Hadis sebagai sumber kedua syariat Islam amat penting untuk dijadikan sandaran dan pegangan kepada umat Islam baik melalui ucapan, perbuatan atau pengakuan baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun dari semasa ke semasa muncul konspirasi atau muamarah golongan tertentu yang
Setiap usaha atau pemikiran untuk mengganggu-gugat hadis dan keautoritiannya sebagai sumber kedua syariat Islam pada masa yang sama membuktikan wujudnya sikap pesimis musuh-musuh Islam terhadap kebenaran al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Meskipun telah jelas bahawa untaian sabda baginda merupakan wahyu daripada Allah. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu, tidaklah ia menyeleweng [dari jalan yang benar], dan ia pula tidak sesat [dengan kepercayaan yang salah]. Dan ia tidak memperkatakan [sesuatu yang berhubung dengan agama Islam] menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu [sama ada al-Quran atau Hadis] tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepada-Nya.” [al-Najm: 2-4]
Pemahaman negatif sesetengah golongan menyeleweng bahawa agama Islam terdiri dari isi dan kulit seperti firqah al-Batiniyyah dan dakwaan yang tidak berasas dengan mendakwa bahawa hadis Rasulullah tidak sesuai dipraktikkan dalam arus modenisasi masa kini [seperti yang disuarakan oleh aliran liberal dengan berumpankan istilah-istilah mengelirukan seperti liberalisme dan pluralisme agama].
Pada masa yang sama mengagungkan penggunaan metod-metod Barat yang dalam kajian keagamaan [al-Quran dan hadis] berbanding metod-metod yang diaplikasikan oleh para ulama Islam jelas membuktikan betapa negatif pemikiran dan penghayatan mereka dalam memahami Islam dan situasi ini amat membimbangkan umat Islam. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda-Nya pernah mengatakan:
“Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafah al-Rashidin al-Mahdiyyin, gigitlah ia sekuat hati dengan gigi geraham dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan [dalam urusan agama] kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah sesat.” [Riwayat Abi Dawud]
Pegangan yang paling tepat untuk dijadikan benteng oleh seorang muslim dalam melayari sebuah kehidupan pada akhir zaman yang penuh fitnah ialah sentiasa berpegang dan beramal dengan petunjuk Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.
Hal ini kerana matlamat terakhir seorang mukmin adalah memperolehi hidayah Allah Subhanahu wa Taala yang dapat membawanya mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan [sebenarnya] Rasulullah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata.” [al-Nur: 54]
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan [keredaan] Allah dan [balasan baik] hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya [dalam masa susah dan senang].” [al-Ahzab: 21]
Perkara yang wajib dilakukan oleh setiap hamba di dalam menjalani agamanya ialah mengikuti apa yang dikatakan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Juga apa yang dibawa dan dikatakan oleh baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam serta ajaran para al-khulafah al-Rashidin dan pengikut mereka yang setia.
Allah Subhanahu wa Taala telah mengutus Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa bukti-bukti dan petunjuk. Allah Subhanahu wa Taala mewajibkan kepada seluruh manusia untuk beriman kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam dan mencontohinya. Setiap muslim wajib melaksanakan syariat Islam secara keseluruhan dan tidak sebahagian sahaja. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam [dengan mematuhi] segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [al-Baqarah: 208]
Seorang mukmin yang berpegang teguh dengan sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam berbekalkan ketakwaan dan ketinggian ilmu, nescaya dia akan mengecapi halawah iaitu kenikmatan manfaat dunia dan agama yang melimpah-ruah.
Kemuliaan dan ketinggian seorang mukmin diukur melalui tingginya tingkat ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa Taala dan penguasaan ilmu yang dimiliki. Semakin tinggi pemahaman seorang mukmin terhadap sunnah, maka semakin besar kemungkinannya untuk mempraktikkan sunnah tersebut menepati tuntutan agama Islam.
Ibn Hibban rahimahullah berkata: “Sesungguhnya dalam perkara berpegang dengan sunnah seseorang akan mengecapi tingkat keselamatan yang sempurna, karamah yang besar, yang tidak akan padam pelitanya dan tidak akan terbantah hujahnya. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya akan terjaga dan sesiapa yang menyelisihinya pasti dia menyesal kerana sunnah merupakan benteng yang kukuh, tonggak yang kuat, yang jelas keutamaannya dan kuat ikatannya. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya pasti berjaya, namun yang mengingkarinya pasti binasa. Orang yang berpegang teguh dengan sunnah adalah orang-orang yang mengecapi kebahagiaan pada masa yang akan datang [di akhirat] dan sekali gus orang-orang yang diulit kegembiraan di dunia”. [al-Ihsan Fi Taqrib Sahih Ibn Hibban, 1/102].
Justeru, menghidupkan kembali keautoritian dan keizzahan sunnah yang seakan-akan telah ditinggalkan oleh umat Islam masa kini amat mustahak. Dalam hubungan sosialisasi manusia pula, sunnah sewajarnya ia dipraktikkan dengan penuh kebijaksanaan dan tidak menyukarkan masyarakat dengan persoalan yang tidak mereka maklum dan fahami, tidak menganggap remeh persoalan sunnah dan tidak pula bertindak ekstrem untuk terus mempraktikkannya.
Sebagai langkah permulaan memadai konsep al-wasatiyyah diterjemahkan dan diaplikasikan dalam pengamalan setiap perkara menurut skala keutamaan dan keperluan yang dikehendaki oleh agama Islam. Setiap cabang persoalan sewajarnya diperhatikan sesuai dengan kadarnya.
Al-Imam Al-Hakim mengatakan: “Suatu kaum yang menempuh jalan orang-orang soleh serta mengikuti athar generasi yang telah lampau [salaf]. Mereka menewaskan para ahli bid’ah, orang-orang yang menyimpang dari jalan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Akal-akal mereka dipenuhi dengan kelazatan sunnah dan hati-hati mereka penuh dengan keredaan dalam apa jua situasi. Mempelajari sunnah adalah kesenangan mereka dan majlis-majlis ilmu adalah kesukaan mereka. Dan ahli sunnah tanpa kecuali, adalah saudara-saudara mereka. Dan orang-orang yang menyimpang dari jalan kebenaran serta ahli bid’ah seluruhnya adalah musuh-musuh mereka”. [Ma’rifat Ulum al-Hadith, I/162]
Sunnah wajib kembali ditegakkan dan diagungkan di tengah-tengah kehidupan umat, hingga mereka akhirnya menjadikan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi kecintaan kepada siapapun.Hal ini kerana keimanan seseorang itu tidak akan sempurna, sehingga dia mencintai Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam melebihi kecintaan terhadap siapapun. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Tidak beriman seseorang di antara kalian, sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada bapa-bapanya, anak-anaknya dan manusia keseluruhannya.” [Muttafaq alaih]
Sehubungan itu, menjadi kewajipan ke atas setiap muslim yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Taala dan Rasul-Nya untuk sentiasa berupaya meniti jalan kehidupan di atas manhaj dan jalan yang telah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam persembahkan dan tinggalkan sebagai wasiat terakhir dan warisan abadi kepada umat Islam selaku umatnya.
Umat Islam perlu berusaha dan membina jati diri cemerlang dalam gerak kerja untuk mengamal dan melestarikankan sunnah di samping mendukung dan memberi taat setia [wala’] kepada mereka yang memperjuangkan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.
Al-Imam Al-Suyuti mengatakan, “Sesiapa yang tidak mengakui sunnah atau hadis sahih maka dia akan dikumpulkan pada hari akhirat kelak bersama orang-orang Yahudi dan Nasrani.”
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Aku telah tinggalkan kepada kamu perkara yang sekiranya kamu tetap berpegang teguh kepadanya maka sudah pasti kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu kitab Allah [al-Quran] dan sunnah nabi-Nya [hadis].” [Hadis al-Sunan]
0 Ulasan