إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Semua perbuatan bergantung niatnya, dan (balasan) bagi tiap-tiap orang (bergantung) apa yang diniatkan. Barangsiapa niat hijrahnya kerana dunia yang ingin dicapainya atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa dia diniatkan.
[Hadis Riwayat Bukhari]
Menurut hadis di atas yang saya berikan, setiap perbuatan kita akan dibalas serupa dengan apa yang kita niatkan. Apabila kita niatkan ingin mendapatkan dunia (harta, pengaruh, keseronokan) kita akan mendapatnya pada akhirnya dan begitu juga jika niat untuk menikahi perempuan. Dua situasi itu adalah contoh yang Rasulullah berikan kerana mudah difahami dan begitu ramai yang telah melakukannya. Ini kerana kebanyakan ujian kehidupan di dunia ialah terdiri daripada dua contoh tersebut.
Sesungguhnya dunia ini indah dan menggiurkan yang dengannya Allah akan menguji kalian. Setelah itu, Allahpun akan melihat bagaimana perbuatan kalian. Oleh kerana itu, jagalah diri kalian dari godaan dunia dan wanita
[Hadis Riwayat Muslim]
Begitulah sebabnya mengapa hadis pertama yang saya berikan ini memberi contoh tersebut. Oleh itu sepatutnya janganlah kita memahaminya sekadar dua situasi itu sahaja kerana itu adalah cuma contoh yang umum. Apa yang perlu kita ambil pengajaran ialah bagaimana niat seseorang itu akhirnya akan dibalasi sewaktu dengan apa yang dia niatkan. Tujuan tulisan ini dihasilkan pula adalah untuk mengaitkan betapa niat mampu memberi kesan kepada hubungan percintaan lelaki dan wanita.
Bagi mereka yang pernah bercinta dan sentiasa menambah ilmu dalam soal percintaan, pasti mereka sedia maklum akan definisi cinta dan hubungan percintaan itu sendiri walaupun berbeza dalam penyampaian tetapi maksud dan konteks itu tetap sama. Oleh itu biarlah masing-masing mendefinisikan istilah cinta tersebut kerana hanya definisi yang sahih sahaja akan memahaminya. Sepertimana kata-kata hikmah,
"Siapa yang pernah merasainya, dia memahaminya"
Dalam hubungan antara dua hati lelaki dan perempuan, niat adalah perkara utama dalam menentukan sejauh mana hubungan itu mampu bertahan. Jika niat itu sekadar untuk melayan perasaan dan mencuba, jangka masa hubungan itu pasti tidak akan bertahan lama. Manakala apabila niat hubungan itu untuk mencari redha Allah dan menghalalkannya di dalam kerangka syariah, pasti dan insyaAllah hubungan itu akan kekal hingga ke syurga atas kekuasaan Allah. Yang penting ialah niat dan keyakinan kita kepada Allah bahawa Dia akan mengekalkan hubungan tersebut yang bersesuaian dengan fitrah semula jadi penciptaan manusia.
Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.
[Hadis Riwayat Tirmidzi]
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Cuma apabila seseorang itu meniatkan sesuatu, tutur dan tindakannya perlulah selari dengan niatnya. Perkara ini bertujuan untuk mengelakkan kita menjadi seorang penipu. Saya gemar untuk memberikan contoh mudah dalam hal ini berkenaan situasi seorang penjual dan pembeli.
" Seorang penjual menawarkan kepada seorang pembeli satu barangnya yang berharga. Namun, pembeli berasa teragak untuk menerima tawaran tersebut dan berniat untuk mencuba sahaja, bukan ingin membeli. Namun, dalam jangka masa percubaan tersebut pembeli itu merasakan barang yang berharga itu sungguh menarik baginya dan telah memberikan kata-kata manis untuk membeli barang yang berharga itu. Cumanya yang menjadi masalah dalam situasi ini ialah pembeli sebenarnya tidak berniat untuk membeli barang itu, cumanya dalam jangka masa itu dia seolah-olah terasa seperti itulah barang yang selama ini dicari. Akhirnya, apabila pembeli menyatakan hasrat untuk menolak tawaran itu dia memberitahu perkara sebenar bahawa tiada niat dalam hatinya untuk membeli barang tersebut walaupun dalam jangka masa percubaan itu dia telah berjanji manis memberi harapan pada si penjual. Maka tinggallah penjual itu berasa kecewa akan perbuatan pembeli yang semberono itu. "
Itulah pengajaran di dalam kehidupan ini. Apabila niat yang lain dituturkan dan difahamkan secara bertentangan, memberikan kekecewaan pada yang percaya. Perlulah kita ingat dan sedar bahawa Allah itu adalah sebaik-baik hakim yang memberi balasan terhadap apa yang kita lakukan.
Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya
[Surah al-Anfal ayat 30]
0 Ulasan