Ticker

6/recent/ticker-posts

Bercinta Dengan Teori Machiavellianisma, "Itu Hak Saya"

Bismillah,

Pertama kali saya mengetahui mengenai teori Machiavellian ialah semasa saya di peringkat semester satu dalam pengajian Diploma. Ini berlaku ketika saya membaca bahan bacaan yang melibatkan subjek sains politik.

Teori ini berkisar seorang ahli politik Itali bernama Niccolò Machiavelli (1469-1527) yang mengetengahkan idea ini di dalam bukunya The Prince bahawa dalam politik kita seharusnya menggunakan jalan yang cilik dan sukar dijangka oleh orang lain demi menggapai kepentingan politik semata. Beliau juga mengatakan pemerintah kadangkala perlu juga menggunakan jalan tidak bermoral untuk matlamat dan kepentingan negara tersebut sekalipun tidak disukai oleh rakyat dan melanggar hak asasi sejagat. Istilah ini boleh dirujuk di dalam kamus Oxford Advanced. Dalam bahasa mudah, teori ini ialah seperti kata orang, "matlamat menghalalkan cara". Asalkan kita capai objektif yang disasarkan, tidak kira apa jua mekanisma dan cara untuk mencapai objektif tersebut. Walaupun tidak amanah, menipu dan tidak jujur terhadap tindakan itu telah menjadi keharusan untuk mencapai objektif....berdasarkan teori ini.

Dalam percintaan, terutamanya yang masih lagi tiada ikatan sah, kadangkala muncul pemikiran bahawa bolehnya kita menodai hubungan itu dengan menggunakan justifikasi matlamat mencari pilihan yang lebih baik. Katanyalah. Sememangnya, inilah yang selalu berlaku dalam masyarakat hari ini tidak kira mereka yang matang atau pun tidak. Mereka menganggap apa salahnya 'melayan' orang lain kerana hubungan mereka masih belum lagi sah. Adalah menjadi hak mereka untuk memilih mana satu yang diingini bersama secara sah. Bagi saya, itulah kesannya apabila tiadanya institusi rumah tangga yang memberi kesan kepada pemikiran dan tindak laku seseorang. Dalam pemikirannya menganggap asalkan bukan lagi bersama dalam keadaan yang sah, maka bolehlah kita 'melayan' orang luar. Dan sebaik sahaja hubungan itu sah, barulah setia. Itulah kesan terhadap pemikiran golongan tersebut.


Namun, sebenarnya perkara ini bukanlah semudah berkisar hubungan tersebut. Tetapi ini adalah kayu ukur berapa jauh tahap kesetiaan seseorang walaupun belum lagi bersama secara sah, sedang janji-janji manis pujangga itu masih lagi kedengaran dan kelihatan. Bukan soal selepas nikah barulah setia tetapi ini soal jati diri peribadi seseorang itu, apakah maruahnya dicaturkan begitu sahaja atas alasan 'mencari yang terbaik'? Ya, dalam percintaan pasti ada sesuatu yang tidak dilakukan sama dengan orang lain berbanding si dia. Mungkin kita layan dengan penuh kasih dan lemah lembut, bersabar dan sebagainya berbanding melayan orang lain dengan cara biasa. Perkara ini bergantung pada tahap keimanan masing-masing. Bagi yang berjaya mengawal dalam kerangka syariat Islam, tahniah saya ucapkan dan bagi yang terlebih-lebih sepertimana orang kata 'ringan-ringan' dan ada yang lebih teruk lagi iaitu 'terlanjur' maka saya seru supaya bertaubat dan tidak mengulangi lagi. Apa yang saya maksudkan di sini ialah betapa 'reckless'nya atau sambil lewanya mereka mencaturkan layanan istimewa itu tanpa berfikir panjang 10 tahun atau 5 tahun atau beberapa tahun akan datang. Jikalau masih lagi ragu dalam hubungan itu, mengapa perlu dipertaruhkan layanan istimewa tersebut yang memang akan memberi harapan secara langsung pada pihak si dia?

Itulah yang dimaksudkan dengan perasaan JEMU. Hal ini menarik perhatian saya apabila di dalam buku Aku Terima Nikahnya oleh Ustaz Hasrizal, penulis dalam web (saifulislam.com) terbitan Galeri Ilmu tahun 2008, beliau mengatakan perasaan ini muncul sekiranya hubungan itu terlalu lama dan kabur untuk menuju tahap yang menghalalkannya. Tidak kiralah sama ada daripada pihak lelaki atau wanita atau kedua-duanya sekali. Berilah apa alasan sekalipun, hakikatnya perasaan itu muncul kerana pihak tersebut merasakan sukar untuk direalisasikan manifestasi cinta tersebut walaupun pihak yang lagi satu yakin dan bersungguh-sungguh percaya dengan sabar yang hubungan itu boleh pergi jauh dalam kerangka syariat Islam. Itulah sebabnya mereka mencari yang lain, disebabkan jemu dengan si dia tersebut. Walaupun dilapisi istilah 'melayan' itu dengan istilah 'sekadar kawan' tetapi cubalah tanya hati sendiri, apakah berkawan sehinggakan tidak boleh menafikan sendiri perasaan cenderung yang muncul dalam lubuk hati tersebut. Apabila semakin rancak layanan, pastilah akan timbul juga kecenderungan tersebut. Ini adalah fitrah hubungan lelaki dan wanita, hanya mereka yang luar biasa sahaja tidak akan berasa kecenderungan terhadap jantina berbeza dalam konteks 'melayan' ini. Lainlah jika hanya berurusan yang tidak terlibat emosi. Namun, berkongsi kisah peribadi dan sebagainya itu adakah hanya 'sekadar kawan' sahaja.

"Lelaki tidak akan datang bergolek, wanita tidak akan datang bertenggek"

Apabila muncul perasaan jemu, maka pemikiran Machiavellianisma pun mula mekar berfikir. "Apa salahnya berkenalan dengan yang lain, ini adalah hak saya memilih yang terbaik untuk dijadikan pasangan hidup". Lantas mulalah dari sedikit-sedikit sehingga lama-lama menjadi bukit. Tanpa memikirkan hubungan yang sedia ada, mereka hanya gembira melayan perasaan tanpa wujud empati cemburu. Empati cemburu yang mana tidak difikirkan perasaan pihak lain yang setia menunggu dengan sabar, walaupun tidak terkata apa untuk menghalang hubungan tersebut kerana baginya bukan haknya untuk menghalang yang masih belum lagi miliknya. Hanya mampu berfikiran positif menyedapkan hati bahawa itu adalah 'sekadar kawan' sahaja. Namun, harapan itu 'sekadar kawan' musnah apabila pihak yang 'melayan' itu mula kononnya resah hati disebabkan tindakan dia sendiri apabila dihimpit perasaan dua pihak yang berharap padanya.

Begitulah yang saya lihat terjadi dalam masyarakat hari ini yang mana kurangnya sifat kemanusiaan. Sifat kemanusiaan seperti menghormati perasaan orang lain dan empati. Ada sesetengah orang mengatakan sifat kemanusiaan kita semakin terhakis disebabkan oleh teknologi yang semakin canggih, lalu hilanglah sedikit demi sedikit tatasusila sosial kita sesama masyarakat. Tanpa bersemuka, dua insan boleh jatuh cinta. Apakah itu benar? Boleh difikirkan kembali.


Sesungguhnya perkara yang saya utarakan ini mungkin tiada dalil atau hujah yang kukuh sebagaimana sesetengah orang berfikir, "Apa salahnya?". Namun prinsip Islam itu sentiasa ada menjadi cara hidup kita bersosial dan berhubungan sesama insan. Ilmulah yang memandu kita ke arah kebenaran. Setiap apa yang kita lakukan pasti akan kena kembali pada kita, oleh itu yang mampu saya sarankan ialah bertaubatlah dan tidak perlu ulangi lagi.



Wallahualam.



Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement