Bismillah,
sudah agak lama tidak menulis dalam ruang maya yang serba luas ini berikutan mempunyai masalah kerosakan komputer dan masa yang memerlukan komitmen untuk menyiapkan tugasan sejurus selepas masuk ke dalam semester baru. Lalu dalam masa yang panjang sepi tanpa sebarang penulisan, penulis hanya menjadi pembaca separuh masa. Membaca teori di dalam buku dan komen realiti masyarakat sebenar dalam media sosial Facebook, Twitter dan Instagram seperti biasa. Hasil daripada berfikir dan serba sedikit membaca, saya terkesan untuk menulis sesuatu sebagai wasilah atau medium untuk menyimpan idea di dalam fikiran ini elak daripada terlupa kemudian hari nanti.
Kayu Ukur Dalam Konsep Cegah
Satu hari semasa kelas, saya teringat seorang pensyarah yang mengulang skrip sesetengah mentaliti pensyarah lain apabila mengatakan tugas mereka hanyalah sekadar menimbulkan percikan idea kepada pelajar. Tak lebih dari itu. Bagi saya, kenyataan itu tidak bermasalah cuma bagaimana cara mereka mentafsirkan ayat itu kepada tindakan dalam bentuk cara mengajar mereka. Maksud penulis di sini ialah apakah beza pengajian dalam mod sepenuh masa dan separuh masa/pengajian jarak jauh jika cara pengajian adalah serupa? Memanglah cara pembelajaran 'suapan' itu bukan lagi efektif untuk diaplikasikan dalam tahap pengajian kami, namun seolah semuanya sekali perlu dicari dan dipelajari sendiri. Memikirkan perkara ini akhirnya saya mendapat idea berkenaan neraca kayu ukur dalam kehidupan kita.
![]() |
Tahap indikasi atau kayu ukur Sumber: Google |
Pada cuti yang lalu, sempat saya menonton filem bertajuk Lucy yang mengisahkan bagaimana pemikiran manusia yang cuba menafikan kuasa Tuhan memainkan persepsi dan kepercayaan penonton. Apa yang menarik perhatian saya di dalam cerita itu ialah apabila watak Lucy berkenaan mengatakan bahawa di dalam hidup ini manusia sebenarnya mencipta neraca sendiri yang terhad mengikut ilmu manusia sedangkan dia percaya wujud neraca Maha Agung yang tak terbatas dengan apa pun. Daripada situ saya teringat ayat al-Qur'an:
قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
[al-Kahfi ayat 109]
Ayat ini lebih kepada menerangkan betapa luasnya ilmu Allah jika hendak dibandingkan dengan kita. Justeru itu, penulis lebih cenderung dengan idea bahawa hanya Tuhan (Allah) yang layak menentukan baik buruk dalam hidup ini berkaitan hal etika dan moral. Tetapi sebenarnya bukan ini yang cuba saya fokuskan dalam tulisan ini. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah dalam cara hidup kita perlu ada neraca yang mana ditahap mana boleh dilakukan dan ditahap mana tak boleh dilakukan. Seperti imej yang saya lampirkan di atas, dalam warna apakah yang boleh dan tak boleh. Ini kerana saya pernah menghadapi soalan yang belum pernah saya fikirkan apabila sewaktu semester lepas seorang pensyarah saya di dalam kelas etika dan moral menceritakan beliau pernah ada seorang guru yang beragama Islam tetapi mengatakan jika minum sedikit arak tidak mengapa kerana tidak memabukkan. Gurunya berjustifikasikan dengan hadis:
فَمَا أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
Sesuatu yang dapat memabukkan hukumnya haram
[Riwayat Bukhari]
Setelah puas mencari jawapan, akhirnya saya jumpa juga beserta dengan idea dan konsep baru yang telah sekian lama tersemai dalam agama Islam iaitu konsep pencegahan. Bak kata pepatah, "mencegah itu lebih baik dari mengubati" yang di dalam Bahasa Inggeris pula disebut "prevention is better than cure". Hal ini pernah disentuh oleh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Halal Dan Haram Dalam Islam apabila mengatakan Islam ini ialah agama pencegahan yang mana kita perlu melebihkan sesuatu suruhan atau larangan dimana selamat untuk kita amalkan sesuai dengan maksud sebenar suruhan atau larangan tersebut. Konsep ini antaranya hasil daripada ayat:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk
[al-Isra' ayat 32]
Jika difikirkan secara logik berdasarkan hadis di atas, sesuatu yang tak memabukkan pastilah tak haram dan boleh dimakan/minum/hadam. Namun, sebaik-baik contoh dalam Islam adalah masyarakat sewaktu zaman Rasulullah Muhammad apabila mereka terus sahaja membuang arak kesemuanya apabila Rasulullah mengumumkan arak telah diharamkan oleh Allah. Jika diikutkan logik, lebih baik mereka simpan sahaja dan hanya minum sedikit-sedikit (asalkan tak mabuk) supaya tidak membazir kerana arak bukanlah sesuatu yang percuma pada zaman tersebut. Ini menunjukkan betapa hakikat kesedaran mereka terhadap halal haram itu begitu tinggi yang langsung tidak dikompromi sewenangnya. Sehinggakan jalan kota Madinah ketika itu dilimpahi dengan arak kesemuanya tanda mereka begitu beriman dengan suruhan Allah tanpa sebarang alasan mahupun manipulasi.
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنَادِيًا يُنَادِي أَلَا إِنَّ الْخَمْرَ قَدْ حُرِّمَتْ قَالَ فَقَالَ لِي أَبُو طَلْحَةَ اخْرُجْ فَأَهْرِقْهَا فَخَرَجْتُ فَهَرَقْتُهَا فَجَرَتْ فِي سِكَكِ الْمَدِينَةِ
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan seorang penyeru untuk menyerukan bahawa khamar telah diharamkan. (Anas) berkata: "Maka Abu Talhah berkata, kepadaku: "Keluar dan tumpahkanlah". Maka aku keluar lalu aku tumpahkan. Maka khamar mengalir di jalan-jalan kota Madinah
[Riwayat Bukhari]
Selain contoh isu arak, terdapat juga sebahagian lagi riwayat yang mengatakan Islam itu agama yang bersifat mempromosi pencegahan. Contohnya ialah hadis mengenai wanita yang memakai seluar panjang di sebelah dalam kainnya (disalin daripada web UZAR):
يرحم الله المتسرولات
Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya)
[Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal]
Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respon Rasulllah memuji dan menyebut hadis di atas.
[Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831]
Lagi contoh ialah isu mengambil wuduk apabila Rasulullah menyarankan supaya kita melebihkan basuhan anggota wuduk kerana balasannya akan diberikan cahaya di hari akhirat nanti:
أَنْتُمْ الْغُرُّ الْمُحَجَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ إِسْبَاغِ الْوُضُوءِ فَمَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ فَلْيُطِلْ غُرَّتَهُ وَتَحْجِيلَهُ
Kamu sekalian akan berwajah putih bersinar dan juga tangan serta kakimu pada hari kiamat kerana menyempurnakan wuduk. Barangsiapa di antara kamu mampu, maka hendaklah dia memanjangkan cahaya muka dan tangan serta kakinya
[Riwayat Muslim]
Daripada tiga isu dalam hal muamalah mahupun ibadah seorang Muslim, dapatlah disimpulkan terdapat neraca baik buruk dalam kehidupan ini. Dalam penulisan ini tak perlulah saya membawakan dalil dari segi keharaman dan tidah sah (isu wuduk) dalam tiga perkara ini kerana kita semua sudah sedia maklum akannya sebagai seorang Muslim. Cuma ingin saya tonjolkan betapa hidup ini wujudnya neraca kayu ukur sebagai indikasi di mana tahap yang dibenarkan di mana tahap kita tak boleh melakukannya. Umum juga mengetahui bahawa dunia ini bukan sekadar hitam dan putih sahaja warnanya, terdapat juga perkara yang mengelirukan seperti syubhat yang meragukan. Adalah molek lagi elok kita hindari perkara sebegitu demi menjaga kesejahteraan umat manusia di dunia ini dari sebarang kemungkaran dan kerosakan:
الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَةٌ فَمَنْ تَرَكَ مَا شُبِّهَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ كَانَ لِمَا اسْتَبَانَ أَتْرَكَ وَمَنْ اجْتَرَأَ عَلَى مَا يَشُكُّ فِيهِ مِنْ الْإِثْمِ أَوْشَكَ أَنْ يُوَاقِعَ مَا اسْتَبَانَ وَالْمَعَاصِي حِمَى اللَّهِ مَنْ يَرْتَعْ حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ
Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Namun di antara keduanya ada perkara yang syubhat (samar). Maka barangsiapa yang meninggalkan perkara yang samar kerana khuatir mendapat dosa, bererti dia telah meninggalkan perkara yang jelas keharamannya dan siapa yang banyak berdekatan dengan perkara samar maka dikhuatirkan dia akan jatuh pada perbuatan yang haram tersebut. Maksiat adalah larangan-larangan Allah. Maka siapa yang berada di dekat larangan Allah itu dikhuatirkan dia akan jatuh pada larangan tersebut
[Riwayat Bukhari]
Apologetik Dalam Toleransi
Hangat apabila Ramadhan yang lalu umat Islam dan juga bukan Islam di Palestin dibedil dan diserang bertubi-tubi oleh tentera zionis Israel. Maka ramailah individu dan badan NGO yang sibuk mengumpul dana dan promosi keamanan demi membantu mangsa Palestin. Saya berasa sedikit lucu apabila ada satu ketika Israel Defense Force memberikan alasan serangan mereka di bandar adalah kerana serangan rakyat Palestin berasal daripada sana. Ini kerana pihak Israel juga telah mengebom sekolah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation). Adakah ini bermakna serangan itu juga berasal daripada sekolah tersebut? Sungguh memalukan alasan yang digunakan mereka langsung tidak masuk akal dan falasi.
Akan tetapi saya tidak berhenti membaca di situ. Saya juga ada membuka Facebook Page pihak yang menyokong tindakan Israel untuk membaca hujah mereka. Sangkaan saya betul apabila pandangan mereka hanyalah berdasarkan sentimen dan persepsi tidak berasaskan fakta dan kajian sejarah. Seolah-olah membunuh itu dibenarkan hanya untuk tinggal di satu tempat yang asalnya bukan milik kita. Justeru, apa kaitan Palestin dan apologetik? Maksud apologetik adalah ekspresi rasa bersalah terhadap kesalahan seseorang. Dunia kini seakan sudah terbalik apabila umat Islam terpaksa berasa apologetik apabila pihak Palestin menyerang balas. Seakan Palestin itu hanya dibenarkan untuk bertahan dan tidak boleh menyerang langsung. Ini adalah pandangan yang terlalu dungu lagi dangkal untuk dihadam oleh sesiapa pun. Mereka bertanya dalam nada provokasi, mengapa Palestin menyerang kalau tidak buat salah? Lalu saudara Muslim yang lain terpaksa rasa bersalah terhadap tindakan Palestin mempertahankan diri, menampakkan bahawa mereka yang menyokong Israel ini hanyalah sekadar membina persepsi berdasarkan sentimen semata-mata bukan fakta. Kita begitu apologetik apabila saudara kita cuba membina kehidupan. Apakah mereka hanya layak tinggal dalam runtuhan bangunan?
![]() |
Pertolongan Amerika Syarikat Sumber: Google |
Jika di Malaysia tanah air kita, isu yang menjadi polemik dan perbahasan tak sudah ialah hudud dan negara Islam. Disebabkan penduduk Malaysia bukan sahaja terdiri daripada kaum Muslim, rakyat yang mempunyai sisi pandang berbeza berasa begitu takut dan skeptik terhadap perlaksanaan hudud. Teringat saya dalam salah satu video Dr Abdul Basit di Youtube apabila beliau mengatakan antara perkara ajaib dalam dunia ialah orang Islam sendiri menentang hukum perundangan Islam. Kita berasa apologetik apabila orang bukan Islam menyatakan risau dengan cara perlaksanaan hudud itu. Ini berikutan masalah lain seperti ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan, ketidakadilan dan hak sama rata dalam undang-undang sedia ada, masih wujud ramai gelandangan dan sebagainya.
Mereka persoalkan jika masalah tersebut belum pun dibasmi, apakah relevannya dilaksanakan hudud. Ditambah pula pihak yang menyatakan perlu suasana kondusif dalam landskap pentadbiran Malaysia. Akhirnya, cubaan untuk bertoleransi dengan orang bukan Islam membuatkan jiwa seorang Muslim itu terhakis dan lama kelamaan berasa apologetik. Tidak berani untuk tampil menyatakan wajibnya melaksanakan perundangan Islam yang terdiri daripada hudud, qisas, takzir dan diat. Jika diikutkan sifir pihak yang menentang undang-undang Islam kerana kononnya banyak lagi perkara yang tak diselesaikan, apakah undang-undang sedia ada ini berjaya selesaikan masalah yang mereka fokuskan itu?
Adakah hukuman gantung sampai mati dapat membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat? Adakah sebatan dan penjara dapat menghentikan kejadian rogol? Adakah penjara juga dapat membasmi aktiviti ragut, samun, rompak dan mencuri? Pelik apabila mereka seakan tidak terfikir segala hukuman ini yang tidak begitu berkesan seperti angan-angan dalam utopia mereka sendiri. Antara hujah mereka juga, takut apabila perundangan Islam dilaksanakan mengikut tafsiran yang salah. Namun, mereka tidak fikir pula apabila undang-undang sedia ada ini mengikut tafsiran hakim secara individu, bukan seperti hukum Islam yang kuasa tafsiran tidak terletak pada tangan individu tetapi para ilmuan yang punya hikmah:
عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ الْمَرْأَةِ الَّتِي سَرَقَتْ فِي عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ الْفَتْحِ فَقَالُوا مَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأُتِيَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَلَّمَهُ فِيهَا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ فَتَلَوَّنَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ فَقَالَ لَهُ أُسَامَةُ اسْتَغْفِرْ لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَلَمَّا كَانَ الْعَشِيُّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاخْتَطَبَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَإِنِّي وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا ثُمَّ أَمَرَ بِتِلْكَ الْمَرْأَةِ الَّتِي سَرَقَتْ فَقُطِعَتْ يَدُهَا قَالَ يُونُسُ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ فَحَسُنَتْ تَوْبَتُهَا بَعْدُ وَتَزَوَّجَتْ وَكَانَتْ تَأتِينِي بَعْدَ ذَلِكَ فَأَرْفَعُ حَاجَتَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Dari Aisyah, isteri Rasulullah, bahawa orang-orang Quraisy merasa kebingungan dengan masalah seorang perempuan Makhzumiah yang mencuri pada masa Nabi Muhammad sallahu alaihi wassalam ketika penaklukan kota Mekah.
Kemudian mereka bertanya, "Siapa yang berani membicarakan masalah ini kepada Rasulullah?" Dengan serentak mereka mengusulkan, "Tidak ada yang berani melakukan hal ini kecuali Usamah, yang dicintai Rasulullah."
Akhirnya perempuan itu dibawa menghadap Rasulullah. Kemudian Usamah bin Zaid membicarakan masalah perempuan tersebut kepada beliau. Setelah mendengar penjelasan Usamah itu, tiba-tiba wajah baginda berubah menjadi merah. Lalu baginda bertanya, "Apakah kamu ingin bersikap kasihan dalam hukum Allah?" Mengetahui hal itu Usamah pun berkata kepada beliau, "Maafkanlah saya ya Rasulullah!"
Petang harinya Rasulullah SAW berdiri dan berpidato di hadapan kaum muslimin. Setelah memanjatkan puji kepada Allah, baginda pun mulai berkata, "Amma ba'du, sesungguhnya yang membuat binasa orang-orang sebelum kalian adalah manakala ada orang yang mulia dan terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka pun membiarkannya. Sebaliknya, manakala ada orang yang lemah dan hina di antara mereka mencuri, maka dengan segera mereka melaksanakan hukuman atasnya. Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalau seandainya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescaya saya akan memotong tangannya."
Akhirnya Rasulullah pun memerintahkan para sahabat untuk memotong tangan perempuan yang mencuri itu. Aisyah berkata, "Setelah peristiwa itu perempuan tersebut bertaubat dengan sebaik-baiknya dan menikah. Hingga pada suatu ketika, dia datang kepada saya untuk minta tolong mengajukan hajat permintaannya kepada Rasulullah. Lalu saya pun memenuhi permintaannya tersebut
[Riwayat Muslim]
Hadis menceritakan bagaimana Rasulullah melarang sikap apologetik untuk menegakkan apa yang hak di atas muka bumi. Baginda berjanji sekiranya anaknya Fatimah mencuri, pasti akan dipotong juga tangannya dan akan binasa sesuatu tempat jika orang atasan dibiarkan tanpa diadili. Menarik juga ayat ini apabila kita perhati segelintir Muslim yang 'exaggerate' atau terlebih semangat tetapi rokok di tangan sukar dilepaskan. Patutlah orang bukan Islam takut sangat dengan perkataan undang-undang Islam dek kerana sifat sesetengah Muslim (tak patut dijadikan contoh) yang jauh dari agama Islam itu sendiri dan cenderung untuk salah tafsir hukuman dalam undang-undang Islam itu nanti. Kita begitu apologetik akibat si jahil yang dijadikan contoh.
Ritual dan Sensitivi Dalam Agama
Saya lebih gemar menggunakan tajuk dalam konteks agama yang mana bukan khusus untuk Islam kerana dalam kehidupan ini saya berpendapat bahawa dunia ini akan aman apabila mereka yang mendakwa menganuti agama tertentu balik kepada ajaran masing-masing. Bukan hanya menjadikannya ritual dan sensitiviti semata-mata. Manakala mereka yang tidak beragama (atheist) perlulah mempunyai pendirian yang tetap dalam kehidupan. Ini disebabkan manusia yang bersifat bagaikan lalang adalah sangat berbahaya yang boleh berubah-ubah mengikut situasi mengikut akal terhad mereka. Maksud di sini ialah contoh perbuatan menipu jika tiada sebarang panduan, individu boleh sahaja memberikan beribu alasan untuk menghalalkannya. Dunia kini kucar kacir disebabkan individu-individu seperti ini wujud meskipun mereka mendakwa mempunyai pegangan tertentu.
Malang hari ini apabila agama hanya menjadi ritual dan sensitivi kita. Dalam perjalanan kehidupan hanya berfikir mengenai agama apabila tiba hari perkahwinan, hari raya, hari kematian ataupun majlis tertentu dimulai dengan doa tetapi isi dalamnya penuh dengan aktiviti mungkar dan maksiat. Agama hanya terletak pada ibadah semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan haji. Lalu muncul beberapa komentar "agama hal peribadi".
![]() |
Doa jemaah Sumber: Google |
Dalam silibus sekolah rendah sekalipun, kita diajar bahawa Islam itu agama yang menyeluruh merangkumi aspek cara hidup kita semuanya. Tetapi malang berlaku apabila hari ini kita menganggapnya sebagai hanya 'agama' bukannya cara hidup. Lalu berlakulah perkara seperti sebelum solat di masjid sempat hisap rokok, majlis yang dimulakan doa tetapi campur kemungkaran/maksiat, menutup aurat hanya apabila solat, menyertai pelaburan yang tidak patuh syariah dan sebagainya. Selain itu, analogi yang sesuai ialah sebuah kedai makan yang bersih selesa dan jujur lebih memenuhi syariat Islam berbanding kedai makan yang mencekik darah dan kotor meskipun pekerja tutup aurat, pakai kopiah, memasang ceramah agama dan menampal ayat al-Qur'an di dinding:
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Rasulullah sallahu alaihi wassalam pernah berjalan melewati longgokan makanan yang akan dijual. Lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, maka tanpa diduga sebelumnya, jari-jari tangan beliau menyentuh sesuatu yang basah. Kemudian baginda keluarkan jari-jarinya yang basah itu seraya bertanya, "Ada apa di dalamnya ini?"
Orang yang mempunyai makanan tersebut menjawab, "Mungkin basah kerana kehujanan ya Rasulullah" Lalu Rasulullah pun bertanya lagi kepadanya, "Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas agar supaya dapat diketahui orang lain? Barang siapa yang menipu, maka dia bukan termasuk umatku
[Riwayat Muslim]
Perkara ini juga dapat dilihat dalam kalangan pelajar mahasiswa dan mahasiswi menjelang tibanya hari peperiksaan. Mereka tidak kisah dosa menipu dalam peperiksaan dan dengan beribu alasan mengatakan perlunya ada rujukan dalam menjawab. Lalu dikeluarkan segala teori berkenaan peperiksaan terbuka atau 'open book exam'. Saya antara orang yang sangat tidak sukakan peperiksaan secara menghafal dan perlu menjawab soalan panjang dalam jangka waktu tertentu. Saya juga menyokong penuh teori open book exam ini. Tetapi usahlah kita menjadi penipu dengan mengatakan bahawa itu adalah hasil usaha sendiri dengan meniru dalam peperiksaan. Inilah contoh akibat apabila agama hanya menjadi alat ritual semata-mata.
![]() |
Meniru ialah menipu Sumber: Google |
Agama juga boleh dimalukan oleh penganutnya apabila si penganut mengatakan sesuatu yang tak benar atas nama agamanya. Contoh terbaru ialah isu anjing yang menjadi sensitiviti masyarakat Islam (khasnya Melayu) di Malaysia. Sungguh memalukan Islam apabila terdapat pihak yang mengatakan anjing ialah penghinaan terhadap Islam, lalu dilaporkan oleh media luar negara mengatakan Islam membenci anjing. Tetapi tidak, Islam tidak membenci anjing.
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur; Dan kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi oleh ketakutan terhadap mereka
[al-Kahfi ayat 18]
Di dalam al-Qur'an sendiri mengisahkan pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang turut ditemani anjing menunjukkan bahawa bukanlah Muslim yang baik itu jelek dan anti terhadap anjing. Malah mereka selesa bersama anjing sehinggakan turut tidur bersama di dalam gua. Ini menunjukkan mereka berhubung baik dengan anjing, bukan seperti pihak tertentu di Malaysia yang melayan Islam sebagai sensitiviti semata-mata. Amat kasihan agama Islam apabila pihak ini mengakibatkan orang bukan Islam yang lain salah anggap.
![]() |
Anjing Sumber: Google |
بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنْ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ بِي فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا فَقَالَ نَعَمْ فِي كُلِّ ذَاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Ada seorang lelaki sedang berjalan melalui suatu jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Kebetulan dia menemukan sebuah sumur, maka dia turun ke sumur itu untuk minum. Setelah keluar dari sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan.
Orang itu berkata dalam hatinya; "Alangkah hausnya anjing itu, seperti yang baru ku alami." Lalu dia turun kembali ke sumur, kemudian dia menceduk air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterima-Nya amalnya) dan diampuni-Nya dosanya.
Para sahabat bertanya; "Ya, Rasulullah! Dapat pahalakah kami bila menyayangi haiwan-haiwan ini?" Jawab baginda: "Ya, setiap menyayangi makhluk hidup adalah berpahala"
[Riwayat Bukhari]
Sudah jelas juga di dalam hadis ini bagaimana Islam menyayangi semua makhluk hidup termasuk anjing. Oleh itu, sebarang kenyataan oleh pihak yang begitu sensitif dengan anjing adalah tertolak dan tidak seharusnya dijadikan contoh mewakili kaum Muslim atau agama Islam sendiri.
Kesimpulan
Terkadang kita lihat adanya orang yang mempunyai kesedaran agama dan ada juga tiada kesedaran agama. Begitu banyaknya tafsiran dan idea dalam menjalani kehidupan dunia, sarat dengan pelbagai pendapat. Persoalan kewujudan Tuhan seringkali dibawa kembali dari skrip lama.
![]() |
Kecewa dalam pelbagai tafsiran Sumber: Google |
Hakikatnya, bergantung kepada bagaimana sisi pandang kita sewaktu menjalani saki baki kehidupan. Semuanya disebabkan oleh apa yang kita pilih untuk percaya. Itulah sebabnya para ulama' terdahulu kerap kali mengembara dalam mendalami ilmu. Berjumpa dan bergaul dengan pelbagai jenis manusia serta pengalaman yang ditempuhi selama itu. Semoga kita akan terus mencari dan usaha dalam perjalanan menuju akhirat.
Wallahualam.
0 Ulasan