Assalamualaikum,
Semenjak berpindah ke rumah baru, akses internet menggunakan selular sangat teruk dan menyusahkan.
Lebih malang lagi apabila isteri saya mula mengadu bahawa beliau tidak dapat membuat panggilan video dan mesej di Whatsapp pula terlalu lambat untuk dihantar. Jauh beza dengan kawasan rumahnya di negeri utara walaupun terletak di dalam kampung, capaian internet selular beliau berada dalam tahap yang memuaskan.
Secara kebetulan, di kawasan rumah kami terdapat lembaran-lembaran kertas iklan talian internet fiber oleh Gigabit.
Saya pun terus menghubungi nombor telefon yang disertakan melalui mesej Whatsapp.
Ejen tersebut cepat membalas dan memberitahu secara ringkas pelan yang disediakan oleh syarikat Gigabit. Saya pun terus buat keputusan ambil pelan yang tidak begitu mahal iaitu RM79 sebulan.
Setelah memberi butiran peribadi, ejen tersebut menyatakan bahawa mereka akan datang paling lewat 7 hari untuk memasang peralatan di rumah saya.
Selang beberapa hari, pihak Gigabit pun datang seramai tiga orang. Mereka perlu menarik kabel dari luar dan memasang kotak untuk disambungkan kepada 'router' dalam rumah saya.Mereka menebuk lubang di dinding menggunakan 'driller' mudah alih. Pada awalnya saya sangka yang ada satu lubang di dinding itu boleh disambungkan terus, tetapi menurut petugas tersebut itu ialah sambungan untuk Streamyx sahaja di bawah TM.
Dalam masa yang sama, staf tersebut meminta kad pengenalan saya dan berikan pen untuk saya tandatangan borang perjanjian kontrak bersama syarikat Gigabit. Kad pengenalan itu diperlukan dia untuk dihantar gambar menggunakan aplikasi dalam telefon bimbit.Dalam pelan yang saya ambil, mereka meletakkan 30Mbps sebagai kelajuan maksimum. Namun, seperti biasa dalam sektor telekomunikasi, apa yang kita dapat ialah kurang. Tetapi bagi saya itu sudah memadai kerana saya tidak perlukan akses terlalu laju dan juga faktor lain ialah itu melebihi bajet saya. Asalkan dapat muat naik video resolusi 1080p dan 60fps ke internet tanpa renyah itu sudah cukup bagus.
Apa pun, jemput tonton video Youtube saya berkenaan pengalaman ringkas ini di https://youtu.be/fjP8nX7LG7c
0 Ulasan