Ticker

6/recent/ticker-posts

Mencari Jodoh di Alam Maya

Dalam lima tahun ke belakang, kalau kita katakan yang perkenalan jodoh kita bersama seseorang itu bermula di alam maya, pasti akan mendapat reaksi keraguan dan tidak mustahil akan ada yang sinis. Maksud kenal dalam alam maya ialah pertemuan pertama di situ, bukannya secara fizikal. Kerana ada juga yang pernah bertemu secara berhadapan kemudian barulah berkenalan di dalam internet. Namun pada hari ini perkara seperti ini tidaklah begitu asing kerana hampir semua orang mempunyai akaun media sosial. Malah, Facebook juga telah mengumumkan perancangan mereka dengan menukar nama kepada Meta untuk menuju ke arah media sosial versi baru iaitu metaverse. 

Tidak kurang juga bagi pengguna Twitter di Malaysia yang ada juga bertemu jodoh menggunakan akaun @TwtJodohMy secara percuma sahaja. Ini menunjukkan yang masyarakat telah menerima penggunaan internet dengan lebih terbuka, termasuk dalam urusan mencari pasangan hidup. Walaupun begitu, tidak kurang juga wujudnya kes penipuan dan individu yang sengaja ingin memanipulasi orang lain. Apa pun, perkara ini biasa dalam konteks urusan sesama manusia. Contohnya dalam jual beli ada juga yang jujur dan penipu, tidak kiralah secara fizikal ataupun perantaraan internet.


Teknologi Memudahkan, Tetapi Ada Harganya

Sejak kemunculan Covid-19 dan arahan pemerintah duduk di rumah yang bukan sahaja Malaysia amalkan, sektor teknologi berkembang begitu pesat. Contoh macam syarikat Zoom yang sahamnya naik mendadak kerana banyak syarikat menggunakan kaedah bekerja dari rumah dan sudah tentu ada antaranya menggunakan Zoom selain daripada Google Meet, Microsoft Team, dan Skype. Mesyuarat yang sebelum ini perlukan ruang yang besar, alat pemancar, dan tabir putih sekarang sudah digantikan dengan perisian di dalam telefon kecil sahaja. Malah boleh tukar latarbelakang kita dengan pilihan yang tersedia jika ingin menutup pemandangan yang ada di belakang kita daripada dilihat rakan kerja lain.

Hal yang sama juga melibatkan cara mencari kenalan baru. Sebelum munculnya Covid-19 pun sudah ada aplikasi dan laman web khas yang punyai satu tujuan khas berkenalan dengan orang baru. Antara aplikasi terkenal sampaikan ada satu dokumentari baru-baru ini oleh Netflix ialah Tinder. Penggunaannya sangat mudah apabila kita cuma perlu muatnaik gambar dan beberapa butiran diri sahaja seterusnya cuma selak satu per satu profil individu lain. Jika berminat, barulah selak ke kanan. Jika tidak, selak ke kiri. Dan apabila kedua-dua saling minat, barulah boleh memulakan perbualan. Begitulah mudahnya teknologi hari ini.

Akan tetapi, perkara yang mudah kebiasaannya selalu dipergunakan untuk tujuan jahat. Sesetengah orang sekadar ingin mencuba dan tiada niat yang nekad untuk mencari jodoh atas alasan berkenalan dahulu. Sebab itulah wujudnya dokumentari Netflix yang bertajuk The Tinder Swindler. Secara peribadi, belum tonton lagi tetapi pandangan secara kasar berdasarkan apa yang diperkatakan di dalam media sosial, dokumentari itu ialah berkenaan penipuan seorang lelaki terhadap beberapa orang wanita dalam memanipulasi para wanita tersebut untuk berhutang. Tular pula beberapa hari lepas kes berkenalan lelaki hutang Grab di Tinder.

https://twitter.com/noshapls/status/1494080273814028288

Pilihan Pelbagai Mengikut Kecenderungan Peribadi

Jika sebelum ini apabila mahu mencari jodoh atau kenalan baru, biasanya kita bergantung kepada situasi dan di mana kita berada secara fizikal. Seperti apabila masuk ke fasa baru macam sambung belajar di universiti atau dapat kerja baru. Kita akan berkenalan dengan orang baru yang berada di tempat kita berada sahaja. Perkara ini biasa, boleh lihat ramai juga rakan-rakan kita yang jodohnya bertemu ketika di universiti, atau dalam daerah yang sama sebab keduanya datang ke sekolah yang sama dahulu. Tetapi bagi sesetengah orang, dari zaman sekolah sampailah ke alam pekerjaan masih tidak bertemu lagi orang yang diminati. Kalau jumpa pun, hatinya milik orang lain. Dan kalau orang minat dia pun, dia pula tak ada perasaan pada orang itu. Payah sungguh.

Sebab itulah munculnya pelbagai platform dalam internet yang lebih luas capaian kepada orang-orang di luar sana. Cara interaksi manusia yang telah berubah daripada melepak di kedai makan sudah beralih ke 'lepak' dalam media sosial. Ya, ada beberapa kesan dari sudut psikologinya tetapi itu boleh dibincangkan dalam masa lain. Media sosial lebih umum kepada interaksi secara maya sahaja, oleh itu wujudnya laman web dan aplikasi yang lebih khusus untuk mencari jodoh atau kenalan baru. Lebih menarik lagi terdapat laman web yang memahami akan uruf masyarakat Melayu Islam dengan perkenalkan konsep perkenalan yang diselia oleh pengurusan laman web tersebut. Antara yang terkenal di Malaysia ialah Baitul Muslim, Till Jannah, dan Baitul Jannah.

Tidak seperti media sosial yang percuma, laman web ini adalah berbayar mengikut pakej yang disediakan. Kita boleh sahaja sertai dengan percuma tetapi tidak mendapat beberapa kelebihan contohnya tidak boleh membaca mesej atau hanya dapat lihat halaman yang terhad sahaja. Bayaran dikenakan ialah untuk menapis individu-individu yang tidak serius. Walaupun bukanlah semua yang membayar itu betul serius, tetapi setidaknya dapat menapis sebahagian besar yang bermain-main sahaja.


Interaksi Alam Maya Perlukan Interaksi Organik

Kelebihan berkenalan dengan seseorang dalam alam maya ialah tidak perlukan kos-kos yang timbul untuk bertemu. Cukup sekadar ada telefon dan capaian internet boleh sahaja hubungi pada setiap masa. Tidak timbul isu hendak temu janji di mana, hendak naik apa, siapa ambil siapa, atau siapa kena bayar Grab. Tetapi apa yang mudah ini kebiasaannya digunakan untuk memanipulasi seseorang. Boleh google sahaja tentang kes-kes 'love scam' yang seringkali berlaku.

Kita perlukan interaksi organik, dalam erti kata bertemu secara fizikal. Fakta menarik, sedangkan CEO Zoom pun mengeluh beliau menghadapi 'zoom fatigue' apabila selalu bermesyuarat melalui alam maya. Manusia perlukan interaksi berhadapan yang dapat menggunakan sepenuhnya pancaindera di tubuh untuk dapat pengalaman sesuatu hubungan. Melihat riak wajah, mendengar suara, bau badan atau bau taman, dan kecanggungan perasaan saat bertemu pertama kali.

Selain itu, pertemuan juga untuk mengelakkan berlaku penipuan. Kita boleh bertemu di kawasan awam seperti restoran dan kedai kopi sambil berkenalan bertanyakan soalan. 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي تَزَوَّجْتُ امْرَأَةً مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ نَظَرْتَ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي عُيُونِ الْأَنْصَارِ

Dari  Abu Hurairah, dia berkata, "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu dia berkata, ''Sesungguhnya saya ingin mengawini seorang perempuan dari kaum Ansar.'' Kemudian Nabi SAW bertanya kepada lelaki itu, ''Apakah kamu telah melihat perempuan itu? Kerana biasanya orang-orang Ansar ada sesuatu yang dimatanya.

(Riwayat Muslim)

Pada pandangan peribadi, hikmah nasihat Nabi supaya melihat wanita yang ingin dinikai itu merentasi garis masa. Kerana zaman sekarang yang masing-masing gemar menggunakan aplikasi untuk edit gambar mampu menjadikan imej wajah yang dipaparkan itu tidak serupa dengan apa yang boleh dilihat oleh mata sendiri. Jadi untuk mengelakkan salah faham, seeloknya bertemulah dengan kadar yang baik. Asalkan boleh melihat sendiri dan berinteraksi dengan elok. Jika masing-masing berminat boleh diteruskan ke langkah perkenalan dan urusan pernikahan.

Semoga tulisan ini bermanfaat kepada para pembaca sekalian.





Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement