Ticker

6/recent/ticker-posts

Adakah Tidak Berdoa Selepas Solat Bermakna Kita Sombong Kepada Allah?

Seringkali kita mendengar kata-kata yang agak sinis bahawa sesiapa yang telah habis solat tetapi tidak berdoa ialah orang yang sombong dan berlagak. Sebenarnya kata-kata adalah tidak berasas dan dangkal dari segi penyandaran illahnya.

Ini kerana dalam satu hadis, Rasulullah sendiri pernah tergesa-gesa meninggalkan sahabat:


صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَصْرَ فَأَسْرَعَ ثُمَّ دَخَلَ الْبَيْتَ فَلَمْ يَلْبَثْ أَنْ خَرَجَ فَقُلْتُ أَوْ قِيلَ لَهُ فَقَالَ كُنْتُ خَلَّفْتُ فِي الْبَيْتِ تِبْرًا مِنْ الصَّدَقَةِ فَكَرِهْتُ أَنْ أُبَيِّتَهُ فَقَسَمْتُهُ
Nabi Sallallahu’alaihi wasallam solat ‘Asar berjama’ah bersama kami. Tiba-tiba Baginda dengan tergesa-gesa memasuki rumah. Tidak lama kemudian Baginda keluar, dan aku bertanya atau dikatakan kepada Baginda tentang ketergesaannya itu. Maka Baginda berkata: “Aku tinggalkan dalam rumah sebatang emas dari harta sedekah. Aku tidak mahu bila sampai bermalam, maka aku bahagi-bahagikan.”
[Riwayat Bukhari]

Dalam hadis sahih ini, jelas menunjukkan bahawa berdoa selepas solat itu satu bukanlah satu kefardhuan sehinggakan boleh untuk kita mengata orang yang terus meninggalkan jemaah selepas solat. Kita boleh mengambil pendekatan yang lebih molek, iaitu berbaik sangka. Mungkin orang itu ada urusan yang penting atau sebagainya.

Mungkin ada yang turut sama berdoa kerana mengikut imam yang sedang berdoa. Tidak dinafikan bukan semua yang didoakan itu dapat difahami oleh makmum, hanya mengaminkan sahaja mudah-mudahan dimakbulkan. Namun, kita tidak boleh bertaqlid buta dalam hal ini. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

"Hukum ibadah itu asalnya terhenti (haram) sebelum ada dalil yang menyuruhnya"

Berdoa selepas solat fardhu beramai-ramai tidak pernah ditemui sebarang hadis mengenainya walhal solat fardhu itu ada lima kali dalam satu hari. Sedangkan hadis mengenai berdoa selepas solat sunnah itu ditemui [Rujuk video Dr Mohd Asri Zainul Abidin di bawah]. Ini menunjukkan tidak disunnahkan untuk berdoa selepas solat fardhu, tetapi wirid dan berzikir itu amatlah disarankan kerana banyak hadis wirid dan zikir selepas solat.

Oleh itu, selepas solat fardhu tidaklah perlu untuk kita bersangka buruk dengan orang lain yang tidak doa bersama kita kerana mungkin dia sedang berzikir dan wirid sendiri-sendiri. Manakala berdoa beramai-ramai itu nampak bercanggah dengan hadis berikut:

يا علي لا تجهر بقرأتك ولا بدعائك حيث يصلى الناس فإن ذلك يفسد عليهم صلاتهم
Ya Ali, janganlah engkau mengeraskan suara bacaanmu dan doamu dikala orang sedang bersolat kerana yang demikian itu akan merosakkan (mengganggu) solat mereka.
[Riwayat Muslim]

Sepertimana kita perhatikan hari ini, ramai orang yang berdoa beramai-ramai menggunakan mikrofon dengan lantang dan kuat. Perkara ini hanyalah bid'ah yang nyata kerana sunnah yang sebenar jika ingin berdoa sekalipun, perlu diperlahankan suara kerana di dalam masjid tidak boleh membuat bising. Bukan kita sahaja yang beribadah, orang lain juga yang beribadah. Ada makmum yang masbuk dan ada juga mereka yang solat sunat. Jadi, perbuatan membuat bising ini hanyalah berlawanan dengan hadis sahih tersebut.

Selain hadis tersebut, terdapat juga larangan membaca al-Qur'an dengan kuat di dalam masjid supaya tidak mengganggu orang lain yang sedang solat:

اعتكف رسول الله صلى الله عليه و سلم في المسجد فسمعهم يجهرون بالقراءة فكشف الستر وقال ألا إن كلكم مناج ربه فلا يؤذين بعضكم بعضا ولا يرفع بعضكم على بعض في القراءة أو قال في الصلاة
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerhatikan orang-orang yang beriktikaf di masjid dan baginda mendengar mereka menguatkan suara mereka sewaktu membaca al-Qur'an. Baginda menyelak kain langsir dan berkata: Setiap daripada kamu sedang berkomunikasi dengan Tuhannya. Janganlah sebahagian daripada kamu mengganggu yang lainnya. Janganlah kamu menguatkan suara kamu melebihi yang lainnya sewaktu membaca al-Qur'an atau ketika kamu sedang solat.
[Riwayat Abu Daud]

أن رسول الله صلى الله عليه و سلم خرج على الناس وهم يصلون وقد علت أصواتهم بالقراءة فقال أن المصلي يناجي ربه عزوجل فلينظر بما يناجيه به ولا يجهر بعضكم على بعض بالقرآن
Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah keluar kepada orang ramai sewaktu mereka solat dan mereka sedang meninggikan suara mereka di dalam bacaan mereka, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya yang sedang solat sebenarnya sedang berkomunikasi dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, biarlah dia berfikir tentang Tuhannya yang sedang disembahnya. Janganlah kamu meninggikan suara melebihi yang lainnya sewaktu kamu sedang membaca al-Qur'an.
[Riwayat Malik dan Ahmad]

Daripada dua hadis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa amalan berdoa secara beramai-ramai yang bising itu adalah bukan sunnah, malah bid'ah kerana menyimpang daripada sunnah Rasulullah. Masjid ialah tempat ibadah orang Islam, bukan tempat ibadah orang Kristian yang mana mereka menyanyi membuat bising beramai-ramai. Sesungguhnya meniru agama lain adalah perbuatan tasyabbuh yang paling dilarang sama sekali.

Untuk menguatkan lagi hujah, disertakan hadis ini daripada Ummu Salamah:


أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذَا سَلَّمَ مِنْ صَلاَتِهِ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي مَكَانِهِ يَسِيرًا.

Ummu Salamah (radhiallahu‘anha) isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkata: Rasulullah (shalallahu 'alaihi wasallam) apabila memberi salam setelah solatnya, kaum wanita berdiri setelah baginda menyelesaikan salamnya; sedangkan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri diam di tempatnya sebentar.
[Riwayat Baihaqi]

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah selepas solat fardhu, baginda tidak berdoa beramai-ramai sepertimana ajaran zaman sekarang ini.


عَنْ جَابِرِ بْنِ يَزِيدَ بْنِ الأَسْوَدِ عَنْ أَبِيهِ, أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ فَلَمَّا صَلَّى انْحَرَفَ.

Jabir bin Yazid Ibnu Aswad berkata, dari ayahnya bahawa dia pernah solat bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam solat Subuh. Setelah selesai solatnya, baginda segera meninggalkan tempat solatnya.
[Riwayat Nasa'i dan disahihkan oleh al-Albani]

Tidak pula Rasulullah dituduh dengan label sombong kerana tidak berdoa. Inilah penyakit umat zaman sekarang yang mana atas pembacaan yang kurang dengan mudahnya melabel orang lain. Seharusnya kita perlulah bersangka baik dan bersikap dengan akhlak mulia.

Semoleknya jika ingin berdoa, doalah di ketika sujud dan sebelum salam iaitu selepas bacaan tasyahud kerana itulah tempat yang paling sunnah dan mustajab untuk berdoa.

Wallahualam.

Video sampingan:

Doa Selepas Solat


Catat Ulasan

18 Ulasan

  1. daripada FB Dr Asri:


    Kata AL-IMAM AS-SYAFI'I dalam kitabnya AL-UMM mengulas tentang zikir kuat selepas solat: "Aku berpendapat baginda menjelaskan suara (zikir) hanya seketika. Untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini, atau selainnya tidak menyebut selepas salam tahlil dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula menyebut duduk baginda (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda zikir secara terang. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak terang. Jika seseorang berkata: Seperti apa? . Aku katakan: Seperti baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya. Tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua. Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya). (Al-Syafi’i,Mausu‘ah al-Imam al-Syafi’i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi.)

    BalasPadam
  2. but then again kalau kita solat tanpa berdoa tidak kah seperti tidak lengkap solat kita? iyalah, solat semua cukup, tetapi berdoa atas kehendak sendiri bkn dlm bentuk wajib kerapkah kita minta(meminta keampunan atau bersyukur keatas apa yg dikurniakan oleh Allah SWT)? lagi pun kalau dipanggil sombong tu, sombongnye dgn Allah SWT bkn dgn org. Baginda Rasulullah SAW bergegas selepas solat bkn nya kerap kan, Baginda senantiasa berdoa, tp kalau nak di-compare-kan dgn kita, siapalah kita... berdoa pun kurang seolah-olah kita tak perlu bantuan Allah SWT...

    Jadi seeloknya kita harus kerapkan berdoa. sekali-sekala tinggal sbb tergesa-gesa takpe. Wallahhu a’lam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tidak sesiapa yang menegah kita berdoa kerana solat itu sendiri adalah zikir dan doa. Yang dilarang adalah berdoa dengan suara yg kuat. Rujuk Surah Al A'araf ayat 55.

      Padam
    2. Dibenarkan berdoa ketika sujud terakhir dan amalkan berdoa selepas tah'yat akhir... itulah yang lebih baik... sebab itulah baginda Rusulullah melakukannya, yakni ada berdoa dan tiada berdoa selepas solat kerana Baginda tidak mahu umatnya tuduh menuduh... dan berbaik sangka... itu adalah lebih utama... dan maafkan saya sekiranya ayat saya ini agak melampau, tetapi lebih baik kita mengutamakan bacaan dalam solat dari luar solat dimana kebanyakan orang sekarang hanya pandai membaca tetapi tidak mengerti... ketika menyembah Allah adalah lebih baik dilakukan dengan tertib dan tidak gopoh gapah... sesungguhnya itu lebih baik... terima kasih...

      Padam
  3. boleh saja jika hendak berdoa sekalipun, tetapi jangan berdoa sehingga bising kerana ada orang lain yang solat juga.

    kita tidak menghalang orang berdoa, bahkan amat bagus berdoa.

    solat itu sendiri dari segi bahasa maksudnya ialah doa.

    jika kita perhatikan dalam kitab2 fiqh, waktu yang sangat disarankan berdoa ialah ketika sujud.jadi, doalah ketika sujud. amat afdal dan sunnah berbanding berdoa selepas solat.

    selain itu, doa selepas bacaan tahiyat (sebelum salam) itu juga diajar oleh Rasulullah.

    BalasPadam
  4. Sebelum tulis harus nyatakan laman ni mazhab apa..laman ni bukan mazhab imam syafie.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selagi ajarannya tidak bertentang dengan hadis dan nas Al Qur'an maka tidak menjadi masalah! Janganlah kamu mempuak puakkan diantara kamu, sedangkan 4 imam besar itu mengatakan "sekiranya ada hadis yang menentang kata kataku maka campaklah kata kataku ke belakang tembok!" Semoga Allah mengampunkanmu dan juga daku!

      Padam
    2. Dan bagi mereka yang masih lagi kuat berpegang teguh terhadap mazhab itu dan ini... aku punya beberapa soalan?

      Kepada siapakah para imam mazhab2 ini menyembah?

      Dari siapakah imam2 ini mendapat pengajaran?

      Tahun berapakah imam2 ini hidup?

      Kenapakah imam2 dikatakan Imam Ahlus Sunnah?

      Fikirlah guna otak kamu yang lurus, yang kamu harus ikuti adalah pegangan mereka! Mereka semua hanya ingin lebih lurus kepada Allah SWT dan mengikut Sunnah Allah iaitu Sunnah Rasul. Janganlah kamu membeza2kan mazhab lagi wahai Umat Muhammad! Berpeganglah teguh kepada 5 Rukun Islam, 6 rukun iman agar kamu mampu mendapat 5 perkara yang penting!

      Yakin, taat, sabar, redha, ikhlas kepada Allah seperti para imam besar tersebut, para sahabat, para Nabi dan Rasul.Tidakkah Al Qur'an itu diturunkan untuk mengajarmu akan sesuatu? Jadi belajarlah dari ia, jangan sekadar baca, fahami!

      Para imam imam besar hanya berselisih pendapat mengenai beberapa perkara, namun tidak menolaknya terus! Contohnya mereka bersolat di Masjid yang berlainan mazhab contohnya Imam Syafi'i meninggalkan doa qunut ketika menjadi imam ketika melawat gurunya di Madinah. Imam Ahmad pernah mengikuti seorang Imam yang membacakan qunut dan mengaminkannya! Janganlah kamu kelirukan lagi manusia yang lain dengan perkataanmu ini. Belajarlah baik2 sebelum mengeluarkan pendapat.

      Kasihanilah akan mereka yang baru memeluk Islam yakni mualaf yang kebanyakannya bingung dengan hal2 yang mudah namun disulitkan oleh umat Islam yang senior...

      Padam
    3. Komen bahawa laman ni bukan mazhab imam syafie bermakna penulis komen tidak pernah membaca kitab2 Imam Shafie. Kalau mahu menjadi pengikut Imam Shafie ikutlah fatwanya spt didalam Kitab Al Umm yg menyatakan imam dan makmun berzikir dan berdoa dengan mengecil suara saperti firman Allah didalam surah Al-Isra:110. Allah juga memberi garis panduan berdoa dan berzikir saperti firmanNya didalam surah Al-A'raf ayat 55 dan 205.
      Kesimpulannya jangan menyangkakan sesaorang itu tidak berzikir dan berdoa kerana tidak berzikir dan berdoa bersama imam.

      Padam
  5. Hadis tak tengok betul2.memang salah la.

    BalasPadam
  6. kalau begitu ini bukan laman imam syafie, saudara cari dan kemukakanlah pendapat imam syafie dan mana imam2 yg bermazhab syafie tentang hal berdoa selepas solat.....dan imam nawawi yg bermazhab syafie mengatakan dlm kitab (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 3/488) -

    قد ذكرنا استحباب الذكر والدعاء للامام والمأموم والمنفرد وهو مستحب عقب كل الصلوات بلا خلاف وأماما اعتاده الناس أو كثير منهم من تخصيص دعاء الامام بصلاتي الصبح والعصر فلا أصل له

    “Kami telah menyebutkan tentang tuntutan berzikir sesudah solat bagi Imam bagi makmum, dan bagi yang bersolat secara bersendirian adalah dikehendaki berbuat yang demikian (secara bersendirian) pada setiap solat lima waktu tanpa khilaf. Dan adapun adat yang diadakan manusia atau kebanyakan dari mereka, iaitu imam menentukan doa buat solat subuh dan asar, maka ianya tidak ada asal usulnya”.

    BalasPadam
  7. Biar pon dinyatakan qawl dr mazhab syafie sdri xbleh nk terima...

    BalasPadam
  8. Zikir lepas solat, ada nas. Zikir kuat lepas solat ada nas. Zikir kuat mengganggu orang lain beribadah dan ganggu ketenteram orang lain samada dalam atau luar masjid, haram

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zikir kuat ada nas? Dalilnya? Cuba rujuk Surah Al A'raf ayat 205 dimana Allah berfirman supaya berzikir dalam hati dengan merendah diri dan tidak mengeraskan suara.

      Padam
  9. Doa lepas solat ada nas cz Rasulullah ada ajar pada sahabat doa2 lepas solat. Doa beramai2 lepas solat xde nas. Doa kuat2 selepas solat sehingga menggangu ibadah orang lain dan ketenteraman orang lain samada dalam atau dalam masjid, haram.

    BalasPadam
  10. tak semua doa sama..ada org nak kahwin 4 ada yg takut bini nak kawen sorang..
    setiap doa seorang hamba pada Rabb nye kan berbeza,,

    berdoa je la sendiri2..itu pun susah..

    paham ke tak paham..?

    BalasPadam
  11. ingtlah janji syaitan ketika mereka dihumban daripada syurga Allah.."Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
    (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan
    (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini,
    dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
    [al-Hijr 15:39]"...jadi kalian, satu-satunya islam yang sempurna adalah cara Nabi kita Muhammad SAW..dan janganlah kalian menjadi jurucakap bagi kitab Allah...berkongsi lah ilmu, bukan membahaskan persoalan. kelak akhirat kita yang menjawab...beramal lah dengan sifat rendah diri, ilmu bukan milik kita, semuanya milik Allah swt semata. pesanan untuk diri sendiri juga.. in Sya Allah

    BalasPadam
  12. بسم الله الرحمن الرحيم
    الصلاة والسلام على رسول الله محمد

    Mohon disemakhadits "ya ali" itu. Nombor berapa dari imam Muslim?

    BalasPadam

Ad Code

Responsive Advertisement