Ticker

6/recent/ticker-posts

Ulasan Buku "Mengapa Saya Masih Memetik Gitar"

Bismillah.

Antara waktu yang paling ditunggu dalam setiap tahun ialah Pesta Buku Antarabangsa yang berpusat di Kuala Lumpur. Menjadi kebiasaan bagi penggemar buku untuk mencari dan membeli buku-buku yang difikirkan menarik untuk dibaca. Yusuf Islam adalah nama yang tidak asing lagi bagi saya kerana telah mengenali beliau sewaktu saya masih lagi kecil, apabila selalu didendangkan dengan lagu-lagu beliau seperti God Is The Light, I Look I See dan Your Mother. Pendekatan beliau menyebarkan Islam dengan genre muzik yang penuh dengan falsafah kelihatannya menarik hati manusia lain untuk melihat tentang keindahan Islam.

Muzik bagi saya adalah satu alam yang membawa kita jauh ke dalam fikiran untuk mendepani drama kehidupan realiti. Ia adalah satu escapism yang bersifat sementara cukup untuk kita bermuhasabah sendirian meneliti keputusan dan tindak tanduk kita selama sibuk dengan alam kehidupan yang penuh dugaan. Mungkin atas sebab itulah saya menjadi begitu tertarik untuk membeli buku ini yang disulam dengan pendekatan Islam oleh seorang yang pernah mencari erti ketuhanan satu ketika dahulu. Apa yang menjadi persoalan di dalam minda saya ialah bagaimana dan kenapa Yusuf Islam begitu tertarik dan bersemangat dengan Islam sedangkan saya ini yang kadangkala culas dalam menegakkan syiar Islam itu sendiri meskipun lahir daripada latar belakang Islam.

Dunia muzik yang begitu sinonim dengan hiburan berlebihan, kelalaian melampau dan cenderung kepada maksiat kelihatan tidak mampu untuk membendung beliau daripada mendapat cahaya hidayah daripada Allah untuk kembali kepada Islam yang pada awalnya beliau kenali sebagai agama yang asing dan jumud. Pun begitu, manusia itu sememangnya memiliki rongga-rongga khilaf yang mana bersifat lemah lagi mengharap. Justeru pada Tuhanlah pengharapan itu seharusnya diletakkan kerana yang Maha Besar itu pasti akan menolong hamba-Nya selagi mana dia masih meminta dan berharap. Yusuf Islam menceritakan bagaimana beliau menghadapi saat yang sungguh mencabar di dalam seumur hidupnya sehinggakan membuatkan beliau terfikir. Apakah tujuannya di dunia ini. Semenjak dari itu bermulalah episod pengembaraannya mencari falsafah ketuhanan di merata tempat.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kesungguhan beliau dalam mendalami dan mengkaji pelbagai falsafah dan teori keagamaan yang pernah terlintas di fikiran beliau. Prinsip setia kepada kebenaran menjadi pegangan disamping menghindari segala bentuk anasir kejahilan yang mampu merosakkan fitrah manusia itu sendiri. Ini mengingatkan saya kepada teori yang diperkenalkan oleh Aristotle sewaktu mengambil subjek Ethics dalam pengajian sarjana muda saya. Teori Undang-undang Alam (Natural Law Theory) yang secara tuntasnya mengatakan bahawa tujuan penciptaan manusia ialah untuk mencari kebenaran. Oleh itu, jalan kepada cahaya kebenaran itu adalah dengan membaca dan mengkaji pelbagai jenis sumber bagi kita membuat penilaian sendiri.



Tragedi yang berlaku pada hari ini terhadap umat Islam adalah kerana penyakit kejahilan dan persepsi buruk kebanyakan manusia. Apa yang saya perasan di dalam buku ini ialah Yusuf Islam mengatakan beliau pada awalnya hanya mengenali Islam sebagai agama asing yang pelik. Di situ kita dapat lihat bahawa beliau tidak bersangka buruk terhadap Islam, cuma hanya menganggapnya pelik dan dibiarkan sahaja. Bukan seperti kebanyakan orang, mereka terlebih dahulu meletakkan persepsi buruk dan sangkaan jahat terhadap Islam sehingga menutup hati mereka untuk melihat keindahan Islam. Inilah yang dinamakan pesimis, selalu berfikiran negatif sehinggakan membawa kepada tindakan mereka. Hal ini juga mengingatkan saya kepada subjek Organisational Behaviour yang pernah saya ambil dalam pengajian sarjana muda yang mana subjek ini lebih berkait rapat dengan psikologi manusia. Antara yang paling tidak saya lupakan ialah mengenai stereotaip yang mana dicadangkan supaya kita sebagai pekerja atau pengurus perlulah mendekati dan mengenali golongan yang kita stereotaip untuk lebih memahami mereka. Bukannya hanya dibiarkan dan lebih parah lagi merosakkan sesebuah organisasi.

Tidak dinafikan bahawa apabila memeluk Islam, beliau masih tetap berhadapan masalah besar. Salah satunya ialah terdapat golongan yang begitu keras pendirian mereka terhadap muzik sehinggakan mengharamkannya sepenuhnya. Dilema yang dihadapi beliau membuatkan penulis mengkaji lebih mendalam tentang persoalan muzik di dalam Islam kerana beliau tidak mahu menjadi taqlid buta dan ikut-ikutan semata-mata. Idea ini membuatkan saya teringat pada buku Ethics of Disagreement in Islam yang ditulis oleh Dr Taha Jabir al-Alwani yang merumuskan bahawa Islam itu sendiri berlapang dada pada setiap perbezaan pendapat. Lain orang lain pemikiran, tidak sepatutnya kita menggunakan falasi holier-than-thou dalam berhujah untuk memenangkan pendapat kita seorang.

Akhir kata, buku ini sesuai dibaca bagi mereka yang gemar mencari falsafah dalam kehidupan. Hidup ini ialah perjalanan sementara yang seharusnya kita isi dengan falsafah yang benar supaya dapat memandu kita bertemu pencipta kita, Allah. Bacalah, dengan nama Tuhan.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement