Dalam masa kita ingin menyampaikan sesuatu isi atau mesej kepada penerima, kadangkala kita sering lalai dan alpa berkenaan pendekatan yang kita gunakan dalam penyampaian itu. Ini kerana saya teringat akan kebiasaan orang yang gemar menyebarkan mesej berantai dimana biasanya di akhir perenggan dalam mesej berkenaan seakan memaksa kita supaya turut menyebarkannya jikalau tidak ingin dilabel atau dikenakan sesuatu yang buruk, berdasarkan kepercayaan masing-masing. Hal ini secara tak langsung meletakkan liabiliti pada kita, sebagai pembaca dan mencampakkan kegusaran dalam hati kononnya kita ini 'tidak baik' kerana mengabaikan mesej yang penuh dengan nasihat dan teguran itu.
Namun, bukan itu yang ingin saya ketengahkan di dalam penulisan ini. Apa yang boleh dijadikan contoh dan pengajaran dari kisah yang saya selitkan itu ialah kepentingan adanya hikmah dalam menyampaikan sesuatu perkara.
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
[an Nahl ayat 125]
Sumber: Ustaz Hasrizal
Berdasarkan ayat ini jelas menerangkan kepentingan hikmah dan cara yang baik dalam menyeru kepada jalan Allah. Niat yang baik perlu diselarikan dengan cara yang baik, bukan semata-mata niat yang baik tetapi apa sahaja jalan digunakan sebagai alasan kepada tujuan yang dikatakan baik itu seperti yang saya bagi contoh di atas menggunakan cara tersembunyi untuk memaksa orang menyebarkan mesej yang sama tetapi terlupa bahawa dengan cara itu isi dan penyampaian di dalamnya kurang terkesan dalam hati si penerima dek kerana liabiliti yang diletakkan padanya.
Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah mengenai ruh di dalam penyampaian seruan. Maksud ruh yang saya beri ialah sesuatu yang abstrak, terbekas dalam hati seseorang yang mampu memberi kesan pada keimanan dan tindakan mereka setelah menerimanya. Hal ini lebih kepada hidayah yang Allah kurniakan pada kita mengikut siapa yang Dia ingin beri sepertimana ayat:
مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا
Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.
[al Kahfi ayat 17]
Sememangnya adalah suka hatilah pada siapa yang Allah ingin kurniakan taufik dan hidayah, namun itu adalah kerana atas pilihan kita sendiri. Ini kerana, hidup adalah berdasarkan pilihan yang kita ambil. Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya tanpa diberikan keupayaan untuk mereka memilih jalan dalam kehidupan ini. Semuanya bertitik tolak pada tindakan kita sendiri, bukannya kita tidak diberikan keupayaan untuk memilih sepertimana ayat,
مَّنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk
(keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia
tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat
memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus
seorang rasul.
[al Israa' ayat 15]
----------------------------------------------------------------------------------
Maksudnya di sini ialah, walaupun hidayah itu milik Allah tetapi cara kita menyampaikan dan menyeru kepada makruf, mencegah kemungkaran perlulah selari dengan cara yang berhikmah supaya dapat memasuki jiwa dan hati si penerima itu. Oleh itu, cukuplah di sini saya timbulkan mengenai pendekatan yang sesuai. Apa yang ingin saya tulis ialah sebenarnya berkenaan isu 'ad hominem'.
Ad hominem adalah satu istilah yang mana pertama kali saya dengar ialah sewaktu abang saya yang dahulunya belajar di Russia pulang ke rumah setelah habis enam (6) tahun pengajiannya di sana. Beliau menyebut istilah ini kerana beliau selalu melayari internet di sana yang mana tahap kelajuannya lebih tinggi berbanding Malaysia. Beliau gemar membaca dan menonton video berkenaan perbincangan mengenai rentasan agama, bagaimana orang-orang mengemukakan hujah dan sebagainya untuk menguatkan pandangan mereka. Dalam ilmu pemikiran kritikal, kita akan bertemu dengan istilah 'fallacy' yang bermaksud cara salah berfikir mengenai sesuatu. Dalam fallacy ada terbahagi kepada beberapa jenis dan salah satunya ialah 'ad hominem' yang mana hujah seseorang itu ditolak hanya berdasarkan personaliti si pengemuka idea, bukannya berdasarkan intipati idea tersebut.
Ketika saya memasuki ijazah pertama saya di semester tiga, saya berjumpa lagi dengan istilah ini apabila diwajibkan mengambil subjek English For Critical Academic Reading. Dalam subjek ini, kami diajar bagaimana untuk menilai sesuatu hujah itu dengan kritis dan berdisiplin supaya memastikan kredibiliti dan kesahihan sesuatu maklumat dalam penulisan orang. Manusia tidak dapat lari daripada bias (berat sebelah) dan kesilapan dalam mengeluarkan pendapat, namun kita boleh menapisnya dengan beberapa prinsip dan disiplin.
" Secara umumnya, ad hominem bermaksud kita tolak hujah kerana peribadi orang yang bercakap "
Menurut pandangan kebanyakan orang, ad hominem fallacy adalah sesuatu yang tidak elok, silap dan buruk. Ini kerana, kita tidak perlu menilai seseorang itu untuk menjustifikasikan tindakan kita sebaliknya lihatlah pada hujahnya. Tidak boleh dijadikan alasan seseorang itu ada sebarang silap, kita terus menolak keseluruhan apa yang dikatakannya walaupun benar sekalipun. Hal ini pernah dibangkitkan oleh abang saya yang belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin, sewaktu kami berbual mengenai memberi motivasi pada orang. Pensyarah beliau menceritakan bahawa dia pernah cuba memberi motivasi pada golongan bermasalah, penagih dadah namun ditolak mentah-mentah oleh mereka kerana dikatakan dirinya tidak memahami apa yang dirasakan oleh seorang penagih. Perkara ini kita dapat lihat wujudnya fallacy ad hominem apabila pensyarah abang saya tidak diterima oleh sekelompok penagih dadah untuk memberi kata-kata motivasi. Namun, hasil daripada ilmu dan pengalaman seorang motivator, beliau memberi analogi seorang doktor dan pesakit. Adakah seorang doktor tidak layak untuk memberi nasihat dan preskripsi ubat hanya kerana tidak tahu bagaimana sakitnya? Adakah doktor pakar sakit puan seperti Dr Ismail Tambi tidak boleh menasihati seorang wanita, hanya kerana dia seorang lelaki? Begitulah analogi yang digunakan untuk membuatkan kumpulan penagih itu akhirnya terdiam dan menerimanya tanpa banyak bicara.
Akan tetapi, di sini saya cuba membawa pendekatan Islam yang wasathiyah (terbaik, di tengah-tengah) berkenaan hal ad hominem fallacy ini. Dalam Islam ada dua perkara yang digariskan iaitu,
(nombor bukan bererti lebih utama)
1. Menerima hujah walaupun daripada orang yang retorik (dari segi si penerima)
2. Menghilangkan sebaik mungkin silap pada diri untuk berhujah (dari segi si pengemuka)
Hubungan komunkasi yang baik adalah melibatkan lebih daripada \seorang. Jika hanya seorang, itu hanya bercakap dengan diri sendiri. Justeru itu, apabila melibatkan lebih daripada seorang, si pengemuka dan si penerima perlulah saling bekerjasama dalam penyampaian mesej untuk menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah telah pun memberitahu akan pentingnya elemen kerjasama ini di dalam surah at Taubah ayat 71 yang begini
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar
[at Taubah ayat 71]
Pertama sekali saya ingin sentuh mengenai dari perspektif penerima mesej. Menurut pendapat saya, dalam Islam kita perlu sebaik mungkin cuba menghilangkan rasa berat sebelah dan terima apa yang baik datang dari seseorang meskipun dia adalah seorang yang teruk seperti melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Pepatah Melayu ada mengatakan,
"buang yang keruh, ambil yang jernih"
Walaupun kita kenal dengan perangai seseorang yang teruk bagi kita, janganlah terus menutup telinga apabila dia mengatakan sesuatu. Ambillah apa yang bermanfaat keluar dari mulutnya dengan penuh hikmah dan sabar. Ini adalah ciri seorang yang hebat, sudi mengambil apa sahaja pengajaran baik walau datang dari sampah sekalipun. Dr Zaharuddin Abdul Rahman, seorang yang berpengetahuan luas dalam agama Islam juga menyarankan supaya kita sebaiknya cubalah ambil isi yang bermanfaat untuk diri kita meski pun yang berkata itu bukan dari mereka yang sealiran dengan kita atau yang kita anggap tidak elok.
Sumber: Facebook Dr Zaharuddin
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.
[az Zumar ayat 18]
Justeru, orang yang bijak ialah mereka yang ambil yang paling baik (bermanfaat) dari mana sekalipun yang mana akan dikurniakan taufik dan hidayah Allah. Itulah yang sebaiknya sebagai penerima sesuatu mesej dalam penyampaian seseorang. Contoh yang ingin saya beri ialah dalam hal mesej berantai di atas. Walaupun kita tidak setuju dengan cara peribadi seseorang menyampaikan ilmu, janganlah kita terus sahaja menolak isi penyampaian itu. Seeloknya dan lebih molek apabila kita ambil isi tersebut dan tegur orang tersebut secara berhemah tanpa menyerang peribadi dia.
Yang kedua ialah dari perspektif si penyampai. Dalam Islam, seseorang yang berkata mengenai sesuatu perlulah juga mengamalkannya secara peribadi. Jika kita melarang orang mengambil riba', kita juga mestilah bebas daripada terlibat dengan riba'. Jika kita menyuruh orang melaksanakan solat berjemaah, kita juga perlulah terlebih dahulu solat berjemaah. Inilah yang sebaiknya patut berlaku.
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah. Maka tidakkah kamu berakal?
[al Baqarah ayat 44]
Ayat terakhir dalam baris ini menunjukkan siapa yang hanya cakap tak serupa bikin adalah mereka yang bodoh. Walaupun sudah tahu malah menyeru pada orang lain tetapi diri sendiri tidak berbuat demikian menunjukkan seseorang itu bodoh tak berakal. Walaupun kita memberi hujah manusia semuanya tidak sempurna dan sentiasa melakukan kesilapan, namun Allah membalas balik dengan melabel sebagai bodoh. Ini kerana orang bodoh bukanlah bererti dia jahil, tidak mengetahui tetapi maksud bodoh ialah sudah tahu tetapi masih juga tetap tidak berubah.
Sumber: Google
Adakah kita jangka orang lain akan mendengar kata kita sedangkan diri kita sendiri tak betul? Memang ada disebutkan di atas mereka yang bijak ialah yang sudi mengambil pengajaran sekalipun dari seseorang yang cakap tak serupa bikin atau dari seseorang yang tak disukai. Namun, itu adalah sedikit sahaja orang yang mampu berbuat demikian. Hanya mereka yang benar-benar hebat dan matang sahaja mampu melakukan demikian, ciri-ciri mukmin yang berjaya. Yang ingin ditegaskan di sini ialah kehilangan ruh dalam penyampaian sesuatu mesej pada orang awam. Ya, orang biasa yang tahap iman mereka biasa-biasa sahaja yang seringkali lalai dan alpa. Orang awam yang masih lagi jahil dan kita tidak boleh salahkan mereka.
Teringat saya ketika membaca buku John C. Maxwell bertajuk Everyone Communicates Few Connect terbitan PTS dalam terjemahan Bahasa Melayu apabila penulis mengatakan bukan salah pendengar (audience) apabila mereka merasakan sesuatu penyampaian itu membosankan sebaliknya salah penyampai (speaker) yang tidak tahu cara untuk menarik perhatian pendengar. Sedangkan tokoh hebat bukan Islam ini pun setuju dengan ruh dalam penyampaian. Adakah kita jangkakan orang awam akan mendengar kata-kata seorang penjenayah? Adakah orang awam akan mendengar kata-kata seorang pelaku maksiat? Adakah kita rasa adanya ruh masuk ke dalam jiwa kita apabila mendengar dari seseorang yang kita kenal dia gemar melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.
Ruh yang saya maksudkan di sini ialah sesuatu yang masuk ke dalam jiwa kita. Sesuatu yang memberi inspirasi dan motivasi dalam diri untuk menerima, memproses mesej tersebut dan akhirnya bertindak terhadapnya. Analogi yang saya rasakan sesuai dijadikan contoh ialah bayangkan dalam waktu peperangan umat Islam melawan golongan kafir. Tiba-tiba muncul seorang yang mereka sedia maklum pelaku mungkar dan maksiat (seorang fasik) memberi kata-kata semangat sebelum bertempur. Pasti tentera Islam akan merasa sungguh meluat dan jelik lantas sedikit sebanyak memberi kesan motivasi pada mereka untuk bertempur dan akhirnya kebarangkalian untuk tewas naik mendadak.
Sumber: Google
Kesimpulan yang saya ingin kembali tegaskan ialah kita sebagai pendengar lebih elok ambil apa yang bermanfaat untuk diri kita amalkan walaupun dari seseorang yang terukmanakala sebagai penyampai perlulah gunakan cara yang hikmah dan yang kita sendiri telah laksanakan.
Akhir kata, eloklah kita ambil pengajaran dari nasihat Rasulullah terhadap Muaz dan Abu Musa apabila mengutuskan mereka berdua ke negeri Yaman untuk membawa jalan Allah di sana dapat dilihat bahawa baginda melarang kita berdakwah sehingga membuat orang lain tidak suka dan lari daripada Islam.
يَسِّرَا وَلَا تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا وَلَا تُنَفِّرَا وَتَطَاوَعَا وَلَا تَخْتَلِفَا
Mudahkanlah (urusan) dan jangan dipersulit. Berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari (tidak tertarik) dan bekerja samalah kalian berdua dan jangan berselisih
[Riwayat Bukhari]
0 Ulasan