tetap juga termenung sendiri
melihat kononnya betapa “bahagianya” orang lain menerusi telefon masing-masing,
wallahu’alam.
0 Ulasan