Ticker

6/recent/ticker-posts

Jadilah Insan Yang Baik Dan Soleh

Tauhid yang lurus dan benar akan menghasilkan insan yang terbaik sebagaimana digambarkan di dalam ayat:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali Imran: 110)

Dalam “Tafsir al-Qurtubi” dinyatakan bagaimana umat Islam terbaik di kalangan umat-umat manusia mempunyai tujuh puluh sifat dan karakteristk.

Ibn ‘Abbas merujuk “umat yang terbaik” di dalam ayat di atas kepada mereka yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan menyaksikan perang Badar dan Hudaibiyah.

Dilaporkan ‘Umar bin al-Khattab menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti mereka itu maka jadilah seperti mereka.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksud “umat terrbaik” ialah umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu orang-orang yang soleh di kalangan mereka dan yang mempunyai kelebihan.

Kata Mujahid: “Kamu umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk umat manusia…” mengikut syarat-syarat yang tersebut dalam ayat itu.
Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anh terdapat riwayat, “Kamu umat terbaik yang dikeluarkan bagi umat manusia”, katanya kamu menarik manusia dengan rantai kepada Islam.

Umat Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam menjadi umat yang terbaik kerana Muslimin di kalangan mereka paling berkualiti, dan amar ma’ruf dan nahi munkar di kalangan mereka tersebar dengan meluas.
Mereka sahabat rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith, “generasi yang terbaik generasiku” (qarni), iaitu yang aku dibangkitkan di kalangan mereka.”

Diriwayatkan pula oleh Abu Umamah Radhiallahu ‘anh bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku.”

Dalam “Musnad Abi Daud at-Tayalisi” terdapat riwayat dari ‘Umar Radhiallahu ‘anh katanya bahawa beliau duduk di sisi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam kemudian Rasulullah bertanya:Siapakah yang paling afdhal sekali dari segi keimanan? Selepas para Sahabat menyebut para malaikat dan nabi, baginda bersabda:

“Makhluk yang paling utama sekali dari segi keimanan ialah kaum yang ada dalam sulbi para lelaki yang beriman denganku walhal mereka tidak melihatku, mereka mendapati helai-helai kitab kemudian mereka beramal dengan apa yang ada di dalamnya, mereka itulah makhluk yang paling utama dari segi keimanannya”

Dalam “Tafsir al-Qurtubi” dinyatakan bahawa dalam membuat kesimpulan tentang hadith-hadith berkenaan dengan perkara ini ialah generasi zaman nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam ada mempunyai keutamaan kerana mereka asing -ghuraba’- dalam keimanan mereka dengan ramainya para kuffar dan kesabaran mereka dalam menghadapi kesakitan, dan mereka terus menerus berpegang kepada agama mereka; dan mereka yang akhir dalam umat ini pula bila mereka itu mendirikan agama mereka dan berpegang kepadanya serta bersabar dalam mentaati Tuhan mereka dalam masa banyaknya kejahatan, kefasikan, dan pembunuhan yang tidak menentu (al-harj), serta kemaksiatan dan dosa-dosa besar, mereka juga menjadi orang-orang asing (ghuraba’) dan amalan-amalan mereka menjadi murni dan bertambah-tambah sebagaimana murni dan bertambah-tambahnya amalan mereka yang awal itu.Ini dibuktikan oleh hadith yang bermaksud, “Islam bermula asing, dan ia akan kembali asing, maka berbahagialah orang-orang asing (ghuraba’)…”

Dalam “Tafsir Ibn Kathir” dalam hubungan dengan ayat ini terdapat kenyataan-kenyataan yang berguna seperti berikut, antaranya:

• Selepas menukil ayat yang bermaksud, “kamu umat yang terbaik yang dilahirkan untuk faedah umat manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah,” kalaulah Ahlil-Kitab itu beriman maka itu lebih baik bagi mereka; di kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik derhaka. Dengan ayat ini Allah memberitahu bahawa umat ini- umat Islam- adalah umat yang paling baik.

• Dalam al-Bukhari ada riwayat dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anh, “umat yang paling baik untuk umat manusia” iaitu kerana kamu menyeru umat manusia sehingga mereka masuk ke dalam Islam.

• Maknanya umat yang paling baik itu ialah umat yang paling bermanfaat bagi manusia.

• Ini pula diperkuatkan dengan hadith riwayat Durrah binti Abi Lahab Radhiallahu ‘anh yang menyatakan bila ditanya tentang manusia yang paling baik, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab di atas minbar,”Manusia yang paling baik ialah yang paling tahu membaca Quran, yang paling bertakwa kepada Allah, yang paling menyuruh kepada yang ma’ruf, yang paling mencegah kemungkaran dan yang paling menghubungkan silaturrahim”.

• Dalam hubungan dengan ini Ibn Kathir menyatakan bahawa yang sahihnya ialah maksud ayat ini ialah umum untuk semua umat Islam, tiap-tiap generasinya, dan generasi yang terbaik ialah generasi yang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dibangkitkan di kalangan mereka kemudian mereka yang berikutnya kemudian mereka yang berikutnya.
Ciri-ciri dan karakteristik umat yang terbaik sebagaimana dinyatakan di dalam ayat di atas, adalah antaranya:

Menyuruh kepada kebaikan
Mencegah kemungkaran
Beriman kepada Allah.

Yang menentukan kebaikan dan keburukan ialah kehendak Allah sebagaimana yang ada dalam Quran dan Sunnah dan perkara-perkara lain didasarkan kepada kias mengikut apa yang ada dalam keduanya sebagaimana yang terkenal dalam usul al-Fiqh dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah.

Sebutan tentang keimanan terakhir itu bukan bermakna ianya terakhir dari segi kepentingannya; ianya disebut terakhir kerana yang kelihatan pada mata manusia ialah amalan-amalan lahiriah seperti amar ma’ruf dan nahi munkar; keimanan yang menjadi dasar kepada kedua-duanya.
Dalam segi yang berbeza umat yang terbaik itu boleh dilihat dari segi keimanannya kepada Allah yang benar dan betul tanpa kesesatan, kesyirikan, dan kekufuran. Aqidahnya yang disepakati ulama ini ialah aqidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah sebagaimana yang awalnya diajarkan oleh nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabatnya.

Umat terbaik ini juga boleh dilihat dari segi mereka melaksanakan tugas-tugas kerohanian dalam hubungan dengan Tuhannya dan para makhlukNya.Ini antaranya jelas dari ayat:

“(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat , menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf, dan mencegah dari perbuatan yang munkar, dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” (al-Hajj: 41)

Ini boleh dilihat dari segi orang perseorangannya dalam penghayatan hidup pengabdian kepada Tuhan dalam semua perkara sebagaimana yang ada dalam maksud doa iftitah orang yang melakukan solat dan memang ini bersesuaian denga matlamat kejadian manusia ialah untuk pengabdian kepada Tuhan.

Umat terbaik ini juga boleh dilihat dalam akhlaknya yang mulia dan tinggi sebagaimana yang terkandung dalam maksud ayat: “Demikianlah Kami jadikan kamu umat menengah” (umatan wasata)”, yang dimaksudkan adalah umat yang adil dan pilihan. Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri dipujikan oleh Allah berdasarkan akhlaknya sebagaimana yang terkandung dalam maksud ayat: “Sesungguhnya akhlak tuan hamba adalah agung” (Surah Nun: 4), dan terkenal dalam hadith Abu Daud bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (makarim al-akhlak).

Umat terbaik ini juga boleh dilihat dalam ketaatannya kepada Hukum Ilahi yang datang dalam bentuk Syariat yang sempurna yang menyeluruh sifatnya.Ciri-cirinya ialah kesyumulan, keadilan, keseimbangan, perlaksanaan hak-hak pada tempatnya, kesediaan memberi tempat bagi perubahan-perubahan yang diperlukan oleh perubahan tamadun manusia, meletakkan sesuatu mengikut kedudukannya, kesesuaian dengan fitrah manusia dan hukum alam.Tidak ada sistem hukum yang boleh dibandingkan dengannya. Ketundukan umat terbaik ini kepada Hukum Islam tergambar dalam Quran dalam ayat:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan tuan hamba sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang tuan hamba berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (al-Nisa’: 65)

Umat terbaik ini juga kelihatan ciri-cirinya dalam persaudaraan yang dijayakan dalam zaman awal Islam sehingga melalui hubungan persaudaraan dalam keimanan yang kuat itu timbul kegigihan dalam menjayakan Islam dan mengembangkannya sampai ianya tersebar di dunia.

Selain daripada perpaduan, persaudaraan dan kerjasama yang timbul hasil daripada semangat keagamaanyang murni, Ibn Khaldun dalam ‘al-Muqaddimah”nya memberi huraian pada beberapa tempat dalam teksnya itu kepentingan “al-’asabiyah” atau kesetiakawanan yang positif yang menjadi syarat bagi menjayakan agama dan tamaddun dalam sejarah manusia.

Dalam hubungan dengan pengajaran dari Sirah Nabawiyah menyentuh usaha pembinaan umat ini ada beberapa perkara ringkas yang boleh disebutkan:

• Sudah tentu pertama-tamanya perkara akidah perlu diutamakan, iatu akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang perlu disampaikan kepada umat dalam bentuk yang senang difahami dan diterima oleh mereka, dengan mengambil kira cabaan-cabaran semasa yang dihadapi, supaya dengan itu penerimaan akidah berjalan dengan kefahaman yang baik dan jelas.

•Kalau kanak-kanak maka hendaklah ianya disesuaikan dengan mereka dengan diberikan alasan-alasan yang senang diterima oleh mereka. Pendeknya tiap-tiap golongan mendapat pendedahan yang sewajarnya.

• Kefahaman tentang tugas-tugas rohaniah yang dimestikan bermula dengan tugas-tugas seperti solat, dimulakan dengan apa-apa yang wajib, kemudian ditambah dengan yang sunat-sunat dan adab-adabnya.Pendedahan hendaklah menarik dan sesuai dengan keadaan golongan sasaran.

• Kefahaman tentang nilai-nilai baik buruk yang sewajarnya diberikan dengan cara yang meyakinkan golongan sasaran, dengan berdasarkan dalil nakli dan akli, dengan mengambil kira apa-apa perkembangan semasa yang ada. Hendaklah ditunjukkan bagaiman unggulnya ajaran tentang nilai yang ada pada Islam dan bagaimana melesetnya ajaran yang bercanggah dengannya sama ada dari segi intelektuil atau segi sejarah dan kesan dalam masyarakatnya.

• Hendaklah didedahkan dengan sewajarnya kefahaman tentang sistem Syariat Islam yang unggul dan meliputi yang semestinya dijunjung dan diamalkan oleh semua orang secara perseorangan dan kolektif sehabis daya upayanya. Halangan-halangan hendaklah diselesaikan dengan cara yang baik dan bijaksana dan berterusan tahap demi tahap.

• Seruan kepada kebenaran agama ini hendaklah dilakukan mengikut apa yang diajarkan oleh al-Quran iaitu dengan hikmah kebijaksanaan bila sesuai dengan sasarannya, kemudian kalau tidak sesuai dengan nasihat yang baik, kemudian kalau tidak sesuai dengan bahasan yang lebih baik. Bil-hikmah adalah untuk mereka yang hatinya senang menerima hikmah kebijaksanaan terdiri daripada ilmu yang betul dan bermenafaat sampai bila-bila seperti yang ada dalam Quran dan Sunnah; dengan nasihat yang baik itu adalah kaedah dalam menghadapi mereka yang tidak degil tetapi senang menerima nasihat yang baik terdiri daripada unsur menggemarkan kebaikan dan meliarkan daripada kejahatan; kaedah berbahas dengan apa yang paling baik itu dalam menghadapi mereka yang degil. Semuanya memerlukan persiapan.

• Dakwah itu boleh dilakukan secara individu dan juga secara kelompok; secara lisan dan juga amal perbuatan dan contoh tauladan.

• Sudah tentu para da’i hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai persiapan ilmu yang memadai bagi menghadapi sasarannya termasuklah ke dalamnya kefahaman bahasa golongan sasaran yang dihadapi berdasarkan kepada nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam menghantar para sahabatnya kepada kaum yang mereka mempunyai kebolehan dalam bahasa mereka itu.

• Para da’i hendakleh terdiri daripada mereka yang mengatasi polarisasi umat dengan semangat kepuakan masing-masing; mereka adalah seolah-olah “wakil Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam” dalam menjayakan “tabligh”nya.

• Usaha-usaha mempengaruhi mereka dalam kalangan pimpinan hendaklah dilakukan dengan bijaksana, berkesan serta siasah yang halus dan penuh keberkatan. Hanya Allah sahaja yang memberi pertolongan sebenarnya .

Inilah antaranya beberapa sifat dan karakteristik sekitar “khaira umatin”, ciri-cirinya, dan contoh tauladan dalam menuju ke arah pembentukannya - dengan izin Ilahi - sebagaimana yang terdapat contohnya dari Sirah Nabawiyah.

_________________

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement