Buku yang telah saya baca di tangan saya ini ialah:
Nasihat Untuk Orang Yang Terlanjur Melakukan Dosa
(الي الذين اسر فو علي انفصهم),
Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni,
Terbitan Jahabersa, 2007.
Secara kasarnya, pertama kali melihat buku ini saya merasakan ianya sesuai untuk dibaca oleh mereka-mereka yang agak berusia, kerana boleh menjadi sebagai batu loncatan dan motivasi kepada diri supaya sentiasa berubah ke arah yang lebih elok daripada hari ini.
Namun, setelah membacanya saya mendapati buku ini sesuai juga dibaca oleh para remaja kerana saya sendiri seorang remaja merasa terkesan dengan kisah-kisah menarik dalam buku ini. Selain itu, zaman remaja jugalah satu fasa yang penting dalam tumbesaran pemikiran seseorang. Jika dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang lebih kepada muhasabah diri, insyaAllah seseorang itu akan menjadi pemuda/pemudi yang sentiasa melakukan sesuatu kerana Allah.
Buku ini menceritakan bagaimana kisah orang-orang yang menerima Islam dan bertaubat kepada Allah serta kisah kecintaan sahabat kepada Rasulullah. Sebagai contoh,
Di kisahkan bahawa Mu'az bin Jabal ketika diberi tanggungjawab diutuskan oleh Rasulullah ke negeri Yaman menjadi qadhi di sana, beliau menangis lalu ditanya oleh Rasulullah:
"Apakah yang membuatmu menangis wahai Mu'az?".
Mu'az menjawab, "Aku menangis kerana berpisah denganmu, wahai Rasulullah."
Rasulullah berkata kepadanya:
"Janganlah bersedih wahai Mu'az, kerana sesungguhya kesedihan itu bahagian dari tipu helahnya syaitan.
Wahai Mu'az, bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada.
Lakukanlah kebaikan selepas kamu melakukan suatu keburukan maka kebaikan tersebut akan menghapus dosa keburukan yang telah kamu lakukan dan pergaulilah orang lain dengan akhlak yang baik.
Wahai Mu'az, ingatlah selalu kepada Allah setiap kali engkau berada di bebatuan, pepohonan ataupun di dalam keramaian bandar."
[Riwayat Tirmidzi dan Ahmad, lihat juga Jami' al-Ahadith wa al-Murasil dan al-Targhrib wa al-Tarhib]
Daripada kisah ini, saya mendapati bahawa Rasulullah memberi nasihat yang sangat berguna iaitu jika kita telah melakukan sebarang kesalahan maka perkara itu dapat ditebus dengan amalan soleh serta syaitan telah menghasut kita supaya sentiasa bersedih seolah-olah kita tidak boleh bertaubat kerana kononnya taubat kita tidak akan diterima.
Memanglah kita sepatutnya bersedih dan menempelak diri jika kita telah melakukan satu kesalahan, namun janganlah sehingga berlarutan tak kesudahan akhirnya sudah terlambat untuk kita bertaubat. Allah itu sentiasa ada setiap masa untuk kita memohon keampunan, bukanlah seperti trend zaman sekarang menunggu waktu-waktu tertentu katanya lebih mustajab. Memang ada waktu dan hari yang mana mustajab jika kita berpuasa atau beramal soleh, namun janganlah menunggu-nunggu waktu itu, bertaubatlah dahulu barulah tunggu waktu itu.
Dalam hadis qudsi:
"Wahai hamba-hambaKU, sesungguhnya kamu sentiasa melakukan dosa waktu siang mahupun malam, tapi Aku sentiasa pula berkenan mengampuni semua dosa kamu. Maka mohonlah kepada-Ku, nescaya Aku ampuni kamu"
[Riwayat Muslim, al-Baihaqi dan al-Hakim]
Dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim terdapat kisah pembunuh bersiri yang telah membunuh 99 orang.
Apabila dia ingin bertaubat, dia bertemu dengan rahib.
Tetapi rahib itu mengatakan dosa orang itu terlalu besar dan tidak boleh diampunkan lagi. Lalu orang itu pun membunuh rahib itu kerana geram lantas menjadikannya mangsa yang ke 100.
Orang itu pun bertemu dengan ulama' kerana ingin bertaubat. Ulama' itu dengan berhemah mengatakan selagi nyawa dikandung badan, pintu taubat masih terbuka.
Ulama' itu menyuruh lelaki itu pergi ke negeri yang mana orang-orang soleh tinggal, supaya mereka boleh membimbingnya.
Lelaki itu pun pergi, tetapi atas takdir Allah beliau telah mati dalam perjalanan. Malaikat rahmat dan malaikat azab saling bertelagah untuk mengambil roh lelaki itu daripada malaikat maut.
Lalu Allah menyuruh mereka mengukur jarak perjalanan lelaki itu. Ternyata jarak ke negeri itu lebih dekat, lalu Allah ampunkan segala dosa lelaki itu walaupun lelaki itu tak pernah langsung solat, apatah lagi ibadah lain.
Bayangkan!
Lihatlah betapa luasnya rahmat Allah terhadap hamba-Nya tanda sayang Allah kepada kita, hamba yang lemah dan sentiasa melakukan kesalahan. Jika kita amati, dalam kisah pembunuh 100 orang, dinasihatkan kepada dia supaya pergi ke negeri di mana orang-orang soleh tinggal. Hal ini kerana, jika ingin bertaubat kita hendaklah tidak bercampur dengan orang-orang fasik dan selalu melakukan dosa. Ini akan menggugat keimanan kita kerana tiada amar makruf dan nahi mungkar dalam situasi sekeliling.
Amatlah penting mencari sahabat dan mereka yang soleh supaya dapat membimbing diri kita ke arah yang lebih baik. Jika sahabat kita ialah kaki maksiat dan sering melakukan dosa, berkemungkinan hati kita akan menjadi kotor kerana diri kita ini tidaklah sempurna seperti Rasulullah yang mampu hidup dalam kalangan Arab jahiliyah yang penuh dengan maksiat dan kemungkaran.
Ibn Umar berkata:
"Demi Allah, kalaulah seandainya aku berpuasa setiap siang hari dan tidak berbuka, melaksanakan solat tahajud setiap malam dan tidak tidur, serta menginfakkan seluruh hartaku kerana Allah semata,
TETAPI aku tidak menyintai ahli ibadah dan tidak pula membenci ahli maksiat, maka aku khuatir Allah akan menghumbankan api neraka ke wajahku."
Imam Syafi'i dalam syairnya:
"Aku suka kepada orang-orang soleh, padahal aku bukan termasuk golongan mereka. Harapanku hanyalah agar aku juga mendapat syafaat, kelak bila bersama mereka. Dan aku benci orang-orang yang menjadikan maksiat sebagai perniagaan mereka dalam hidup ini, walaupun aku sendiri mungkin seperti mereka yang melakukan maksiat tersebut."
Mungkin juga sahabat kita bukanlah jahat sangat dan kadang-kala ada juga yang solat, namun jika mereka kerap melakukan perbuatan mungkar tanpa ingin berubah, hati mereka yang dahulunya bersih akan menjadi kotor dan kemanisan dalam beribadah itu akan hilang secara perlahan-lahan. Mereka merasakan seolah-olah mereka membuat jahat itu tidak ada apa-apa kesan buruk kepada mereka, mereka menjangkakan azab yang berat seperti kisah-kisah kaum terdahulu di dalam al-Qur'an dan apabila mereka mendapati tiada apa berlaku maka mereka mengambil mudah soal halal haram.
Tetapi mereka lupa tentang hati mereka yang semakin kotor dan lalai daripada Allah,
Ibn Jauzi dalam kitabnya Said al-Khatir:
"Seorang rahib dari kaum Bani Israel berkata, "Wahai Tuhanku, berapa kali aku bermaksiat kepada-Mu namun Engkau tidak mengazabku?"
Kemudian Allah memberikan wahyu kepada salah seorang Nabi dari Bani Israel supaya menegur rahib tersebut dengan mengatakan bahawa Allah berkata mengenai rahib itu,
"Aku telah mengazabnya dengan azab yang paling berat, namun dia tidak menyedarinya. Bukankah Aku telah menghilangkan darinya manisnya ibadah kepada-Ku dan nikmatnya taat kepada-Ku?"
Akhirnya jika semua itu telah ditarik Allah, seseorang akan merasa bosan untuk beribadah dan menghambakan diri kepada Allah. Akan berlakulah kekacauan di muka bumi kerana masing-masing merasakan tiada apa azab yang menimpa mereka, sedangkan itulah azab terhadap mereka akibat daripada sikap berlagak tidak ingin bertaubat kepada Allah.
Kesimpulan daripada pembacaan ini, buku ini amat baik bagi golongan remaja hinggalah warga emas kerana kita dapat bermuhasabah diri dan merenung diri kita betapa telah kita lalai hidup di dalam dunia ini. Akhirat itu adalah tempat yang pasti, namun akibat terpedaya dengan dunia ini manusia sanggup melanggar hukum Allah. Namun, pintu taubat itu masih lagi terbuka untuk kita sama-sama memohon keredhaan dan keampunan Allah, insyaAllah.
0 Ulasan