Pernah sekali saya diterjah dengan persoalan oleh sahabat saya sewaktu duduk mengelamun. Dia bertanyakan apakah yang lebih saya utamakan dalam pasangan idaman saya, sama ada mempunyai minat yang sama atau pun berbeza? Kemudian terus sahaja dia menyatakan yang dia lebih menggemari pasangan yang punyai minat berbeza. Kerana apa? Selamba dia berkata, "sebab nanti bosanlah, sama je". Saya tidak memberikan jawapan, kerana tidak pernah memikirkan persoalan itu sebelumnya. Namun jauh di sudut hati saya memberikan jawapan tidak kisah, cukuplah ada insan yang sudi menerima itu sudah memadai.
Dalam mendepani kehidupan di alam fana ini, manusia dilahirkan dalam pelbagai jenis perbezaan. Sama ada berbeza dari segi luaran seperti warna, bangsa, bahasa, dan berbeza dari segi dalaman seperti budaya, agama, psikologi. Penciptaan sebegini rupa adalah supaya kita saling kenal mengenali antara satu sama lain lantas meluaskan jangkauan pemikiran kita. Jika kita perasan, banyak terdapat di pasaran buku-buku yang menceritakan tentang perjalanan dan travelog penulisnya sewaktu di negara lain. Jika bukan merantau di negara lain pun, penulisan tersebut menceritakan sekitar perjalanan hidupnya disebalik celahan masyarakat. Berdasarkan penceritaan tersebut, jelaslah bahawa terciptanya perbezaan antara manusia adalah untuk memberi kita pengalaman dan pengajaran yang berharga untuk digarap secara berfaedah, memberi kesan baik terhadap diri kita sendiri mahupun orang lain.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal
[al-Hujurat 49: 13]
Berbalik kepada tajuk besar kita, iaitu cinta, saya tertarik menulis mengenai idea ini disebabkan oleh satu buku yang pernah saya baca beberapa bulan lepas berkenaan adab dan akhlak dalam berbeza pendapat dalam kalangan masyarakat hari ini. Walaupun tulisan itu lebih menjurus terhadap permasalahan umat yang semakin parah dalam menguruskan perbezaan pandangan sesama sendiri, saya rasakan eloklah juga kita refleksi dan muhasabah moral dan prinsip di dalamnya bagi hal cinta. Ya, cinta. Hubungan romantis antara lelaki dan wanita yang sebaik-baiknya diikat dengan pernikahan sepertimana hadis berikut.
لَمْ نَرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ
Tidak pernah terlihat dua orang yang saling mencintai (yang lebih baik/indah) seperti pernikahan
[Riwayat Baihaqi dan Ibn Majah]
Begitulah disebut oleh Rasulullah bahawa cinta itu seeloknya punyai ikatan sah. Bukanlah untuk menyusahkan atau apa, cumanya sekadar menjadi sebuah institusi kukuh sesuai dengan fitrah manusia yang perlukan hak-hak untuk dipenuhi. Sekiranya tak diberikan satu garis panduan, nescaya bermudah-mudahanlah mereka diluar sana menodai cinta sewenangnya tanpa perlu bertanggungjawab serta melempiaskan nafsu serakah sesuka hati.
Sebagai Muslim yang baik, adalah menjadi kewajipan untuk kita mempunyai ilmu dalam apa jua perkara yang diwajibkan dan disarankan kita mengamalkannya seperti solat dan nikah. Jika kita tidak tahu tatacara untuk solat, bagaimana mungkin kita mengEsakan Allah melalui jalan yang Rasulullah ajar. Begitu juga dengan persoalan nikah yang di dalamnya tersemat cinta dan kasih sayang sepertimana ayat yang biasa kita dengar.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir
[ar-Rum 30: 21]
![]() |
Adab Perbezaan Pendapat |
Setelah membaca buku ini, terdetik di dalam hati saya bahawa sememangnya fitrah manusia itu untuk berbeza. Tiadalah Allah ciptakan kita semua sama sahaja tanpa ada sedikit perbezaan. Penciptaan sebegitu pula adalah sebagai ujian dan cabaran kita, bagaimana caranya kita hadapi ketidaksamaan itu. Ya, itulah tujuan sebenar hidup kita di dunia iaitu menjalani ujian. Segala-galanya adalah ujian sama ada dalam bentuk senang atau susah. Allah sendiri sengaja mencipta kita untuk berbeza sejak lahir lagi.
وَلَوْ شَاءَ اللَّـهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَـٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَلَتُسْأَلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja), tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan
[an-Nahl 16: 93]
Begitu juga dengan isu dalam perbezaan jantina. Kerana tajuk yang saya sentuh ini ialah berkenaan cinta romantis antara lelaki dan wanita. Allah juga menciptakan lelaki wanita itu berbeza sifat-sifat mereka.
وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
إِنَّ سَعْيَكُمْ لَشَتَّىٰ
Dan penciptaan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.
[al-Lail 92: 3-4]
وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنثَىٰ
Dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan
[Ali Imran 3: 36]
Justeru itu, berdasarkan dua ayat ini dapatlah kita faham bahawa Tuhan sekalian alam telah memberitahu kita sememangnya dua jantina lelaki dan wanita itu secara fitrahnya berbeza. Tidaklah boleh untuk kita berfikir akan hal lelaki dari jendela wanita ataupun berfikir hal wanita dari perspektif lelaki. Itu adalah kepincangan dalam berfikir. Teringat saya dahulu pernah membaca buku laku keras (bestseller) yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu yang bertajuk Mens Are From Mars, Women Are From Venus yang ditulis oleh Dr John Gray, seorang yang bukan penganut Islam. Di dalam buku itu beliau mengetengahkan idea bahawa secara keseluruhannya, lelaki dan wanita adalah berbeza sama sekali. Mungkin kita lihat lelaki dan wanita ada tangan, hidung, kaki, boleh ketawa, menangis dan boleh berfikir secara matang. Namun jauh di dalam soal psikologi dan emosi, amatlah ketara perbezaan itu.
Jadi, apabila kita sudah tahu bahawa lelaki wanita itu berbeza secara fitrahnya, perlulah kita menjalani kehidupan ini dengan pemikiran tersebut. Antara caranya ialah meraikan perbezaan pendapat dengan berhemah. Toleransi dan tolak ansur perlu ada dalam melayari bahtera percintaan. Kerana sejauh mana pun cinta kita, jika sikap yang jelik dan kurang ajar selalu singgah di perkarangan cinta, siapa sahaja akan luntur perasaan tersebut. Hari ini berapa ramai yang sewenangnya bercinta seperti menukar baju. Bertukar pasangan silih berganti tanpa segan silu menjaja cinta seakan murahnya dijual di lorong belakang.
![]() |
Cinta dalam perbezaan |
Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah usahlah menjadi cinta itu semurah pasir ditepian pantai. Jadikanlah ia umpama permata di dalam cengkerang lautan dalam. Ya, mungkin ada yang tidak sefahaman tetapi pengurusan dalam menghadapi perbezaan itulah yang diambil kira. Molek kiranya dua belah pihak saling bersikap matang dan profesional menghadapi dugaan bercinta. Tidak perlu ada dendam kesumat ataupun ungkit dan umpatan mengaibkan pihak lain. Kerana di dalam cinta itu melibatkan dua insan yang berasal dari dua buah dunia yang sungguh berbeza. Latar belakang keluarga, suasana setempat dan pengaruh pendidikan memainkan peranan dalam membentuk peribadi dan personaliti lelaki atau wanita itu.
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah[845] dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk
[an-Nahl 16: 125]
Perlunya kita saling menghormati dan memikirkan ikhtiar untuk bersama mencari solusi kepada perbezaan itu. Analogi mudah, barangkali lelaki itu berasal daripada bandar, lahir di kotaraya luar negara kemudian pulang ke Malaysia untuk berkahwin dengan wanita yang sudah sebati dengan gaya kampung. Carilah jalan yang terbaik untuk kedua belah pihak dengan cara yang berhikmah dan berakhlak diri. Jika tidak sefahaman sekalipun, malah terpaksa berpisah, jalan yang terbaik adalah dengan menuruti ajaran Islam yang selama ini kita anuti walaupun emosi tidak kurang juga mempengaruhi kita.
Kerana cinta itu bukan sekadar rasa di jiwa, ianya juga menggerakkan kita untuk berubah menjadi baik dan lebih baik.
Wallahualam.
0 Ulasan