Ticker

6/recent/ticker-posts

Berhutang Dengan Kerajaan Dalam Pandangan Islam


Bismillah,

Dalam politik pentadbiran Islam (siyasah syar'iah), individu berhak terhadap pemilikan harta persendirian. Ianya bertentangan dengan konsep sosialisma yang mengatakan semua harta itu milik semua. Walau bagaimanapun, jika dikaji semula konsep sosialisma itu, mereka (pihak kerajaan) mendakwa semua harta milik rakyat tapi yang sebenarnya harta itu dimiliki oleh kerajaan. Pihak atasan juga yang bersenang lenang sambil melaungkan konsep harta bersama walhal diri mereka yang mentafsir berapa banyak bahagian rakyat boleh dapat.

Antara contoh rakyat mempunyai harta persendirian ialah kes Khalifah Umar al-Khattab yang membeli tanah persendirian beberapa individu untuk menambah ruang memperbesarkan Masjid Nabawi [1]. Selain itu, sewaktu pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz juga menyaksikan rakyat beragama Kristian yang menuntut ganti rugi kerana gereja mereka yang dahulu telah dipecahkan oleh pemerintah terdahulu [2]

Ini bermakna konsep pemilikan harta secara persendirian adalah diiktiraf dalam Islam walaupun rakyat itu berlainan akidah sekalipun. Bukanlah harta itu hanya milik satu entiti sahaja sepertimana fahaman sosialisma ataupun komunisma yang apabila diteliti lebih lanjut sebenarnya hanyalah retorik sahaja. Jadi, apa kaitannya dengan tajuk berhutang dengan kerajaan? Kita sedia maklum bahawa kerajaan itu adalah sekadar pemegang amanah dalam menguruskan kuasa dalam sesebuah negara dan ianya mengikut panduan Allah bukan sesuka hati. 

قَوْلًا كَثِيرًا ثُمَّ سَمِعْتُهُ يَقُولُ إِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ مُجَدَّعٌ حَسِبْتُهَا قَالَتْ أَسْوَدُ يَقُودُكُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ فَاسْمَعُوا لَهُ وَأَطِيعُوا 
Seandainya seseorang yang ditugaskan untuk memimpin kalian itu adalah seorang budak yang hitam, namun budak tersebut melakukan segala sesuatu berlandaskan kitab suci Al Qur'an, maka kalian harus tetap tunduk dan patuh kepadanya
[Riwayat Muslim]

Juga politik pentadbiran Islam itu adalah bersifat jujur setia dalam memegang amanah. Bukanlah kekuasaan itu dijadikan alasan untuk sewenangnya bersenang lenang di atas singgahsana mewah. Hal ini sangat ditekankan dalam Islam contohnya sepertimana ulasan oleh Ibn Taimiyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra’ wa al-Raiyyah [3].

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab seorang pemerintah itu menguruskan wang yang dikumpulkan daripada hasil negeri untuk rakyat itu sendiri ataupun kita sebut hari ini sebagai cukai, Perkara ini disokong oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116), begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, hlm 313). Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam [4]. Namun, apa yang diharamkan dalam hal cukai ini ialah apabila cukai diambil untuk kesenangan pihak atasan bukannya rakyat sendiri.

التي يفرضها بعض الحكام توسعة على أنفسهم وأتباعهم وتضييقا على شعوبهم
Iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka.
( al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakat)

Jadi, apa kaitannya dengan tajuk berhutang dengan kerajaan?

Para ulama' telah membahaskan apakah wujudnya riba' dalam urusniaga hutang antara rakyat dan pemerintah. Ini berdasarkan perbahasan oleh Dr Sami Hammud dan Prof Dr Yunus al-Masri dalam kajian mereka, al-Jami' fi Usul al-Riba (mukasurat 202-204) dan Tatwir al-'Amal al-Masrafiah (mukasurat 201-205) [5].

Berdasarkan perbahasan ini, dapat disimpulkan bolehnya berhutang dengan pihak kerajaan meskipun hasil pendapatan kerajaan adalah kebanyakannya daripada cukai rakyat itu sendiri. Cumanya perbincangan mereka itu lebih berkisar kepada riba' ataupun dikenali sebagai faedah (interest) hari ini. Kesimpulan kajian mereka mengatakan tetap tidak dibolehkan (haram) melibatkan riba' dalam urusniaga hutang dengan pihak kerajaan.

Dan apabila disebutkan mengenai hutang, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membayar balik hutang tersebut. Ini disebutkan dalam salah satu hadis contohnya:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ 
Siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) disertai maksud akan membayarnya maka Allah akan membayarkannya untuknya, sebaliknya siapa yang mengambilnya dengan maksud merosaknya (merugikannya) maka Allah akan merosakkan orang itu
[Riwayat Bukhari]

Meskipun kerajaan dan individu tersebut mempunyai ideologi dan pegangan politik yang berbeza, tidaklah dikecualikan untuk membayarnya disebabkan hukumnya yang wajib melainkan jika diberikan pengecualian oleh pihak kerajaan itu sendiri ataupun dikurangkan jumlah hutang tersebut. Ini dapat dilihat dalam hadis:

جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ أَبَاهُ قُتِلَ يَوْمَ أُحُدٍ شَهِيدًا وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَاشْتَدَّ الْغُرَمَاءُ فِي حُقُوقِهِمْ فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَهُمْ أَنْ يَقْبَلُوا تَمْرَ حَائِطِي وَيُحَلِّلُوا أَبِي فَأَبَوْا فَلَمْ يُعْطِهِمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَائِطِي وَقَالَ سَنَغْدُو عَلَيْكَ فَغَدَا عَلَيْنَا حِينَ أَصْبَحَ فَطَافَ فِي النَّخْلِ وَدَعَا فِي ثَمَرِهَا بِالْبَرَكَةِ فَجَدَدْتُهَا فَقَضَيْتُهُمْ وَبَقِيَ لَنَا مِنْ تَمْرِهَا
Jabir bin 'Abdullah radiallahu 'anhuma mengkhabarkan kepadanya bahawa bapanya terbunuh dalam perang Uhud sebagai syahid sementara dia meninggalkan hutang.

Lalu para pemilik hutang piutang mendesak agar hak-hak mereka ditunaikan, maka aku datang menemui Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, Baginda meminta agar para pemilik hutang piutang mahu menerima kebunku sebagai pembayaran dan pelunasan hutang bapaku namun mereka menolaknya sehingga Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berkata: "Tunggu sampai esok".

Akhirnya esok paginya baginda mengelilingi pohon-pohon kurma lalu berdoa minta keberkatan pada buah-buahannya. Maka aku dapati buah-buah kurma itu tumbuh banyak lalu aku berikan untuk membayar hutang kepada mereka dan buahnya masih tersisa untuk kami
[Riwayat Bukhari]

Hadis ini menunjukkan bolehnya hutang itu dikurangkan asalkan mendapat persetujuan si pemberi hutang. Dalam kes ini, si pemberi hutang tidak mahu menerima kebun sahabat Rasulullah, Akhirnya sahabat itu membayar hutang dengan wang hasil keuntungan jualan buah-buahannya. Hadis lain juga boleh dijadikan panduan:

عَنْ كَعْبٍ أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِي حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِي الْمَسْجِدِ فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى يَا كَعْبُ قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَيْ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ قُمْ فَاقْضِهِ
Bahawa dia (Ka'b bin Malik) pernah menagih hutang kepada Ibnu Abu Hadrad di dalam masjid hingga suara keduanya meninggi yang akhirnya didengar oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang berada di rumah.

Baginda kemudian keluar menemui keduanya sambil menyingkap kain kamarnya, bersabda: "Wahai Ka'b!" Ka'b bin Malik menjawab: "Wahai Rasulullah, aku penuhi panggilanmu."

Baginda bersabda: "Bebaskanlah hutangmu ini." Baginda lalu memberi isyarat untuk membebaskan setengahnya. Ka'b bin Malik menjawab, "Sudah aku lakukan wahai Rasulullah." Baginda kemudian bersabda (kepada Ibnu Abu Hadrad): "Sekarang bayarlah."
[Riwayat Bukhari]

Hadis ini pula menceritakan apabila Rasulullah menasihati sahabat Ka'b bin Malik supaya meringankan bayaran hutang seorang lagi sahabat iaitu Ibnu Abu Hadrad. Ini juga boleh dijadikan panduan dalam urusniaga hutang. Dalam konteks kerajaan pula, perkara ini kita dapat lihat apabila contoh kerajaan di Malaysia yang menawarkan diskaun bagi peminjam PTPTN yang membayar secara konsisten (10%) dan secara keseluruhan sekaligus (20%).

Oleh itu, meskipun tidak suka dengan kerajaan hari ini adalah tetap menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita. Ini adalah sifat orang beriman sepertimana dinukilkan dalam ayat al-Qur'an:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[al-Ma'idah ayat 8]

Isu ketidakadilan yang dilakukan oleh orang lain tidaklah boleh dijadikan sandaran kukuh untuk kita mengecualikan diri daripada membayar hutang. Amatilah isu tersebut secara keseluruhannya, bukan hanya pandang dalam satu perspektif sahaja. Apabila bercakap mengenai soal kerajaan dan rakyat, janganlah kita pentingkan diri sendiri. Bayaran hutang kita itu boleh digunakan untuk menolong mereka yang susah pada masa hadapan. Usah menganggap semua benda adalah hak milik kita. Ini kerana kita hidup dalam sebuah masyarakat yang besar. Rakyat yang lain juga berhak mendapat perkara sama.

Yang menjadi kepelikan dan keajaiban ialah hanya mempersoalkan satu isu sahaja yang berkait rapat dengan urusniaga hutang antara kerajaan dan rakyat, iaitu pinjaman PTPTN. Pinjaman lain seperti pinjaman perumahan tidak pula dilaungkan. Justeru saya nasihatkan perlulah kita keluar dari kepompong berfikir dalam corak dan kerangka pihak lain. Fikirlah dengan lebih luas lagi. Bukan semua benda kita perlu politikkan. Fikirlah dalam kerangka Islam, iaitu mengambil maslahat (kebaikan) yang terbaik untuk semua.

Jika hendak berbahas mengenai konsep pendidikan percuma, boleh dibuka dalam medium dan ruang yang lain. 

Tulisan ini hanyalah untuk menyeru kita kembali kepada ajaran Islam iaitu bayarlah hutang. Bukanlah bermaksud untuk menyokong pihak kerajaan kerana dalam semua perkara di dunia ini ada cara dan metodologi untuk berfikir.  Anak muda seharusnya fikir lebih terbuka dan menggunakan hujah, bukan hanya pandai troll/provokasi/bahan/ejek dan sebagainya. Akhirnya ruang diskusi yang cuba dijadikan matang dan ilmiah tak ubah seperti pergaduhan mulut kanak-kanak kecil. Memalukan.

Wallahualam.


Rujukan:

[1] Kitab At Tabaqat al-Kabir dinukilkan oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman dalam "Indahnya Politik Cara Islam" terbitan Galeri Ilmu tahun 2012 (mukasurat 158).

[2] Kitab Futh al-Buldan karangan al-Baladhuri dinukilkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam buku beliau (terjemahan Bahasa Inggeris) "Non-Muslims in the Islamic Society" terbitan American Trust Publications tahun 1996 (mukasurat 16).

[3] Rujuk tulisan Dr Zaharuddin Abd Rahman dalam  "Indahnya Politik Cara Islam" terbitan Galeri Ilmu tahun 2012 dan Dr Maszlee Malik dalam "Menuju Sejahtera Meraih Bahagia" terbitan Karangkraf tahun 2014.

[4] Rujuk http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1030-cukai-gst-hukum-a-amanah.html

[5] Rujuk tulisan Dr Zaharuddin Abd Rahman dalam "Riba dan Isu Kewangan Semasa" terbitan Telaga Biru tahun 2010.






Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement