Ticker

6/recent/ticker-posts

Tulisan Di Web Halaqah Maya

Saya mendapat mandat untuk menulis artikel sebagai ahli Halaqah Maya atas tema "Saya Bangga Menjadi Seorang Muslim".


السلام عليكم
 
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dalam kitab Hadis 40 oleh Imam Nawawi, hadis kedua daripada 42 hadis telah menceritakan tentang apa itu Islam.

Dari Umar radhiyallahu `anhu juga dia berkata : Ketika kami duduk-duduk disisi Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam  suatu hari tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun di antara kami yang mengenalnya. Hingga kemudian dia duduk di hadapan Nabi lalu menempelkan kedua lututnya kepada kepada lututnya (Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam) seraya berkata, “ Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam?”, Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam: “ Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada ilah (tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu “, kemudian dia berkata, “ anda benar “
[Riwayat Muslim]

Begitulah yang kita fahami sejak kecil lagi bagaimana ibubapa dan guru kita mendidik kita dengan rukun Islam yang mempunyai 5 rukun keseluruhannya. Dengan 5 rukun inilah menjadikan kita seorang yang benar-benar Muslim, bukan sekadar Muslim di atas kertas dan kad pengenalan. Muslim itu perlulah melakukan kesemua 5 rukun di atas, kecuali haji bagi yang berkemampuan sahaja, barulah Allah menamakan mereka itu Muslimin. Gelaran Muslimin itu sendiri telah diberikan kepada kita, daripada Tuhan yang Maha Berkuasa, yang mana perlulah kita bangga.
Cukuplah sekadar kita menisbahkan diri kepada gelaran Muslim, bukanlah seperti yang berlaku pada hari ini terdapat pemikiran yang terhasil yang mana mereka mempunyai teori dan cara fikir yang tersendiri lalu menisbahkan diri kepada nama kumpulan tertentu kononnya jika sekadar Muslim sahaja tidak mencukupi kerana banyak ajaran sesat berleluasa dan bid'ah yang semakin diterima.

 هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ 
 Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu 
[al-Hajj ayat 78]

Mengapa kita perlu bangga? Kerana Tuhan sekalian alam sendiri yang memberikan gelaran, bukan Sultan, bukan Raja, bukan Presiden mahupun Perdana Menteri. Tetapi apa yang kita lihat, akibat kurangnya melihat dunia dari perspektif akhirat maka gelaran itu dianggap biasa-biasa sahaja manakala jika diberi gelaran Dato', Professor atau Dr. atau Ir. barulah kita hendak berasa bangga. Perasaan bangga dengan makhluk itu sama sekali mencabar Allah kerana ianya boleh termasuk dalam syirik kecil. Hanya Allah sahaja yang berhak merasa bangga dan sombong sepertimana hadis Qudsi:

"Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam."
[Riwayat Abu Daud]


1. Mengucap dua kalimah syahadah.
لاَإِلَهَإِلاَّاللهُوَأَنَّمُحَمَّدًارَسُوْلُاللهِ
Dua kalimah syahadah iaitu mengakui dengan hati, lisan dan perbuatan bahawa Allah sahaja Tuhan dan yang hanya layak disembah serta Muhammad itu Rasulullah iaitu pesuruh Allah dalam menyampaikan ajaran Islam yang diturunkan lebih kurang 1400 tahun dahulu. Dengan mengakui dua perkara ini, maka sahlah kita memeluk agama Islam dan termaktub dalam segala syariah hukum hakam Islam.
Hal ini berbeza dengan golongan anti agama iaitu atheist yang tidak mahu mempercayai wujudnya Tuhan atas alasan akal semata-mata. Mereka hanyalah menuruti nafsu dan sifat sombong kerana jauh di sudut hati mereka tertanya-tanya siapakah pencipta alam ini. Mereka hanya menafikan tiadanya Tuhan kerana KONONNYA bosan dengan segala kongkongan agama, sedangkan Islam itu bukan agama kongkongan tetapi agama perlindungan. Bayangkan salah satu contoh, pengeksploitasian wanita itu dianggap kebebasan kerana aurat itu dikatakannya kebebasan. Sedangkan pada akal dan fitrah yang sihat, manusia itu punyai sifat malu dan mereka yang telah mendedahkan diri itu dianggap kotor, seperti gula-gula tanpa bungkusan yang diratap oleh semut-semut.

2. Mendirikan solat
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar
[al-Ankabut ayat 45]

Apabila difikirkan kembali, bagaimana solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar? Kerana sekarang ini pun kita dapat lihat Tok Imam sendiri pun hisap rokok di warung-warung sambil mengeteh berbual bersama rakan seusia. Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah bahawa solat tidak mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ini kerana kualiti solat itu sendiri yang mempengaruhi pelakunya di luar solat nanti. Jika solat itu pun tidak khusyu' dan selalu berangan, maka apakah mereka bertambah keimanannya?
Di dalam solat itu perlulah ikhlas melakukannya serta mengikut sunnah yang diajarkan Rasulullah. Bukannya hanya mengikut taqlid buta sahaja, kerana ianya akan memberi kesan pada kita. Bayangkan kita lakukan perkara secara ikutan atau lakukan secara kajian, mana satu yang kita lebih terasa keseronokannya? Selain itu juga perlulah ketahui setiap maksud apa yang kita baca dalam solat, bukan hanya main bedal baca secara semberono. Jika kita amati maksudnya, kita akan terasa di hati kita rasa seperti kita berhadapan dengan Allah. Rasa seperti Allah itu hampir dengan kita. Allah sayang pada kita. Perkara inilah yang dapat mencegah kita dari perkara keji dan mungkar selain doa-doa di dalam solat seperti sewaktu sujud dan sebelum memberi salam. Itulah waktu doa yang Rasulullah ajar, bukan hanya doa setelah habis solat.
Ramai dalam kalangan kita yang sering mengata belakang orang yang tak baca doa selepas solat itu sombong dan berlagak. Usahlah turuti prasangka buruk, kerana hadis di dalam Sahih Bukhari mengatakan Allah itu dekat sewaktu hamba-Nya sujud. Oleh itu, solatlah dan usahlah hanya mengikut tanpa mempelajari sesuatu, kerana syaitan itu suka pada mereka yang jahil yang mana berpotensi untuk menanam permusuhan dalam kalangan hamba Allah.

3. Puasa di bulan Ramadhan
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
[al-Baqarah ayat 183]

Puasa ini banyak kelebihannya sepertimana  para asatizah selalu katakan di dalam buku-buku, artikel, ceramah, konvensyen dan macam-macam medium lagi. Puasa itu membolehkan nafsu bukan sahaja perut, tetapi nafsu lain dikawal dan direfresh kembali. Maksudnya ialah, katakan jika tiada bulan Ramadhan, sudah tentu manusia akan lalai dengan arus masa yang mereka tempuhi. Dengan wujudnya bulan Ramadhan sebagai bulan puasa, dapatlah seseorang itu memeriksa kembali iman beliau dan amal beliau. Sebelum ini jika mereka lalai dengan hidup mereka, tibanya bulan puasa mereka akan berasa serba salah dan kadang-kala menjadi hipokrit berpuasa. Saya katakan, tidaklah mengapa hipokrit dalam membuat amal, usahlah mendengar kata-kata sinis sedangkan mereka yang berkata itu pun belum tentu bagus. Dengan menjadi hipokrit dalam melakukan amal, kebarangkalian untuk diberikan hidayah itu ada.
Dengan melakukan puasa, yang kaya akan merasa bagaimana selama ini mereka yang tidak cukup makan bertarung untuk terus hidup. Selain puasa di bulan Ramadhan, hikmah berpuasa juga pada mereka yang tidak mampu untuk menikah.

يا معشر الشباب من اسطاع منكم الباءة فاليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء
"Wahai sekalian para pemuda, barang siapa di antara kalian telah mampu untuk menikah maka hendaknya ia menikah, karena menikah dapat lebih menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kehormatan. Barang siapa yang belum mampu menikah maka hendaklah ia berpuasa, karena puasa adalah penjaga baginya."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

4. Membayar zakat
۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْعَٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ
Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu`allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana 
[at-Taubah ayat 60]

Menurut ayat di atas, zakat itu dibahagikan kepada asnaf yang layak sahaja sepertimana disebutkan oleh Allah. Setiap asnaf itu punyai hikmahnya tersendiri dalam hak mereka mendapat zakat. Kita ambil satu asnaf iaitu para mualaf yang baru sahaja memeluk Islam. Dengan adanya pembahagian zakat kepada golongan ini, mereka akan lebih dekat dengan Islam dan minat dengan pendekatan yang ditunjukkan ini. Para mualaf ini mungkin akan memberitahu golongan mereka contohnya keluarga mereka yang belum lagi memeluk Islam bahawa agama Islam ini sangat pemurah. Maka, hal ini dapat menarik lebih ramai lagi golongan untuk memeluk Islam. Amatlah besar pahala mereka yang berjaya menarik orang ke dalam Islam.
Dengan bertambahnya kemasukan ke dalam Islam, mereka yang beragama Islam itu akan mendapat manfaat dari segi ilmu pengetahuan. Maksud saya di sini, para mualaf sudah semestinya bertanyakan pelbagai soalan tentang hukum hakam Islam serta tauhid. Menjadi tanggungjawab orang Muslim itu supaya mengajar para mualaf tersebut ilmu-ilmu tentang agama. Apabila hal ini timbul, maka secara tidak langsung orang Muslim tersebut akan bertambah ilmu agamanya kerana kadang kala dia perlu merujuk mana-mana sumber tentang persoalan yang ditimbulkan. Oleh itu, lahirlah generasi yang cerdik pandai agama serta bijak dalam urusan duniawi.

5. Haji bagi berkemampuan
وَأَتِمُّوا۟ ٱلْحَجَّ وَٱلْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.
[al-Baqarah ayat 196]

Saya pernah datang ke kelas talaqi kitab Keindahan Islam oleh Dr Abdul Basit baru-baru ini yang mana beliau katakan jika ingin merasa manisnya Islam, pergilah menunaikan haji kerana di sana kita akan diuji dengan agak payah yang mana perlukan kesabaran yang tinggi. Ini kerana sewaktu dalam ihram kita tidak boleh membuat sesuka hati kita, berkata yang tidak sopan, perbuatan fasiq dan sebagainya. Beliau menceritakan waktu itulah kita perlu sabar kerana ramai orang kasar-kasar akan terlanggar kita kadang kadang menyebabkan kesakitan dan macam-macam lagi. Tambah beliau lagi, sewaktu bermalam di Mina/Muzdalifah (saya tak ingat) beliau pernah tidur bertindih-tindih kerana berkongsi khemah dengan orang lain. Bayangkan kita bangun sahaja, ada kaki di muka kita, pasti tanpa sabar yang ada di jiwa kita akan marah.
Namun, ibadah haji ini menjadikan jiwa seseorang mudah memaafkan dan berkasih sayang sesama Islam. Umat Islam dari pelusuk dunia datang ke sana untuk melakukan ibadah semata-mata kerana Allah. Mereka melontar jamrah bukan kerana ingin melontar batu kepada syaitan, tetapi tanda ketaatan kepada arahan Allah. Dr Abdul Basit turut berjenaka jika ingin melontar syaitan, pasti dia akan mengambil batu yang besar supaya puas hati.

Begitulah sedikit sebanyak coretan saya bagaimana menjadi seorang Muslim dan mengapa kita perlu berbangga dengan gelaran ini. Namun, Allah juga memotivasi kita supaya mencapai darjat orang beriman, Mukmin dan orang bertakwa, Muttaqin kerana itu lebih tinggi kedudukannya lagi tinggi ganjarannya.

Bacaan yang dicadangkan:
Apa Ertinya Saya Menganut Islam oleh Fathi Yakan.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement