Ticker

6/recent/ticker-posts

Hidup Ini Hanyalah Sementara Bagi Orang2 Beriman

Manusia diberikan pilihan untuk memilih samada untuk beriman atau kafir kepada Allah Subhanahu wa Taala, Tuhan Yang Maha Kaya. Allah telah memperlihatakan tanda-tanda kebesaranNya dan mengutus rasul-rasul untuk menyampaikan dakwah dan menjelaskan ke arah mentauhidkan Allah Yang Esa.

Namun rasul hanyalah pemberi peringatan, dan mereka tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa untuk beriman kepada Allah sebagamana firman-Nya:

“Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah member petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (al-Qasas: 56)

Sesungguhnya hanya ada dua jalan yang Allah nyatakan sebagai pilihan kepada makhlukNya di dunia ini sebagaimana dalam ayat:

“Dan Kami telah menunjukkannya dua jalan.” (al-Balad: 10)
Dua jalan itu ialah jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Dan dua jenis laluan tersebut Allah telah nyatakan dengan jelas dalam ayat lain:

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.” (al-Syams: 8)

Ya, amat jelas sekali. Tiada sebarang kekeliruan terhadap kenyataan Allah tersebut tentang dua jalan yang menjadi pilihan bagi manusia. Manusia boleh memilih jalan fujur (derhaka) atau jalan takwa. Tetapi mengapa Allah menyatakan jalan fujur terlebih dahulu sebelum jalan takwa? Jawapannya, mungkin kerana kebanyakan manusia lebih cenderung kepada jalan fujur?

Allah Subhanahu wa Taala memberitahu kepada kita tentang kedua-dua jalan tersebut. Jalan takwa adalah dengan membersihkan jiwa yang seterusnya membawa kepada kejayaan:

“Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa).” (al-Syams: 9)

Banyak ciri-ciri golongan yang berjaya yang dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran. Antara ciri utama dan sangat penting ialah tentang solat. Solat merupakan tiang seri kepada syariat dan ibadah serta antara perkara pertama yang ditanya setelah mati sebagaimana dalam ayat:

“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (al-Mukminun: 1-2)

Setiap perkara yang kita lakukan tidak terlepas daripada pengetahuan Allah Taala yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui, Dia juga Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi seperti alam ayat:

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawapannya.” (al-Isra’: 36)

Manusia telah sedia maklum akan destinasi akhir kehidupan mereka selepas kematiannya. Dua kawasan yang berbeza akan menjadi tempat tinggal yang kekal iaitu syurga atau neraka.

Semua manusia ingin berada di syurga yang penuh kenikmatan. Namun adakah kesungguhan cita-cita ingin berada di syurga setara dengan tindakan dan perilaku untuk meletakkan diri di sana? Setiap yang masuk syurga adalah atas rahmat Allah, namun kita perlu menunjukkan kesungguhan dalam meraih perhatian Allah agar dikurniakan rahmat tersebut. Sebagaimana firman Allah Taala:

“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (al-Sajdah: 19)

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar kita supaya menganggap dunia ini sebagai tempat persinggahan. Hidup yang kekal abadi hanyalah di akhirat nanti. Kehidupan kita ibarat kehidupan seorang perantau yang singgah di tempat persinggahannya untuk mengumpul bekalan buat perjalanannya yang masih jauh. Kita hendaklah mengambil peluang semasa kita masih sihat dan masih hidup untuk mengumpul bekalan akhirat. Sebagai seorang Muslim, kita mestilah menghargai masa dan tidak melengah-lengahkan urusan yang baik.

Tempoh kehidupan di dunia terlalu singkat berbanding di alam akhirat yang kekal abadi. Dunia merupakan tempat manusia mencari bekalan untuk hari akhirat. Antara bekalan atau amalan tersebut ialah seperti ilmu, ibadat, sedekah jariah, dan seumpamanya.

Manusia tidak wajar leka dengan keseronokan di dunia hingga melupakan kehidupan akhirat yang lebih berharga. Kedudukan manusia sama seperti seorang perantau yang tidak boleh leka dengan keseronokan di tempat persinggahannya hingga lupa kepada destinasi yang masih jauh.

Tidak ada ketenangan hati jika tiada iman. Tidak diragui lagi bahawa ketenangan hati adalah sebab utama untuk hidup bahagia. Tetapi ketenangan hati tidak dapat dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran dan kekuatan fizikal. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu iman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Ketenangan hati adalah nikmat Allah yang dianugerahkan kepada hamba-hamba pilihan-Nya sahaja, supaya mereka berhati teguh dikala orang lain goyah, yakin di kala orang lain ragu, sabar ketika orang lain keluh kesah dan berlapang dada semasa orang panik. Firman Allah Taala:

“Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dari keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan. bumi, Allah itu Maha Mengetahui dam Maha Bijaksana.” (al-Fath: 4)

Mengapa ketenangan hati hanya diperolehi dengan keimanan? Hanya orang yang beriman sahaja yang akan menikmati ketenangan hati kerana orang beriman menyahut panggilan fitrahnya, iaitu “bermesra” dengan Allah Taala melalui ketaatan, ibadat dan semua yang diperintahkan Allah untuk dipatuhi samada dalam suasana senang mahupun susah.

Orang yang tidak beriman tidak tahu ke mana kesudahannya, hidup meraba-raba dalam kegelapan dan berjalan tanpa haluan. Orang beriman bebas daripada semua kebimbangan kerana hidupnya terus ditujukan kepada matlamat mencapai keredaan Allah. Dia tidak peduli sama ada orang lain suka atau tidak terhadap dirinya, asalkan dia mendapat keredaan Allah.

Bagi orang yang beriman, perjalanan mencapai matlamat hidupnya tidak ada yang sulit. Segala yang pahit menjadi manis, segenap pengorbanan dirasakan ringan, bahkan dihadapinya dengan tenang dan gembira. Tidak berasa takut dan cemas, tidak gentar dan ngeri terhadap sesuatu demi memperolehi keredaan Allah Taala.

Orang beriman berasa dirinya dekat dengan Allah Taala. Orang yang beriman tidak berasa bersendirian atau kesepian dalam hidup ini. Mereka berasa sangat dekat dan erat hubungan dengan Allah Taala sebagaimana di dalam ayat:

“Dia (Allah) ada bersama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah melihat apa yang kamu lakukan.” (aI-Hadid: 4)

Oleh itu orang beriman tidak akan berasa hidup terpencil, walaupun dia bersendirian semasa bekerja atau dalam rumahnya. Allah sentiasa menyertainya. Bahkan orang yang beriman merasakan hidup bersahabat dengan nabi-nabi dan orang-orang yang soleh dari segenap umat dan zaman seperti firman Allah Taala:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)” (al-Nisaa’: 69)

_________________

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement