Kisah bermulanya tahun hijrah ialah daripada penetapan yang dibuat oleh khalifah Islam waktu itu, Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab. Ini kerana sewaktu zaman dahulu, bangsa Arab tiada kalendar mereka sendiri sebagaimana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun mereka sendiri.Umat Islam mencadangkan kepada khalifah Umar supaya menetapkan kiraan tahun untuk umat Islam dan pelbagai cadangan telah dikemukakan. Kisah ini direkodkan oleh sejarawan besar Islam, al-Hafiz al-Imam Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Menurut pengkaji sejarah, Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Maktum yang telah diiktiraf dan mendapat anugerah besar dunia Islam; beliau menyimpulkan bahawa Rasulullah keluar dari rumahnya bersama Abu Bakar as-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar dan bersembunyi di dalam gua Thur selama 3 malam. Hari pertama bulan Rabiul Awwal, mereka berhijrah ke Madinah dipandu oleh Abdullah bin 'Uraiqit. Kemudian hari Isnin, 8 haribulan Rabiul Awwal mereka sampai di Quba dan baginda mengasaskan masjid Quba. Selepas solat Jumaat 12haribulan, barulah mereka masuk ke Madinah.
(lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).
Alhamdulillah, saya sempat menonton program bicara di TV1 sebentar tadi yang mana Dr Zaharuddin Abd Rahman menerangkan konsep hijrah Rasulullah yang dapat diterapkan dalam diri kita dan negara bersama contoh-contoh daripada sejarah umat Islam terdahulu. Saya merasakan bahawa sejarah Islam adalah sangat penting kepada seluruh umat Islam untuk dipelajari kerana membawa banyak mesej dan nilai yang berguna walaupun sudah beribu tahun lalu.
Ada satu kisah yang menarik perhatian saya iaitu sewaktu peristiwa peperangan Tabuk yang mana ketika itu suhu yang sangat panas dan perjalanan sangat jauh lebih kurang 700km daripada Madinah. Secara kebetulan pula waktu itu ialah musim untuk menuai tanam-tanaman. Umat Islam berasa kurang selesa apabila diajak oleh Rasulullah namun atas semangat cintakan Allah dan Rasul, mereka sanggup tinggalkan semua. Apabila sampai di medan peperangan, pihak musuh telah lari terlebih dahulu kerana takut terhadap tentera Islam sehinggakan tidak sempat mengambil barang-barang mereka.
Ini kerana sewaktu di Tabuk, Rasulullah telah membuat perjanjian damai dengan penduduk di sekitar Tabuk atas strategi untuk menguatkan benteng pertahanan dan menyampaikan dakwah. Semua kabilah Arab di sana bersetuju untuk berdamai dan tidak menyebelahi pihak musuh lantas tindakan Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom. Akhirnya peperangan itu tidak ada sebarang pertempuran apatah lagi pertumpahan darah dan apa yang untung ialah umat Islam semakin berkembang kuat dan harta yang ditinggalkan pihak musuh diambil oleh umat Islam.
Hikmah daripada hijrah yang tidak selesa ini telah digantikan dengan bantuan Allah secara tunai. Walaupun pada mulanya umat Islam keberatan untuk pergi berperang, namun Allah membalas hijrah mereka dengan sesuatu yang lebih baik daripada yang mereka dapat bayangkan. Itulah konsep hijrah yang sedikit sebanyak dihuraikan oleh Dr Zaharuddin sebentar tadi yang mana hijrah sememangnya membuat kita keluar daripada zon selesa tetapi hasilnya kita sendiri tidak terduga. Sepertimana dalam situasi perang Tabuk itu tadi, jika kita berada sewaktu itu apa yang paling baik akan dapat kita jangkakan ialah hanya menang dan mendapat harta rampasan. Namun, Allah beri yang lebih baik iaitu:
1. Umat Islam dapat menilai mereka yang munafiq dan tidak ikhlas dalam Islam.
2. Islam disebarkan semakin luas
3. Kekuatan Islam semakin kuat
4. Harta rampasan yang banyak dan dapat menampung hasil tuaian yang ditinggal pergi.
5. Empayar Rom takut terhadap kerajaan Islam.
Salam Tahun Baru Hijrah 1434, semoga kita berhijrah dan sanggup berubah demi Allah dan Rasul : )
Rujukan:
1. Dr Asri Zainul Abidin, http://drmaza.com/home/?p=1297
2. Dr Zaharuddin Abd Rahman, TV1, 15 Nov 2012 8am
0 Ulasan