Umat hari ini semakin parah. Walaupun jika kita amati kesedaran terhadap pro-Islam semakin berkembang dalam kalangan masyarakat hari ini berbanding tahun-tahun terdahulu, namun itu hanyalah sekadar kesedaran atas dasar turutan taqlid sahaja. Umat hari ini terkesan dengan kesedaran pro-Islam hanyalah disebabkan faktor teknologi semata, bagaimanapun syukur alhamdulillah setidaknya mereka sedar tentang ilmu agama yang selama ini hanyalah dipegang oleh golongan tertentu yang mana pendapat mereka adalah 'wahyu dari Tuhan'.
Saya teringat ketika ayah saya cerita apabila kita mengenang kembali sewaktu zaman dimana murid-murid sekolah rendah wajib memakai seluar pendek dan kita lihat guru agama pun tidak memakai tudung walaupun yang mereka ajar itu subjek agama. Sewaktu itu sangatlah jahil masyarakat tentang Islam, mereka hanya mengikut-ikut perbuatan yang diturunkan terhadap mereka sehinggalah sekarang.
Ketika internet mula meluas dan masyarakat sudah pun berpeluang memasuki alam dunia siber tanpa batasan, ilmu dengan mudah mengalir-alir di hujung jari. Tekan itu dapat ini, tekan ini dapat itu. Lebih-lebih lagi sekarang dengan pelbagai pakej yang menawarkan kelajuan melayari internet. Banyak ceramah-ceramah agama yang kita lihat bosan di masjid, tapi bila tonton di Youtube kita dapati sangat menarik kerana kita boleh baring,makan,berborak dengan kawan, tunggang terbalik pun orang tak kisah. Mungkin ini sebabnya kurangnya anak muda ke masjid.
Setiap perkara ada negatif dan positif perspektif. Tangan yang menggunakannyalah yang bertanggungjawab atas natijah sesuatu perkara. Samalah seperti internet. Jika kita mahu, boleh saja kita buka laman web mungkar dan boleh saja kita buka laman web makruf. Bergantung pada kita untuk gunakannya. Sistem pemerintahan juga telah berubah. Jika dahulunya Islam begitu terkenal dengan empayar khalifahnya yang agung, tetapi hari ini kebanyakannya menggunakan sistem demokrasi mahupun monarki. Setiap sistem punya sisi gelap dan terangnya, terpulang pada kita bagaimana untuk mentadbirnya.
Dunia sudah berubah. Islam yang dahulunya hebat kini menjadi kerdil di mata dunia. Bukan kerdil dalam kuantiti, tetapi dalam kualiti keseluruhannya. Islamlah yang ditembak dan dipanah dengan prejudis lagi tuduhan. Sedangkan umat Islam itu sendiri yang perlu dipersalahkan. Kata-kata Jamal ad-Din al-Afghani atau Muhammad Abduh yang terkenal:
"Islam itu dihijab oleh kaum Muslimin"
"Islam itu dihijab oleh kaum Muslimin"
(Dr Asri, (2010), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication)
Ali Tantawi dalam Mauqufuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat mengatakan:
"Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam"
"Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam"
(Dr Asri, (2010), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication)
Kita dapat lihat situasi ini zaman sekarang yang mana umat Islam itu sendiri gagal melaksanakan tuntutan agama yang asas sekalipun. Begitu banyak dakwah untuk menutup aurat sehinggakan saya sudah muak bila melihatnya kerana perkara kecil pun susah untuk kita pertahankan apatah lagi mewujudkan kegemilangan Islam semula. Alangkah jauhnya angan-angan saya hari ini.
Umat sekarang gemar mendengar tentang kehebatan Islam dahulukala sahaja tanpa berbuat apa-apa. Mereka gemar dengan kisah Sultan al-Fateh yang menawan Konstantinopel dan Salahuddin al-Ayubi yang menawan Baitul Maqdis tetapi gemarnya mereka itu sekadar seperti menonton wayang dikala cuti sekolah.
Selain soal aurat, soal lain juga payah hendak ditegakkan sedangkan perkara yang wajib. Sifir hari ini, "kalau perkara senang pun tak buat, macam mana nak buat perkara besar". Mereka sewenangnya meremehkan perkara yang wajib dan haram tetapi bila timbul isu seperti murtad dan yahudi, seolah merekalah barisan pertama dalam peperangan. Begitu semangat ingin menentang musuh Islam hanya dengan menekan butang 'like' dan 'share' dalam Facebook dan 'memboikot' (yeke?) barangan musuh Islam. Sehinggakan saya lucu hati gelagat sesetengan orang yang bimbang akan adanya lambang yahudi di dalam komputer sehingga sanggup menggodeh sedalamnya tetapi lupa dengan pengaruh yahudi di luar sana contohnya dunia hiburan.
Dahulu umat Islamlah yang lebih maju sehinggakan Barat terpaksa bergantung kepada ilmu Islam untuk maju sama. Prof Bernard Lewis dalam bukunya The Muslim Discovery of Europe secara tegas menjelaskan dunia Islam jauh lebih maju daripada Barat ketika zaman gelap mereka. Pendapat itu disokong oleh Rob Briffault dalam karyanya The Making of Humanity.
(Dr Khairul Azmi, (2003), Kepimpinan Politik Dalam Islam: Satu Analisis Awal Dalam Konteks Malaysia, Kertas Kerja Seminar "Islam,Politik dan Kerajaan")
Hari ini ramai anak muda terbang mencari ilmu di luar negara mahupun dalam negeri berkenaan ilmu-ilmu kritikal (Ramai juga yang ketinggalan). Merekalah harapan umat Islam untuk membawa Islam ke hadapan. Tetapi bagaimana mungkin semua ini berlaku jika anak muda sekarang begitu sibuk dengan soal cinta, hiburan dan permainan yang menyesatkan. Setiap perbincangan mereka hanyalah berkisarkan perkara lagha yang 'tak masuk kepala' oleh kebanyakan golongan akademik. Jika bercakap soal ilmu sekalipun, hanya berkisarkan silibus yang mereka pelajari tidak jauh dari itu dan untuk menghadapi peperiksaan. Lihatlah sekarang ini apabila mereka dihanyutkan oleh 'korean style' dan merasa rugi kerana tidak dapat pergi ke konsert di tanah air.
Manakala golongan yang 'tak berapa nak muda' hari ini pula sibuk dengan politik semasa yang sering tak habis dengan strategi 'selak kain' untuk menangi hati manusia. Segala aib lawan mereka akan didedahkan tidak kira cara macam mana sekalipun dan kawan seperjuangan akan dibela bermatian. Agak kelakar apabila hukum hakam Islam pun hendak dipolitikkan, maka nampak kejahilannya seperti isu wang dikembalikan semula kerana kerajaan negeri ada judi di negeri terbabit (Genting tu apa?) dan tidak dapat membezakan tuduhan zina dengan mangsa rogol lalu menampakkan lagi Islam itu begitu kotor. Inilah perosak agama. Amat malang sekali terdapat sesetengah agamawan yang turut menyokong mereka dan sanggup diseksa sekalipun.
Di pihak yang sana pula apabila timbul isu qazaf maka digunanya ulama' daripada Syiria untuk menjadikan rujukan. Saya katakan, hal ini bagus tetapi dalam hal ini sahaja kah baru kita nak kembali pada Islam? Selama ini tak pernah pun beramal dengan akhlak Islam, bila tergugat kedudukan barulah nak jemput ulama'.
Hari ini semuanya berpecahan. Islam yang pada asasnya menyatukan semua pihak tidak diikuti malah diingkari kerana masing-masing sudah pandai dan berlagak dia sahaja yang betul. Walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat mereka yang taksub ini dengan mudah membuat tuduhan melulu mengeksploitasi nas-nas syarak untuk kepentingan sendiri. Kunci syurga hanya dipegang oleh mereka. Walaupun terdapat pihak yang berdakwah dan terkenal, mereka akan berasa cemburu lalu menyerang mengatakan sudah menyimpang dari ajaran Islam seperti isu edit video mengaibkan seorang ustaz terkenal. Ironinya mereka berpegang pada ajaran 'salaf' yang mengajar umat Islam supaya menjaga aib orang sekalipun.
Akibat daripada sikap inilah mereka yang lain muak dengan pro-Islam lalu merasakan agama ini sekadar makin menyesatkan orang ramai.
Kata-kata Hasan al-Hudaibi pernah berkata:
"Tegakkan Islam dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di tanah airmu".
"Tegakkan Islam dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di tanah airmu".
0 Ulasan