Cumanya ujian itu ada dua, senang dan derita. Keselesaan dan musibah, itulah ujian. Ramai yang menyangka hanyalah musibah dan kesengsaraan itu sebagai ujian dalam hidup mereka tetapi haruslah diingatkan senang itu jugalah ujian sama susahnya. Keduanya memerlukan ilmu untuk diatasi, perlukan kekuatan untuk dilepasi dan doa hamba yang hina pada Allah dengan hati tulus ikhlas.
Harus diambil kisah, setiap orang punya ujian tersendiri. Bukanlah sifat yang baik bila kita membanding-bandingkan ujian orang lain dengan diri kita. Kononnya mereka itu biasa-biasa sahaja, tak perlu bersedih sangat. Kononnya ujian kita lebih hebat.
Namun, disini bukanlah ingin cerita lanjut tentang ujian kita. Bukanlah juga memberi kelegaan bagi yang sedang dilanda ujian. Cerita dalam hati ini cuma ingin mengetengahkan perihal keputusan yang kita nekad hasil pengalaman ujian yang kita hadapi, atau orang lain hadapi.
Kebiasaannya hampir dalam kalangan kita punyai pegangan dan falsafah sendiri setelah berlakunya sesuatu dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mudah skeptikal terhadap idea bahawa orang makan gaji susah untuk menjadi kaya berbanding orang berniaga kerana selalu berhadapan dengan orang makan gaji yang kurang punya ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan. Bagaimanapun, seorang pakar pengurusan kewangan yang saya kagumi, Shamsuddin Kadir, telah menulis buku bertajuk Makan Gaji Tetapi Kaya terbitan PTS. Bagaimana caranya menguruskan kewangan dan perbelanjaan harian kita.
Ada di antara kita yang skeptikal dengan orang beragama setelah mempunyai pengalaman buruk oleh mereka yang berketerampilan agama. Sebagai contoh, penerbit drama di televisyen yang kalau kita perasan selalu menayangkan cerita mengenai orang agama yang merosakkan dan sungguh keji. Manakala orang agama yang baik pula selalu ditonjolkan wataknya naif, jumud dan lurus bendul. Ini adalah antara kesan apabila mereka mempunyai sejarah sendiri bersama orang agama yang tak seberapa agama.
Apa yang ingin saya katakan di sini ialah usahlah jadikan pengalaman lalu sebagai hukuman kepada keputusan hari ini buat hari esok. Pengalaman itu jadikanlah sebagai panduan, bukan sebagai alat navigasi kita ke arah memacu kehidupan kita. Sebagaimana antara nasihat Dr Zahazan yang terkenal baru-baru ini, kenapa cermin belakang lebih kecil daripada cermin hadapan? Kerana cermin belakang bertindak hanya sebagai panduan, sedangkan cermin hadapan ialah pilihan yang nyata kita ada dalam hidup ini.
David Gemmell, pengarang kepada novel Troy: Falls of King berkata " Trust your instincts, and make judgements on what your heart tells you. The heart will not betray you "
Ya, apa yang hati kita rasa. Perasaan sebenar kita. Dalam lubuk hati yang dalam. Apa? Apa yang dia beritahu kita. Itulah yang kita perlukan. Buat keputusan usahlah untuk mana-mana pihak. Apatah lagi untuk pihak luar, barangkali mereka yang tak kita kenal pun. Hakikatnya apa pun keputusan yang kita lakukan itu akan jua beri kesan kepada diri kita sendiri, kita yang menanggungnya bukan orang lain. Berilah hati dan perasaan sebenar kita peluang dalam keputusan itu.
Davi Levithan, pemenang anugerah pengarang warganegara Amerika di dalam buku beliau, Dash and Lily's Book of Dares (2010) mengatakan, " It's up to you, not fate ".
Hidup ini ialah proses perubahan. Apa yang terjadi pada kita, adalah tanda kita perlu berubah. Ya, berubah ke arah yang lebih baik. Itulah hijrah yang di ajarkan oleh Rasulullah kepada kita. Bukanlah kita hanya menerima apa yang terjadi pada kita sebagai takdir semata, sebagai hukuman semata. Siapa yang usaha, dia yang dapat مَنْ جَدَّ وَجَدَ [Pepatah Arab]. Bukanlah dengan ini kita biarkan saja, sedangkan dalam hati kita akui perlukan keputusan yang lain.
Disebutkan juga di dalam hadis, mengenai kisah sewaktu Rasulullah bersama sahabat berbual di kuburan. Berikut saya mudahkan pembacaan:
'Ali radliallahu 'anhu: Kami pernah berada di dekat kuburan Baqi' Al Ghorqad yang kemudian
Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mendatangi kami, lalu beliau duduk maka kami pun
ikut duduk dekat beliau. Beliau membawa sebuah tongkat kecil yang dengan tongkat
itu beliau memukul-mukul permukaan tanah dan mengorek-ngoreknya seraya berkata..
Rasulullah: Tidak ada seorangpun dari kalian dan juga tidak satupun jiwa yang bernafas
melainkan telah ditentukan tempatnya di syurga atau di neraka dan melainkan sudah
ditentukan jalan sengsaranya atau bahagianya
Sahabat lain: Wahai Rasulullah, dengan begitu apakah kita tidak pasrah saja menunggu apa
yang sudah ditentukan buat kita dan kita tidak perlu beramal? Kerana
barangsiapa diantara kita yang telah ditentukan sebagai orang yang berbahagia,
maka pasti dia sampai kepada amalan orang yang berbahagia, sebaliknya siapa
diantara kita yang telah ditentukan sebagai orang yang sengsara maka pasti dia
akan sampai kepada amalan orang yang sengsara
Rasulullah: "(Tidak begitu). Akan tetapi siapa yang telah ditetapkan sebagai orang yang
berbahagia, dia akan dimudahkan untuk beramal amalan orang yang berbahagia dan
sebaliknya orang yang telah ditetapkan sebagai orang yang akan sengsara maka dia
pasti akan dimudahkan beramal amalan orang yang sengsara
(Lalu membaca surah al Lail ayat 5-6)*Matan arab penuh: حَدَّثَنَا عُثْمَانُ قَالَ حَدَّثَنِي جَرِيرٌ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ سَعْدِ بْنِ عُبَيْدَةَ عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا فِي جَنَازَةٍ فِي بَقِيعِ الْغَرْقَدِ فَأَتَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَعَدَ وَقَعَدْنَا حَوْلَهُ وَمَعَهُ مِخْصَرَةٌ فَنَكَّسَ فَجَعَلَ يَنْكُتُ بِمِخْصَرَتِهِ ثُمَّ قَالَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ مَا مِنْ نَفْسٍ مَنْفُوسَةٍ إِلَّا كُتِبَ مَكَانُهَا مِنْ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ وَإِلَّا قَدْ كُتِبَ شَقِيَّةً أَوْ سَعِيدَةً فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ عَلَى كِتَابِنَا وَنَدَعُ الْعَمَلَ فَمَنْ كَانَ مِنَّا مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ وَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنَّا مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ قَالَ أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ السَّعَادَةِ وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ الشَّقَاوَةِ ثُمَّ قَرَأَ } فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى { الْآيَةَ
[Hadis sahih riwayat Bukhari]
Berdasarkan hadis ini, setiap orang adalah telah ditentukan bahagia dan derita. Tetapi bukanlah kita hanya pasrah dan terima seadanya semua yang berlaku sedangkan hati kita meronta. Adalah elok juga kita renungi surah al Lail yang Rasulullah bacakan dalam hadis ini...
فَأَمَّا مَنۡ أَعۡطَىٰ وَٱتَّقَىٰ (٥) وَصَدَّقَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٦) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡيُسۡرَىٰ (٧) وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسۡتَغۡنَىٰ (٨)وَكَذَّبَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٩) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡعُسۡرَىٰ (١٠)
Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa. Dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga). Maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.
Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup. Serta mendustakan pahala terbaik. Maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.
[Surah al Lail ayat 5-10]
Inilah janji Allah. Inginkan jalan mudah, bertakwalah. Sama-sama menjadi muslim terbaik :)
Inilah kehidupan, pancaroba siapa yang tak kena? Tangis dan debaran jiwa, siapa tak rasa? Sejauh mana kita tahu dan mampu untuk atasinya, itulah perlunya ilmu.
0 Ulasan