Ticker

6/recent/ticker-posts

Putus Cinta Dengan Bergaya atau Kecewa?

Bismillah,

Siapa yang pernah putus cinta? Siapa yang takut putus cinta? Siapa yang belum pernah bercinta? Siapa yang masih dalam percintaan? Sebelum itu, maksud cinta di sini ialah hubungan lelaki wanita yang berteraskan kasih sayang sama ada belum atau sudah melalui jalan pernikahan. Itulah yang saya maksudkan supaya tiada salah faham dalam tulisan ini. Berkaitan isu bolehkan bercinta menurut hukum Islam, saya anjurkan bacalah buku Bolehkah Bercouple karangan Ustaz Nizam Abdul Kadir terbitan Telaga Biru yang berharga kurang daripada RM 20 ataupun bacalah tulisan adik saya di Facebook dan blog beliau. Di sini cumalah ingin saya mengeluarkan pendapat yang serba kurang hasil daripada pembacaan dan pengalaman sendiri sebagai manusia yang hidup bernafaskan cinta.

Persoalan di awal perenggan tadi adalah menunjukkan bahawa cinta itu sesuatu yang dikurniakan dalam jenama 'rezeki'. Sepertimana hadis yang dikatakan oleh Aisyah apabila beliau cemburu bahawa Rasulullah mengatakan baginda telah dikurniakan rezeki cinta Khadijah walaupun telah pun meninggalkan baginda sebelum beberapa ketika menikahi Aisyah yang perawan.

إِنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا
Aku telah dikurniakan rezeki cinta
[Riwayat Muslim]

Apabila cinta itu adalah rezeki, maka usahlah kita risau jika cinta itu masih belum ada atau ada tetapi bermasalah atau lain-lain lagi. Ini kerana Allah itu telah menentukan rezeki masing-masing sesuka hati (saya tak maksudkan Allah ada hati) berdasarkan ayat al-Qur'an

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya). Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
[Surah Saba' ayat 36]

Kebanyakan orang gemar persoalkan mengapa tiada cinta yang sudi diberi, atau ada juga yang merendahkan orang lain tiada punya pasangan bercinta lagi kerana mereka tiada pengetahuan akan hal ini. Rezeki cinta adalah kenikmatan kita merasai kasih sayang dan perhatian daripada pasangan, itulah maksudnya dengan rezeki. Sesuatu yang boleh kita rasai, boleh kita nikmati. Bukanlah cinta itu satu perkataan "saya cintakan awak" atau satu harapan yang tiada asas ke arah pernikahan namun cinta ialah perkara yang hanya jiwa kita boleh fahaminya walaupun hampir semua orang di dunia bercakap mengenainya. Jadi usahlah kita terlalu terbawa-bawa dengan emosi apabila belum dikurniakan rezeki ini kerana Allah telah tentukan yang terbaik buat kita. Eloklah kita berdoa dan berusaha sedaya mampu untuk peroleh rezeki ini.

Sumber: Google
Putus cinta ialah situasi di mana seseorang itu gagal dalam hubungan kasih sayang lelaki wanita atas beberapa sebab seperti faktor keluarga, tidak sehaluan dan punyai hubungan lain. Baru-baru ini sahabat saya telah pun putus cinta apabila beliau mendapati pasangannya itu rupanya punyai hubungan lain secara sembunyi dan terus sahaja berpisah sebaik sahaja pecah tembelangnya. Beliau berasa sungguh kecewa dan putus asa dalam kehidupan sehariannya kerana menganggap segala pelaburan yang beliau usahakan atas nama cinta itu telah pun lebur dengan sia-sia. Labur yang menjadi lebur dalam kata yang mudah. Selain beliau, saya yakin kebanyakan orang yang mengalami putus cinta percaya akan sifir begini. Namun bagi saya, semua itu bukanlah sia-sia secara keseluruhannya kerana tanpa perbuatan itu semua kita tidak mampu mengambil pengajaran daripadanya.

Sumber: Twitter
Tanpa kesilapan hari ini mungkin sukar untuk kita belajar pelajaran yang terdapat dalam episod kehidupan. Hari ini kita jatuh basikal, esok pasti kita mampu mengayuh dan menunggangnya dengan begitu baik sekali. Begitulah Allah jadikan ujian hari ini untuk pelajaran masa hadapan. Itu semua adalah terpulang pada kesudian kita sama ada untuk mengenal pasti dan mengambil iktibar atas kejadian yang lepas atau pun terus sahaja menolak apa yang berlaku lantas menjadikan diri kita gagal belajar isi kandung yang tersurat dalam permasalahan lalu. Hakikatnya, ini semua adalah pilihan kita sendiri untuk mengawal bagaimana kita hadapi kisah putus cinta ini. Dalam al-Qur'an, banyak kisah daripada kaum terdahulu yang diceritakan melalui penurunan kitab ini supaya kita mengambil pengajaran daripadanya

فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir
[al-A'raf ayat 176]

Bergaya atau kecewa? Itulah yang sebenarnya ingin saya ketengahkan dalam tulisan ini, iaitu pilihan apabila menghadapi putus cinta. Ini kerana saya secara peribadi percaya bahawa hidup ini adalah berkisar kepada pilihan yang Allah kurniakan pada kita. Manusia itu diberikan kebebasan dan pilihan (free will) kerana bertepatan dengan tujuan diciptakan dunia ini yang mana ingin menguji kita. Adalah tidak adil sekiranya Allah cipta dunia ini untuk menguji manusia tetapi tidak memberikan kita kebebasan untuk memilih selari dengan ayat berikut:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya
[al-Mulk ayat 2]

Manusia diberikan pilihan untuk mencorakkan kehidupan mereka menuju kampung akhirat yang kekal. Hal ini berdasarkan kias kepada hadis yang mana Rasulullah mengatakan orang yang tidak masuk syurga adalah mereka yang enggan.

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَنْ يَأْبَى؟ قَالَ: مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
Seluruh umatku akan masuk syurga, kecuali yang enggan.” Maka dikatakan: “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Baginda menjawab: “Barangsiapa yang mentaatiku maka dia pasti masuk syurga, sedangkan barangsiapa yang menderhakaiku maka sungguh dia telah enggan.”
[Riwayat Bukhari]

Dalam hadis ini dapat kita lihat bahawa bukanlah sewenangnya Allah mencampakkan manusia ke neraka tanpa diberikan peluang untuk memilih, namun atas usaha manusia itu sendirilah dia dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Adalah satu pandangan yang pelik dan kelakar jika disalahkan pihak lain selain diri sendiri dalam kehidupan ini kerana tiada siapa yang boleh menentukan bagaimana hidup kita tanpa persetujuan sendiri. Manusia yang gemar menyalahkan orang lain tanpa ingin menerima kenyataan bahawa semuanya adalah bergantung pada diri mereka sendiri adalah digelar sebagai 'narcissism' yang bermaksud perasaan syok sendiri yang melampau.

Sumber: Google
Oleh itu pada saya cukuplah kita pecahkan cara fikir sebelum ini yang mungkin ada di antara kita mengganggap diri mereka tiada pilihan selain hanya terus berduka dan kecewa setelah putus cinta. Seterusnya yang ingin saya sentuh dalam tulisan ini ialah buatlah piliihan yang baik iaitu putus cinta dengan cara yang bergaya bukan kecewa. Ramai antara mereka yang putus cinta gemar berada dalam keadaan yang kecewa untuk masa yang begitu lama. Adalah normal untuk kita kecewa pada awal putus cinta, namun berada dalam suasana yang kecewa begitu lama bukanlah sikap yang baik untuk diteladani. Kebanyakannya yang kecewa akan mengalami sindrom dikenali sebagai 'inferiority complex' yang bermaksud perasaan kekurangan diri dalam kesemua aspek. Perkataan ini saya mula dengar apabila abang saya yang belajar mengenai psikologi di universiti yang terletak di Terengganu menceritakannya pada saya. Asalnya teori ini dikemukakan oleh Alfred Adler, seorang pakar di dalam bidang psikologi. Kaitan teori ini dengan putus cinta ialah terdapat mereka yang kecewa seringkali mengganggap kesemua salah dan silap dibebani atas mereka. Apa yang terjadi adalah bukan salah pasangannya tetapi salah diri mereka sendiri. Pandangan begini ada baiknya cuma jika dilihat hanya dari segi kesalahan satu pihak boleh membawa kedangkalan yang nyata. Menurut teori ini, kadangkala ada orang yang punyai masalah sejak kecil lagi seperti masalah asal daripada keluarga yang agak berpecah atau keganasan terhadap kanak-kanak atau lain-lain lagi. Insan seperti ini mempunyai kecenderungan yang kuat untuk mengalami penyakit inferiority complex.

Sumber: Google
Kesan daripada penyakit ini ialah orang tersebut akan merasa diri mereka tidak berguna, tidak berhak untuk mendapat apa-apa yang diingini, tidak bagus berbanding orang lain, takut untuk ke hadapan dan bersuara, takut untuk mengekspresikan diri mereka hasil daripada trauma disakiti emosinya. Ada juga sesetengah orang yang mengambil pendekatan secara ofensif iaitu melakukan aktiviti yang disangkanya memberi manfaat pada diri hanya sekadar sebagai wadah untuk melupakan si dia yang telah pergi seperti menghisap dadah/rokok, berhenti kerja/belajar secara drastik dan lain-lain. Mungkin ini berlaku kerana diikuti logik bahawa cinta mereka dikhianati disebabkan kekurangan pada diri berbanding orang lain yang dipilih oleh pasangannya itu. Walau bagaimana pun, tidaklah benar pemikiran sebegitu kerana bukanlah semestinya bermaksud kita yang punyai kekurangan akan tetapi mereka yang mengkhianati cinta itulah sepatutnya diletakkan liabiliti padanya. Usah lagi takut dan bersedih dengan apa yang telah terjadi kerana bukanlah diri kita ini insan yang tidak berguna atau pun mengambil jalan lain yang merosakkan dan tidak membawa faedah kepada diri akibat kecewa. Malah perkara ini amat berlawanan dengan apa yang Allah telah nyatakan di dalam al-Qur'an:

وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu
[Fussilat ayat 30]

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi  umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.
[Ali Imran ayat 110]

قُلْنَا لَا تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ الْأَعْلَىٰ
 Kami berkata: "janganlah kamu takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul

Tiga ayat al-Qur'an ini menjadi panduan yang sungguh berguna kepada kita sebagai motivasi untuk keluar daripada kepompong kekecewaan. Saya lebih mendekati akan hal inferiority complex berbanding kekecewaan lain seperti berbuat maksiat dan kemungkaran kerana pada saya inilah petanda atau simptom sebelum seseorang itu melakukan aktiviti maksiat dan kemungkaran kerana terlalu lama dan penat menjadi lemah akibat kecewa, lantas terus terjebak dengan hasutan syaitan konon pada awalnya dengan niat untuk melupakan kekecewaan tetapi akhirnya terjerumus dengan belitan hasutan tersebut yang menghalalkan perbuatan haram. Terdapat juga hadis yang menggalakkan kita menjadi lebih proaktif berbanding pasif sepertimana sabda Rasulullah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Dari Abu Hurairah (R.A) dia berkata, "Rasulullah SAW telah bersabda, 'Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala daripada orang mukmin yang lemah.'
[Riwayat Muslim]

Begitu juga dengan mereka yang begitu letih menjadi lemah lalu akibat terlalu kecewa dan marah, terus terjebak dalam maksiat dan kemungkaran.

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ
Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam; "Berilah aku wasiat?" Baginda bersabda: "Janganlah kamu marah." Lelaki itu mengulangi kata-katanya, baginda tetap bersabda: "Janganlah kamu marah."
[Riwayat Bukhari]

Sumber: Facebook
Terdapat juga mereka yang apabila telah gagal dalam percintaan terus sahaja membuat pukul rata ataupun generalisasi menyalahkan satu pihak sahaja seperti seorang lelaki yang terus menerus menyalahkan kaum wanita dan begitu juga sebaliknya. Hanya disebabkan seorang lelaki/wanita yang menodai cinta mereka, terus sahaja dikatakan semuanya tidak berguna dan jahat. Ini adalah pandangan kekecewaan yang sungguh dangkal hasil daripada emosi yang tak waras. Hasil daripada trauma tersebut, mereka terus sewenangnya memperlekeh orang lain lantas menyendiri menghukum diri sendiri. Perbuatan ini sangatlah tidak elok kerana ianya berlawanan dengan fitrah manusia yang perlukan hubungan dan interaksi sosial merentasi jantina, bangsa dan agama. Oleh itu, ada satu hadis yang pada saya mungkin boleh dikiaskan dengan persoalan ini.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
Dari Ibnu Umar (R.A) dia berkata, "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, 'Orang mukmin yang bercampur dengan orang lain dan dia dapat bersabar atas kejahatan mereka, lebih besar ganjaran pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bercampur dengan orang lain dan tidak dapat bersabar atas kejahatan mereka."
[Riwayat Ibn Majah]

Dalam menyimpulkan tulisan ini, saya menyeru kepada mereka yang putus cinta supaya pilihlah jalan yang baik dan matang dalam menelusuri ujian Allah terhadap kita.

Sumber: Facebook


Perkara ini tepat dengan maksud hadis

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Hebatnya tingkah seorang Mukmin, setiap perkara ditanggapi secara baik dan positif, apabila dikurniakan kesenangan disyukurinya kerana ia baik baginya, manakala apabila ditimpakan kesusahan disabarinya kerana ia juga baik untuknya
[Riwayat Muslim]

Pada awal tulisan ini juga telah saya nyatakan bahawa cinta itu adalah rezeki. Eloklah kiranya mereka yang putus cinta itu sudi mengambil jalan yang baik dengan berdoa kepada Allah sebagaimana doa berikut yang menggunakan nama rezeki sebagai cara mempakejkan doa tersebut. Apa yang penting, perlulah kita yakin bahawa Dia yang memiliki kebahagiaan itu akan kurniakan yang terbaik buat kita.

Sumber: Facebook
Akhir kata, antara bergaya dan kecewa pilihlah yang bergaya kerana itu lebih baik buat kita. Marilah kita sama-sama menghayati kata-kata ulama' perihal percintaan ini mungkin dapat menghasilkan falsafah baru dalam alam cinta untuk kesejahteraan semua.

Sumber: Facebook

Wallahualam, segala yang kurang minta ditegur.











Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement