Ticker

6/recent/ticker-posts

Kehidupan Riba' dan Kesan Pada Masyarakat

          Alhamdulillah dalam kesempatan cuti semester ini saya dapat menghabiskan menelaah buku Dr Zaharuddin Abd Rahman, seorang pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa bertajuk Riba' dan Isu Kewangan Islam. Sebelum itu saya sangat berbesar hati kerana beliau ialah salah seorang murid kepada tokoh ulama' antarabangsa, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi yang terkenal dengan keluasan ilmunya dan fatwanya.

Penulis: Zaharuddin Abd Rahman
Penerbit: Telaga Biru
Tajuk: Riba' dan Isu Kewangan Islam
Tahun: 2010

Riba' dari segi bahasa ialah pertambahan dan peningkatan, manakala dari segi istilah menurut kajian beliau ialah:

"Sebarang tambahan dalam item-item tertentu dan tambahan ke atas hutang akibat tempoh"
[al-Riba wal Mu'amalat al-Ribawiyah, Dr Umar Abd Aziz al-Matrak]

Dari pengertian ini, riba' ialah apa sahaja yang timbul sebagai tambahan dalam item atau hutang. Seperti contoh yang mudah, A membeli motor secara berhutang kepada bank B dan dikenakan beberapa tambahan ke atas nilai hutang tersebut menjadikan jumlah yang perlu dibayar adalah lebih daripada harga sebenar motor tersebut.

Mengapa Riba' Haram?

1. Bercanggah dengan konsep Islam yang mengasihi sesama Muslim. Malah meruntuhkan belas kasihan dan menyuburkan tamak kepada cinta dunia dan harta.

2. Eksploitasi kesusahan mereka yang memerlukan. Ini kerana hanya mereka yang susah sahaja akan meminjam dan berhutang. Tetapi riba' mengambil kesempatan ini dengan mengenakan bayaran tambahan daripada hutang itu, amat zalim

3. Menyemai sifat malas bekerja dan kurang dinamik. Tidak hairan jika manusia zaman sekarang kaya raya dengan harta mereka kerana riba' hanya bergantung kepada peratusan faedah (interest) yang mereka kenakan kepada peminjam.

4. Kesan pada masyarakat ialah semakin menjurangkan lagi perbezaan antara kaya dan miskin. Akhirnya jurang yang besar ini akan menyebabkan permusuhan dan jenayah yang berleluasa seperti mana yang dikatakan oleh Sayyid Qutb dalam 'Uyub al-Riba fi Zilal al-Quran.

Fatwa Keharaman Riba'

A membeli motor dan berhutang dengan bank B sebanyak RM 2000. Bank B mengenakan faedah sebanyak 5% daripada hutang tersebut iaitu bernilai RM 100. 5% itulah yang dinamakan riba' al-Duyun jenis al-Qard.
[Fawaid al-Bunuk Hiya al-Riba al-Haram, al-Qardawi, Muassasah al-Risalah]

Ini berdasarkan dalil:

"Perolehan keuntungan adalah dengan menghadapi risiko"
[al-Qawaid al-Fiqhiyyah, al-Nadawi, Dar al-Qalam]

"Keuntungan mesti dengan menghadapi risiko"
[Hadis riwayat Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud. al-Suyuti dan Albani mengatakan "hasan"]

Ini bermaksud, riba' haram kerana mereka yang mengenakan faedah itu tidak menanggung sebarang risiko, malah hanya meminjamkan sahaja wang. Yang bersusah payah berusaha ialah si peminjam kerana terpaksa bekerja lebih untuk bayaran yang lebih. Amat zalim sistem riba' ini.

Dalam konsep pelaburan yang riba' pula, si pelabur tidak boleh melepas diri begitu sahaja dan hanya bergantung kepada jaminan keuntungan atau jaminan modal. Tetapi tidak ramai yang sedar dengan situasi ini kerana masing-masing hanya tamak harta dan dunia.
Contoh yang mudah ialah, A melabur dengan institusi B sebanyak RM 20000. Institusi B menawarkan jaminan keuntungan setiap bulan sebanyak 5%.



ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيْطَٰنُ مِنَ ٱلْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْبَيْعُ مِثْلُ ٱلرِّبَوٰا۟ ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلْبَيْعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ ۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ





Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.
[al-Baqarah ayat 275]

Dalam ayat yang panjang ini saya simpulkan bahawa mereka yang makan riba' tidak dapat hidup tenang kerana harta mereka tidak berkat dan mereka selalu risau dengan harta dan dunia yang baginya tidak cukup kerana tamak.

Sunnah Memulangkan Pinjaman Dalam Keadaan Lebih Baik

"Sebaik-baik antara kamu adalah memulangkan (pinjaman) dalam bentuk terbaik"
[Riwayat al-Bukhari]

Dalam hadis ini, baginda telah meminjam seekor unta daripada sahabat dan setelah digunakan baginda meminta sahabat membeli unta yang lebih baik sebagai pulangan kepada pinjaman tersebut.

*Namun apa yang ditekankan dalam sistem perbankan sekarang ialah hendak atau tidak kita terpaksa juga memulangkan pinjaman lebih daripada kadar pinjaman. Ini adalah satu bentuk pemaksaan halus sama ada kita redha atau tidak.

Pinjam dan Sewa Mana Yang Baik?

Situasi: A ingin menggunakan kereta B untuk keluar. B mensyaratkan supaya mengisi tangki penuh, barulah dia benarkan.

Riba' tetap berlaku jika mereka menggunakan transaksi pinjam kerana A hanya meminjam manfaat kereta tersebut dan minyak sekadar yang dia gunakan. Tidak adil untuk mengisi penuh tangki minyak tersebut.
Oleh itu, untuk menjadikannya halal mereka perlulah menggunakan transaksi sewa iaitu B menyewakan keretanya kepada A dan sebagai bayaran A perlu mengisi penuh minyak kereta.

Walaupun kita lihat hasilnya sama sahaja, tetapi di sisi Allah situasi itu amat berlainan. Ini kerana jika mereka menggunakan transaksi sewa, B mendapat habuan hanya di dunia sahaja iaitu tangki minyak penuh.
Tetapi jika mereka menggunakan transaksi pinjam dimana A hanya mengisi minyak sekadar yang dia gunakan, B akan mendapat habuan akhirat 18 kali ganda pahala !

Ini berdasarkan hadis Riwayat Ibn Majah yang agak panjang untuk saya muatkan dalam tulisan ini (rujuk mukasurat 16 dan 17).

*Bagaimanapun, pinjaman tetap sah jika A tetap ingin mengisi lebih minyak dengan niat memulangkan dalam keadaan lebih elok asalkan tidak disyaratkan oleh B.



Begitulah sedikit sebanyak ilmu yang terdapat di dalam buku yang padat ini. Apa yang dapat saya simpulkan ialah masyarakat hari ini begitu sibuk mencari wang dan harta sehingga lalai dalam hukum Allah. Dunia ini ialah mainan nafsu dan syaitan, kita perlu mempunyai ilmu untuk menghadapi dunia ini sambil mengumpul bekal ke akhirat nanti.

Natijah daripada sistem riba' perbankan, ekonomi dan kewangan ini membuatkan masyarakat kita hilang "berkatnya" lalu disitulah timbulnya gejala sosial, jenayah. Ini kerana kita sendiri berdiri di atas sistem yang nyata mendapat murka oleh Allah. Walaupun ada alternatif yang lain, mereka lebih gemar memilih yang konvensional berbanding produk Islamik dengan beribu alasan. Mungkin mereka lupa bahawa ini bukan soal apa yang kita dapat, tapi soal apa yang telah kita usaha untuk keredhaan-Nya.

Sistem matawang kita sendiri pun berdiri di atas sistem "Fractional Reserve Banking" yang mana mengamalkan riba' yang nyata secara tidak langsung. Namun Islam bukanlah agama yang jumud yang memaksa umatnya supaya menggunakan sistem "barter" kerana tiada sistem lain di dunia ini untuk menggantikan wang fiat. Sebab itulah Majlis Fiqh Antarabangsa yang dianggotai oleh ulama' dan pakar dari seluruh dunia memfatwakan HARUS kerana tiada cara lain untuk dipilih.

Namun apa yang menyedihkan ada sesetengah pihak yang mencipta permainan forex yang mengeksploitasi kesusahan orang lain. Sudahlah sistem ini terpaksa kita gunakan, mereka boleh pula menggunakan pelbagai cara untuk mengaut keuntungan.

Secara konklusinya, pengamalan konsep kesederhanaan dalam Islam itu perlu diterapkan dalam minda kita. Usah ingin mengumpul kekayaan dengan melabur sana sini, kerana akhirnya akan memakan diri sendiri seperti baru-baru ini banyak syarikat yang diserbu oleh kerajaan kerana tidak mematuhi peraturan. Pilihlah perbankan Islam dan jika boleh elakkan dari berhutang. Amalkan pembelian secara tunai atau jika ingin menggunakan kad sekalipun gunakanlah kad debit yang mana kurang riba'.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement