Assalamualaikum pembaca yang sentiasa dirahmati Allah.
Sebelum dimulakan bicara, molek lah bagi saya untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga TG Nik Aziz yang telah pergi tidak kembali meninggalkan kita di dunia fana ini. Semoga pemikiran dan semangat dakwah beliau dapat diambil menjadi contoh dan tauladan kita. InsyaAllah.
Bercakap mengenai beliau, sedikit sebanyak pasti semua tahu dan sedia maklum akan perjuangannya meneladani ajaran Islam ke dalam soal politik dan pentadbiran di Malaysia terutama sekali di Kelantan. Cumanya, dalam penulisan ini saya ingin mengetengahkan idea yang saya terfikirkan sejak kebelakangan ini iaitu berkenaan perjuangan dalam percintaan. Mungkin kerana dek pengaruh bacaan buku yang sedang saya habiskan sekarang iaitu Risalah Pemuda Muslim karangan Dr Maszlee Malik terbitan Telaga Biru.
Seringkali apabila bicara tentang cinta, persoalan utama ialah dalam hal mencari pasangan yang sesuai. Jika diamati, Dr Nasih Ulwan di dalam bukunya Tarbiatul Aulad Fi Islam mencadangkan bahawa aspek terpenting dalam memberikan pendidikan sempurna kepada anak ialah dengan memilih pasangan yang terbaik buat kita. Apalah gunanya jika kita seorang sahaja yang teruja mendidik anak dengan betul, tetapi pasangan sendiri buat endah tak endah dan acuh tak acuh sahaja. Pastilah sedikit sebanyak memberi kekecewaan dan menggugat usaha murni memberi didikan sempurna kepada anak yang menjadi legasi dan warisan kita di muka bumi ini.
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Wanita itu dinikahi kerana empat perkara, (1) hartanya, (2) keturunannya, (3) kecantikannya dan (4) agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung
[Riwayat Bukhari]
Apa yang menarik mengenai tulisan Dr Maszlee Malik ialah berkenaan konsep homo Islamicus yang membawa maksud seorang Muslim itu sedar akan dirinya sebagai pembawa ajaran Tuhan sekalian alam di dunia ini yang bertanggungjawab mengabdikan diri kepada-Nya dan menegakkan kebaikan, mencegah segala jenis kemungkaran. Dalam bahasa yang mudah, seorang Muslim itu cakna dan sedar akan dirinya sebagai khalifah di muka bumi ini. Bukanlah seperti golongan atheist yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab di dalam kehidupan mereka, sekadar hidup berlandaskan prinsip ciptaan sendiri lantas terasa canggung apabila ada situasi yang saling berlanggaran dan tidak selari atas dasar prinsip mereka yang tidak sebaik prinsip yang turun daripada Tuhan sendiri, daripada Allah, iaitu agama Islam.
Teringat saya ketika berada dalam semester tiga dalam peringkat sarjana muda di Shah Alam, saya pernah secara tidak sengaja meminjam buku di perpustakaan karangan tokoh terkenal dalam gerakan Islam, iaitu Syed Abu A'la Al Maududi bertajuk Proses Revolusi Islam.
![]() |
Status lama saya dalam Facebook |
Dalam kehidupan ini, kita perlukan perjuangan. Sesuatu yang kita sedia untuk berkorban deminya, sesuatu yang kita pasti ke hadapan mempertahankannya. Amatlah duka cita sekiranya kita menjadi pasif apatah lagi hidup sekadar untuk meneruskan sisa baki sambil bermewah seorang diri dengan hasil kerja kita tanpa memikirkan akan orang lain. Sebabnya, Muslim itu bukanlah anti masyarakat dan ummah sebaliknya berjuang membantu orang sekeliling yang susah dan punyai masalah.
![]() |
Kata-kata ini dinisbahkan pada Prof Dr HAMKA |
Maksud yang saya cuba bawakan ialah perlunya seorang Muslim itu punyai sesuatu yang diperjuangkan. Apakah hidupnya hanya sekadar teruskan sahaja hidup dan bekerja tanpa memikirkan perkara lain? Amatlah rugi jika itulah cita-citanya.
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
[Ali Imran 3: 104]
Hari begitu banyak penipuan dan segala jenis pendustaan begitu luas berlaku di sekeliling kita. Golongan pseudo-intelek yang bersikap narsis cuba melontarkan liabiliti keraguan terhadap perkara yang benar sebagai modus operandi mereka demi menarik perhatian orang yang jahil terhadap mereka. Dalam hal agama, berkata-kata dengan sewenangnya tanpa mengambil kira persoalan sahih atau tidak sesuatu riwayat itu dari sudut jalur periwayatan. Dalam hal perubatan, menuduh segala jenis teori konspirasi lalu mengatakan mereka mampu mengubati segala macam penyakit. Dalam hal kewangan, merendah-rendahkan ilmuan yang memberi amaran mengenai bahaya riba' kemudian menarik orang ramai supaya menyertai skim buatan mereka sendiri kononnya demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi orang Islam. Begitulah contoh segala macam kepandiran dan kebebalan yang cuba dicucuk ke dalam otak masyarakat hari ini.
Lebih malang lagi, Muslim hari ini yang berpendidikan tinggi hanyalah cukup berbangga dengan keputusan akademik atau berbangga dengan kerja yang diimpikan atau berbangga dengan pengaruh yang ada tanpa secebis usaha sedikit pun untuk membantu masyarakat. Konsep pendidikan itu terhenti di separuh jalan, tanpa masyarakat itu dapat merasa hasil 'tuaian'. Natijahnya, hari ini kita lihat pembohongan semakin bertebaran dengan meluas. Saya teringat ada satu halaman di Facebook yang baru saya langgan (like) menulis mengenai perkara ini.
![]() |
Mereka fokus dalam bidang perubatan |
الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
Seorang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lain
[Riwayat Bukhari]
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, kalau dia tidak mampu maka dengan lisannya, dan kalau dia tidak mampu maka dengan hatinya, mengingkari (dengan hati) itu adalah iman yang paling lemah
[Riwayat Muslim]
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan senantiasa terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya)
[Riwayat Muslim]
Sebaiknya JADILAH dan CARILAH orang yang punyai perjuangan seperti ini. Membawa segala macam kebaikan dan mencegah segala macam kehancuran atau kemungkaran. Bukanlah pasangan bercinta yang syok sendiri dengan dunia yang diwarnai bunga-bungan di awangan, romantis berpanjangan tanpa ada perjuangan yang dibawa. Hanya selesa dengan utopia terhad sendiri yang disangkanya infiniti. Zon selesa yang mementingkan diri sendiri sahaja tanpa melihat ke jendela akan orang lain yang mungkin perlukan bantuan kita. Bercinta, berkeluarga, bersiar dan mati tanpa ada sumbangan secebis pun. Perlunya cinta itu dibawa keluar di kancah permasalahan masyarakat, saling membantu yang lain atas nama cinta.
المؤمنُ الذي يخالطُ الناسَ ويَصبرُ على أذاهم خيرٌ منَ الذي لا يُخالطُ الناسَ ولا يصبرُ على أذاهمْ
المؤمنُ الذي يخالطُ الناسَ ويَصبرُ على أذاهم خيرٌ منَ الذي لا يُخالطُ الناسَ ولا يصبرُ على أذاهمْ
Seorang mukmin yang bergaul di tengah masyarakat dan bersabar terhadap gangguan mereka, itu lebih baik dari pada seorang mukmin yang tidak bergaul di tengah masyarakat dan tidak bersabar terhadap gangguan mereka
[Riwayat Bukhari]
Teladan terbaik yang dapat saya lihat buat masa ini ialah kewujudan kelompok manusia yang begitu bersemangat tinggi membantu orang-orang kesusahan mangsa banjir yang melanda negara kita baru-baru ini. Tanpa mengharapkan bantuan pihak berautoriti menjalankan tugas hakiki iaitu memelihara rakyat, mereka tanpa beralasan terus sahaja menyantuni golongan yang menjadi mangsa kepada kerosakan banjir seperti di Kelantan, Pahang, Terangganu dan lainnya. Perjuangan yang mereka pegang, membantu dan berkhidmat dengan harapan mendapat balasan Allah. Kerana jika mengharapkan habuan dari manusia, apalah sangat hendak diberikan. Sukarelawan dan mereka yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, semoga diberi balasan akhirat yang berlipat kali gandanya.
![]() |
Berjuang dalam cinta |
Namun, usah merasa terpinggir jika masih belum lagi berbakti. Janganlah kita terburu-buru pula untuk melakukan semuanya sehinggkan terlajak pula dalam larian mengejarnya. Sebagai contoh seorang pemuda Muslim yang berada dalam pengajian, habiskanlah dahulu menuntut ilmu dan mencedok segala macam kemahiran. Dalam masa yang sama, berusaha berubah ke arah kebaikan dan mencari cinta yang berjuang demi Islam
إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ
Sesungguhnya dalam dirimu ada dua hal yang Allah sukai: (1) sabar dan (2) perlahan-lahan
[Riwayat Tirmizi]
1 Ulasan
walau aku bukan seorang pembaca setia.
BalasPadamsering masa aku mengikuti penulisan kau.
jangan berhenti menulis rakan.
:)
rakanmu. sdpb