Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” [Ali Imran: 102]
Pada ayat ini Allah Subhanahu wa Taala menerangkan kepada orang beriman tali yang kukuh tidak sesat supaya mereka berpegang dengannya iaitu dengan takwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.
Ikrimah berkata, ayat ini diturunkan kepada Aus dan Khazraj ketika mereka hampir berperang, kemudian Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam mendamaikan mereka. Adapun iktibar dan hikmah berkenaan ayat ini adalah:
1. Ibn Kathir meriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anh katanya: “Seorang hamba tidak bertaqwa kepada Allah dengan sebenarnya sehingga lidahnya dipelihara daripada maksiat”.
2. Ibn Jauzi berkata: “Perkataan takwa yang sebenarnya mempunyai tiga pendapat:
i] Ditaati tanpa diderhaka, diingati tanpa dilupa dan disyukuri tanpa dikufuri. Inilah pendapat Ibn Mas’ud, al-Hasan, Ikrimah, Qatadah dan Muqatil.
ii] Berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya tanpa merasa takut kepada celaan dan berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri, ibubapa dan anak-anak mereka. Inilah pendapat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas Radhiallahu ‘anh.
iii] Ia bertakwa apa yang menjadi hak ke atas kamu. Inilah pendapat al-Zajjaj.
3. Ibn Mas’ud berkata, pengertian takwa kepada Allah Subhanahu wa Taala ialah taat kepada-Nya, tidak menderhakai-Nya, mensyukuri-Nya, tidak mengingkari-Nya, mengingat-Nya serta tidak melupakan-Nya.
4. Ibn Abbas berkata, pengertian takwa adalah berjihad pada jalan Allah Subhanahu wa Taala dengan jihad yang sungguh-sungguh dan tidak mudah terpengaruh apabila dicela oleh seseorang ketika melaksanakan agama Allah. Menegakkan keadilan semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Taala termasuk terhadap diri sendiri, bapa dan ibunya.
5. Ibn Abbas Radhiallahu ‘anh pula menafsirkannya begini: “Hendaklah Tuhan itu ditaati, jangan diderhakai, disyukuri jangan dikufuri dan diingati jangan dilupai”.
6. Mujahid menafsirkannya: “Hendaklah kamu berjuang pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya, jangan melakukan sesuatu pada jalan Allah yang menjadi celaan orang, dan berlakulah adil pada jalan Allah walaupun terhadap diri sendiri, terhadap ibubapa dan anak-anak kamu”.
Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah [agama Islam], dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan [semasa jahiliah dahulu], lalu Allah menyatukan di antara hati kamu [sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam], maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka [disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah], lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu [disebabkan nikmat Islam juga]. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” [Ali Imran: 103]
Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, tali Allah mempunyai enam pendapat:
1. Kitab Allah iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas’ud, Qatadah, al-Dhahaq
2. Jemaah. Inilah pendapat al-Sya’bi daripada Ibn Mas’ud.
3. Agama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.
4. Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, ‘Ata’, Qatadah dan Abu ‘Abid.
5. Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-’Aliah.
6. Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.
Berkenaan dengan “jangan kamu berpecah belah” ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:
i] Daripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan Qatadah.
ii] Daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.
Al-Syauqani berkata, “Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.”
Al-Maraghi berkata, “Perselisihan yang terjadi antara manusia ada dua jenis:
i] Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia.
ii] Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.
Al-Sonhadji berkata: “Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, yakni jangan berselisih di antara kamu sesama Islam kelak membawa ke jalan yang sebaliknya iaitu jalan yang ditegah oleh Allah”.
Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing memandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Allah Taala terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini. Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.
.Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah Allah. Amin.
0 Ulasan