Secara
peribadi, saya tahu bagaimana rasa payah dan sukarnya untuk melepaskan kenangan
bersama seseorang setelah melalui fasa putus hubungan, terutamanya jika proses
putus cinta itu begitu dramatik dan menyakitkan. Dan juga apabila kita telah
bersama insan tersebut buat masa yang agak lama, mungkin lebih dari setahun,
bergantung pada timeline setiap individu. Pada saya, apabila seseorang
itu mengalami musibah dalam hidup, perkara pertama yang dihadapi adalah ‘shock’
(kejutan). Kita tidak bersedia untuk menerima hakikat bahawa seseorang telah
mencurangi janji setianya terhadap kita. Kita mencipta beberapa alasan untuk
orang tersebut, kononnya mungkin berlaku salah faham atau bukan salah mereka.
Kita merasakan tidak mungkin orang yang begitu lama dengan kita begitu mudahnya
menodai cinta semata-mata. Ya, saya pernah alami hal ini dan izinkan saya
berkongsi untuk bantu para pembaca sekalian bagaimana harus kita bangkit
darinya.
Bangkit
Itu Tidak Mudah
Semasa saya menulis tulisan ini,
kita telah pun memasuki tahun baru bagi kalendar Hijrah, tahun 1440. Mengambil
pengajaran daripada hijrah Rasulullah, kita sedia maklum apabila diajar sejak
kecil tentang sejarah hijrah baginda. Umumnya, hijrah itu penuh dengan payah
dan sengsara. Hijrah boleh juga bawa maksud berubah, bangkit, dan ‘move on’.
إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ
الصَّدْمَةِ الْأُولَى
“Sesungguhnya
sabar itu pada kesempatan pertama (saat datang musibah).”
(Riwayat
Bukhari)
Tidak mudah untuk kita apabila
selama ini kita berhubungan dengan seseorang begitu rapat kemudian tiba-tiba
kita tidak lagi dapat berhubung dengan orang tersebut. Pada awal waktu apabila
menerima berita tentang kecurangan seseorang pada kita, mungkin ada yang terus
hilang sabar dan meroyan. Atau mungkin ada yang terus hilang harapan dan terus
berputus asa dalam hidup. Sabar dahulu, kawan. Hadis di atas menerangkan bahawa
sabar itu adalah saat mula-mula sekali kita mendapat tahu tentang musibah yang
berlaku. Justeru itu, ada baiknya kita jadikan nasihat ini sebagai muhasabah
diri. Bahawa yang telah menetapkan takdir dan ketentuan hidup kita adalah
Allah, Tuhan Maha Esa. Berbalik kepada hadis ini, Nabi mengajar kita bahawa
sekalipun kita hadapi masalah paling besar dalam dunia, pulanglah kepada Allah.
Meraikan
Kehilangan Dia Tanda Kita Bersedia
Saya pasti semua orang yang
mengalami kisah hubungan terputus di tengah jalan bersetuju bahawa siapa yang
mengalaminya perlu bangkit dari kekecewaan itu. Kita semua ingin untuk lepaskan
si dia, kita semua ingin untuk move on. Tetapi bagaimana caranya itu
bergantung pada apa pendapat kita terhadap bagaimana untuk menjalani hidup. Ada
orang ingin terus melupakan dan tidak mahu tahu langsung tentang si dia. Ada
orang ingin balas dendam atas perbuatan si dia. Ada orang mahu terus stalk
si dia, menunggu untuk si dia itu mendapat ‘balasan setimpal’. Dan ada orang
ingin menunjuk-nunjuk bahawa dia lebih bahagia daripada si dia apabila telah
ditinggalkan. Bermacam-macam ragam setiap orang, bergantung pada setiap insan.
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ
وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ ۖ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ
لِلطَّيِّبَاتِ
“Wanita-wanita
yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat
wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki
yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”
(Surah
an-Nur: 26)
Allah telah menjanjikan kepada kita
bahawa untuk mendapat pasangan yang kita idamkan, seperti berbudi pekerti baik,
kita juga perlu menjadi seperti itu terlebih dahulu. Pasangan yang kita dapat
itu mencerminkan peribadi kita juga. Sebab orang yang kita pilih itu adalah ‘taste’
kita juga, bukannya pilihan orang lain. Berdasarkan pemahaman ini, bagi orang
yang telah dicurangi cinta dan dikhianati janji, mereka sepatutnya berasa lega
dan aman kerana orang yang tidak setia terhadap kata-kata itu pergi
meninggalkan mereka. Bayangkan jika orang yang salah itu tetap menjadi suami
atau isteri kita. Itu lebih parah daripada cinta yang terputus di tengah jalan.
Jika kita mengkaji bilangan perceraian di pejabat agama seluruh Malaysia, pasti
kita akan terkejut dengan jumlah kes yang begitu tidak masuk akal. Beberapa
tahun lalu muncul di surat khabar tentang jumlah kes cerai berdasarkan sebab
yang tidak munasabah seperti pasangan masak tidak sedap dan pasangan tidak
basuh baju.
Umum sedia maklum bahawa setiap
perceraian itu tidak mudah dalam setiap keluarga. Kebanyakannya pasti akan
berpecah belah keluarga dan mangsa yang paling fragile ialah anak-anak. Ini
kerana mereka dalam dilema untuk memilih ibu atau pun ayah. Bagi yang tidak
pernah hadapinya, kita mungkin rasa “apa susah, kan boleh jumpa sekali skala ibu
atau ayah”. Saya lahir daripada keluarga yang berpisah dengan perceraian. Apa
yang boleh saya katakan, perceraian itu tidak semudah yang kita sangka. Namun
saya tidak menulis untuk menceritakan kisah saya, sebaliknya sebagai muhasabah
dalam cinta sebelum kita berumah tangga.
Berbalik kepada isu di atas, apabila
kita ingin berubah dan bangkit, perkara yang terlebih dahulu perlu dilakukan
ialah meraikan lukisan takdir kita. Perkataan ‘lukisan takdir’ ini mengingatkan
saya kepada buku Bicara Iman Untuk Tenang tulisan Pahrol M. Juoi. Bagaimana
seorang Muslim yang memilih untuk mendapatkan ketenangan hidup dengan menerima
baik kejadian-kejadian dalam kehidupan.
Beri
Masa Untuk Mengubati Diri
Orang selalu kata, “time heals
all wounds”. Namun bukan kesemua luka dan kecederaan boleh diubati dengan
masa, terutamanya yang melibatkan hati dan perasaan. Yang boleh mengubatinya
ialah diri kita sendiri, adakah sudah masanya kita berdamai dengan tetapan
takdir atau kita masih mencari-cari jawapan di sebalik alasan yang diberi. Saya
teringat pada syarahan TED Talk seorang pakar psikologi, Guy Winch. Beliau juga
penulis kepada buku How To Fix a Broken Heart. Di atas pentas tersebut, beliau
mengatakan sesetengah orang tidak dapat untuk sembuh daripada dicurangi adalah
kerana masih mencari-cari jawapan dramatik pada sesuatu yang sebenarnya mudah.
Kita adalah makhluk yang diiringi
dengan emosi dan perasaan. Apabila ada orang mengkhianati janji setia cintanya
pada kita, kita cuba merungkai mengapa itu berlaku. Padahal yang sebenarnya
adalah mudah, kita tidak diperlukan lagi oleh orang itu. Tetapi kita enggan
untuk menerima, dan mencari jawapan lain sehinggakan memakan masa yang lama
untuk bangkit kembali. Itulah sebabnya mengapa ada orang yang begitu sukar
sekali untuk move on daripada kisah lampau.
Pernah saya menonton video
menerangkan adakah kita boleh kembali ke masa lampau atau pun masa hadapan
mengikut logik sains. Berdasarkan video tersebut, kita hanya boleh pergi ke
masa hadapan tetapi kita tidak boleh balik ke masa lampau. Kita boleh ke masa
hadapan dengan syarat pergi ke tempat yang gravitinya tinggi seperti lubang
hitam atau ‘blackhole’. Manakala kita tidak boleh ke masa lalu adalah
disebabkan ‘second law of thermodynamics’. Begitulah istilah sainsnya
yang jika ingin faham sekali lalu, bolehlah para pembaca menonton filem
Interstellar. Mengikut sains, kita tidak boleh ke masa lalu, begitu juga dengan
psikologi dan minda kita. Kita akan terperangkap dan tidak boleh menyerlahkan
potensi diri yang sebenar jika asyik dengan memikirkan perkara silam.
Apa yang boleh kita lakukan untuk
masa lalu adalah mengambil pengajaran dan berubah darinya dengan
bersungguh-sungguh.
أُولَـٰئِكَ يُسَارِعُونَ فِي
الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ
“Mereka
itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang
segera memperolehnya”
(Surah
al-Mukminun: 61)
Bilakah
Masa Sesuai Untuk Bercinta Kembali
Orang yang dicurangi biasanya sukar
untuk kembali percaya pada orang lain yang datang dalam hidup mereka. Ini
adalah kerana kesan trauma terhadap hati dan emosi yang telah dirobek sebelum
ini. Namun, yang menjadi persoalan kita adalah bilakah waktu yang sesuai untuk
kembali bercinta. Adakah kita perlu tunggu sahaja seseorang datang dalam hidup kita
atau perlukah kita mencarinya. Ini adalah persoalan-persoalan yang normal dan
kerap bermain di fikiran.
إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه
فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
“Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama
dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di
muka bumi dan kerosakan yang besar.”
(Riwayat Tirmizi)
Jalan yang terbaik bagi kita ialah
berkawan dahulu dengan orang lain. Maksud berkawan di sini ialah kita sematkan
niat untuk mencari pasangan tetapi tidak perlu memberitahu mereka. Maksudnya di
sini ialah kita sekadar berkawan untuk mengenali hati budi mereka dan mereka
pasti akan menunjukkan sifat mereka sekadarnya. Perlu difahami ialah elakkan
dari menaruh perasaan atau pun memberi harapan. Kerana itu sendiri telah
menyalahi konsep berkawan seperti yang dicadangkan ini. Dan apabila telah
bersedia, barulah lakukan tindakan seterusnya dengan bertanya. Jika ditolak,
kita pun tidak begitu kecewa kerana itulah prosesnya untuk mencari pasangan
yang kita inginkan. Bukanlah sekali jalan sahaja terus jumpa yang tepat, itu
tidak benar sama sekali.
Tidak semestinya cara begini sesuai
dengan semua orang. Ini hanyalah sekadar pendapat penulis untuk tatapan para
pembaca. Semoga dengan tulisan ini boleh memberi kebaikan-kebaikan kepada
pembaca sekalian.
0 Ulasan