Ticker

6/recent/ticker-posts

Terjemahan Kitab Al Halal Wal Haram Fil Islam

Alhamdulillah, atas anugerah Allah Tuhan sekalian alam dapatlah saya menghabiskan membaca terjemahan kepada kitab Al Halal Wal Haram Fil Islam karangan Dr. Yusuf Qardhawi.

Buku yang ada di tangan saya ketika ini ialah:

Halal Dan Haram Dalam Perspektif Islam,
Dr. Yusuf Qardhawi,
Perniagaan Jahabersa, 2009.

Oleh itu, sedikit sebanyak saya ingin kongsikan apa yang ada di dalam kitab ini. Semoga bermanfaat buat umat hari ini dan kemudian, insya Allah.

Di dalam mukaddimah kitab ini penulis mengatakan kita seharusnya keluar daripada kerangka taqlid buta dan hanya ikut-mengikuti orang lain. Mereka yang berada di dalam satu mazhab atau manhaj atau cara pemikiran juga tidak boleh mendakwa hanya mereka sahaja benar dalam dunia ini. Kata-kata Imam Malik yang masyhur ialah,

"Setiap orang kata-katanya boleh diambil dan ditolak kecuali Rasulullah".

Manakala Imam Syafi'e ialah,

"Pendapatku adalah benar tapi boleh jadi juga salah. Pendapat orang lain adalah salah tapi boleh jadi juga benar."

Sedangkan kedua mujtahid agung ini tidak berani mengaku hanya mereka sahajalah benar, inikan pula kita yang lemah ilmu ini. Oleh itu, di dalam semua hal berlapang dada dan terimalah kritikan dengan terbuka. Bukan seperti yang berlaku pada zaman ini, dimana wujudnya satu fahaman yang mengaku sunnah tetapi sebenarnya tidak berapa sunnah. (salahpi).

Sebenarnya bila difikirkan kembali, skop haram dalam khazanah Islam adalah sempit manakala skop halal adalah sangat luas. Jika kita ingin buktikan, kita bolehlah menyenaraikan makanan yang diharamkan dalam Islam dan makanan yang dihalalkan. Pasti yang dihalalkan itu melebihi daripada yang diharamkan.

"Asal sesuatu perkara itu adalah halal dan harus melainkan terdapat dalil pengharamannya."

Itu adalah kaedah fiqh yang digunapakai hari ini. Amat berbeza dengan perkara ibadat kerana dalam hal ibadat kita tidak boleh mencipta sesuka hati perkara baru kerana ianya adalah ajaran sesat, (berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim),  kita hanya beribadat mengikut acuan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Dalam sebuah hadis:

"Sesungguhnya Allah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kalian mengabaikannya. Allah juga memberikan batasan-batasan, maka janganlah kalian melanggarnya. Dan mengharamkan beberapa perkara, janganlah kalian merosakkannya. Dan juga mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat kepada kalian, bukan kerana lupa, maka janganlah kalian mengkajinya."
[Riwayat Daruqutni]

Hadis di atas bukanlah Allah melarang kita untuk mengkaji hikmah mengapa Allah mendiamkan beberapa perkara, tetapi mewujudkan pertanyaan yang mengundang kepada polemik dan perdebatan yang tak kesudahan sehingga boleh memecahbelahkan umat Islam. Seperti contoh ialah isu muzik yang mana ada kata haram secara total dan ada kata haram bersyarat. Tidak perlulah sampai ingin mengatakan mereka yang berbeza dengan kita adalah sesat, kerana kita sendiri pun jauh di sudut hati tidak pasti apakah kita betul atau salah.

Halal dan haram adalah hak mutlak Allah semata-mata, tidaklah benar bagi mereka yang sewenangnya memfatwakan sesuatu itu halal dan haram secara mutlak sesuka hati mereka. Dalam al-Qur'an, Allah mengatakan penganut Kristian itu menjadikan paderi dan rahib mereka seperti Tuhan mereka.

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَٰنَهُمْ أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah.
[at-Taubah ayat 31] 

Seorang sahabat, Adi bin Abi Hatim yang sebelum ini beragama Kristian berkata kepada nabi bahawa mereka tidak menyembah pada paderi dan rahib itu, Rasulullah menjawab:

"Ya, sesungguhnya para paderi itu mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, kemudian mereka mengikut begitu sahaja. Itulah penyembahan mereka kepada para paderi tersebut."

Itulah salah satu sebab wujudnya ideologi sekularisma, kerana sewaktu zaman gelap gereja dan paderi hanya pandai mengampu pemerintah sahaja. Mereka sahajalah yang betul dan mendapat hidayah. Mana-mana ahli akademik yang berfikiran luas akan disempitkan perjuangan mereka. Jika kita amati kisah mereka, contoh Christoper Columbus, mereka didapati mendapat tentangan daripada pihak gereja untuk melakukan sesuatu. Seolah-olah pihak gereja serba tahu akan alam semesta ini.

Islam apabila telah mengharamkan sesuatu, maka apa yang diubahsuai untuk menghalalkannya tidaklah dapat menjadikannya halal. Sepertimana Bani Israel yang sungguh degil membuat macam-macam alasan untuk menghalalkan sesuatu. Kita dapat lihat dimana Allah mengharamkan mereka menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi mereka telah memasang jaring pada hari Jumaat dan mengambil hasil pada hari Ahad. Dr. Yusuf Qardhawi menyifatkan mereka itu orang fasiq kerana mengubahsuai mengikut kehendak mereka mempermainkan hukum Allah. (Sepertimana zaman sekarang arak diberi nama lain, aurat diberi nama seni, riba' diberi nama faedah)

Islam juga tidak berat sebelah terhadap umatnya apabila melakukan kesalahan. Seperti hukum potong tangan bagi yang mencuri, Rasulullah sendiri bersumpah akan memotong tangan anaknya jika mencuri,

"Demi Allah, andaikan Fatimah binti Muhammad mencuri, pastilah aku memotong tangannya."
[Riwayat Bukhari]

Hal ini amat berbeza dengan bangsa Yahudi yang sesuka hati mereka mentakwil arahan Allah untuk  menghindari riba'. Mereka mengatakan jika terhadap bangsa lain adalah tidak mengapa berbuat demikian. Sesungguhnya mereka telah berdusta kepada Allah.

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا۟ لَيْسَ عَلَيْنَا فِى ٱلْأُمِّيِّۦنَ سَبِيلٌۭ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Yang demikian itu lantaran mereka mengatakan: "tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang ummi. Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahui.
[Ali Imran ayat 75]

Dari perspektif yang berbeza, Islam membolehkan yang haram itu dalam keadaan yang terdesak dan darurat. Islam tidak seperti agama lain yang mana jika dikatakan A, maka A sahaja tidak boleh B walau apa pun berlaku. Ini kerana Allah tahu bahawa manusia makhluk-Nya yang lemah dan dalam keadaan tertentu pasti tidak dapat menghadapi ujian yang berat bagi mereka.
Makanya, dalam hal yang terpaksa Allah membolehkan umatnya melakukan yang haram tetapi atas syarat yang ditetapkan, supaya manusia terus bertahan hidup.

فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ
Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[al-Baqarah ayat 173]

Dari ayat tersebut, fuqaha telah menetapkan satu kaedah fiqh iaitu:

"Keadaan darurat mengubah yang terlarang menjadi mubah (harus)."

Tetapi jika diperhatikan secara adil dan saksama, ayat itu menyatakan keharusan itu mestilah tidak melampaui batas iaitu hanyalah harus untuk tujuan bertahan untuk hidup, bukan untuk menikmati sesuatu yang haram itu. Oleh itu fuqaha juga berpendapat satu lagi kaedah fiqh:

"Keadaan darurat sesuai dengan kedaruratannya."

Seseorang tidak boleh menyerah begitu sahaja jika dalam darurat dan juga tidak boleh sambil lewa menikmati yang haram itu. Perlulah berada di pertengahan supaya tidak dianggap remeh masalah hukum hakam Islam dengan alasan darurat.
Jika kita menganggap remeh perkara ini, bererti kita tidak bersangka baik dengan Allah yang sebenarnya tidak berkehendak untuk menzalimi hamba-Nya tetapi memberi keringanan kerana Dialah yang Maha Mengetahui.

يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ ٱلْإِنسَٰنُ ضَعِيفًۭا
Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.
[an-Nisa' ayat 28]

Begitulah sedikit sebanyak isi di dalam kitab ini, diharap mereka yang tidak berkesempatan diberi kesempatan waktu oleh Allah untuk menelaah isi kandungan kitab ini. Insya Allah.


Wallahualam.


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. salam nk tanya. kalau download lagu secara percuma tu berdosa ke?

    BalasPadam
  2. persoalan hak cipta ada khilaf yang besar dalam Islam..

    namun, dalam persoalan mendownload lagu secara percuma untuk kegunaan sendiri adalah tidak berdosa.wallahualam.

    boleh rujuk Dr Zaharuddin Abd Rahman dalam hal ini.

    BalasPadam

Ad Code

Responsive Advertisement