Islam sudah diajarkan dengan begitu sempurna oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga melahirkan generasi bukan hanya bijak dan pandai tetapi hidup jiwanya dan terang mata hatinya seperti pernah diriwayatkan mengenai al-Harith bin Malik al-Ansari ketika beliau bertemu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Lalu Baginda bertanya kepadanya: “Wahai Harith, bagaimana keadaan iman kamu pada hari ini?” Beliau menjawab: “Hari ini saya beriman dengan sesungguhnya.”
Kemudian Baginda bersabda: “Cuba tunjukkan hakikat kebenaran yang kamu katakan, kerana segala sesuatu tentu memiliki hakikat kebenaran, jadi apakah hakikat kebenaran imanmu?”
Beliau menjawab: “Sungguh diri saya sudah jemu dengan dunia, sehingga malam hari saya habiskan untuk beribadah dan siang hari berpuasa sehingga seolah-olah saya melihat Arasy Allah dengan sangat jelas, saya melihat ahli syurga sedang kunjung mengunjungi dan penduduk neraka merintih menahan seksa.”
Kemudian Baginda bersabda: “Wahai Harith, kamu sudah mengetahui, maka istiqamahlah” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengulangi sabdanya sampai tiga kali).” (HR Ibnu Hibban)
Selepas melalui proses didikan di bawah asuhan wahyu, akhirnya sahabat tadi mencapai kemuncak ketinggian ilmu dan imannya. Jemu dengan dunia maknanya apa yang diusahakan di dunia ini sudah pun dicapai dengan jayanya, bukan bermakna beliau membenci dunia bahkan menguasai dan memegang kendali dunia. Bagaimanakah cara mencapai apa yang diperoleh sahabat Al-Harith ini?
Hakikatnya orang yang menuntut ilmu mempunyai beberapa tingkatan bergantung dengan seberapa jauh penguasaannya mengenai agama ini. Jibrail pernah mengajarkan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam asas penting mengenai Islam, iman dan ihsan.
Tingkatan pertama berada pada kelas permulaan mendapat jolokan Muslim, kemudian disebutkan ciri iman maka orang yang menuntut pada peringkat ini masuk dalam kategori mukmin dan terakhir yang paling tinggi serta sempurna ialah muhsin iaitu mereka yang bersikap ihsan.
Orang muhsin berada pada peringkat ilmu tertinggi, memiliki perasaan halus mengenai Allah. Dia menjadi pendengarannya dengan itu ia mendengar, menjadi penglihatannya dengan itu ia melihat dan menjadi tangannya dengannya ia memukul dan menjadi kakinya dengannya ia berjalan.
Satu lagi sifat mulia pada diri seorang yang ihsan ialah rasa diawasi Allah. Bayangkanlah bagaimana jika seseorang mengawasi kita, pasti rasa terkongkong, terpenjara dan menderita tetapi berlainan dengan rasa diawasi Allah, ia menjadi suatu kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Seolah-olah kamu melihat Allah, jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Tingkatan ilmu inilah yang disebut ahli makrifah. Antara ciri orang yang diberi makrifah oleh Allah ialah berminat mencari jalan menuju Allah, dekat di sisi-Nya dan mengharap reda-Nya. Jalan menuju Allah mestilah dengan mencari ilmu, meneroka rahsia al-Quran, mengambil petunjuk hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Jika seseorang sudah meningkat kefahamannya mengenai agama, akan lahir satu perasaan halus memujuk jiwanya supaya beralih minat daripada unsur berorientasi duniawi kepada bisikan Allah Subhanahu wa Taala yang menguasai diri.
Kita akan merasai ketenangan apabila berzikir, juga kepuasan ketika mencapai ketinggian ilmu, bahkan kenikmatan apabila menambah yang wajib dengan amalan sunat. Ibadah bukan lagi bebanan berat bahkan cara untuk merehatkan jiwa dan raga. Sudahkah kita mencapai peringkat ini?
Untuk melonjakkan diri kita ke tingkat iman lebih tinggi, sewajarnya kita tidak berehat terlalu lama meninggalkan majlis ilmu, bagaimana mungkin kita meninggalkan proses belajar ilmu yang mengungkap rahsia khusyuk solat.
Ilmu rahsia mengenal Allah melalui ayat-Nya, ilmu mencintai dan membela Rasul Shallallahu ‘alaihi wasallam, ilmu mengenai akhlak yang mengajar kaedah bermuamalah dan toleransi sesama insan, ilmu jiwa yang mengungkap sifat reda, sabar, tawakal, khauf dan raja’, supaya kita boleh mengawal emosi yang mempermainkan hati.
Ilmu mengenai amanah yang mengajak kita bertanggungjawab sebagai seorang bapa, ketua memimpin manusia dan anggota masyarakat yang sedar kewajipan amar makruf nahi mungkar. Islam menyediakan segala-galanya yang diperlukan manusia supaya dia boleh berdiri sebagai khalifatullah.
Islam adalah agama ilmu yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui, al-Quran memecahkan kegelapan dunia dengan cahayanya, menunjukkan kebaikan dan kejahatan supaya jelas dan terang petunjuk daripada Ilahi ke seluruh alam.
Wahyu pertama turun ialah suruhan membaca yang harus dilanjutkan dengan mengkaji, memahami, mendalami, menghayati, beriman, kemudian mengamalkan juga bersabar untuk terus istiqamah, akhirnya membela apa yang diimani itu sehingga Allah reda ke atas diri kita.
Begitulah proses perjalanan makrifah seorang hamba. Mungkin kita masih berada pada salah satu mata rantai daripada proses itu, entah naik entah turun. Ramai orang yang sudah sampai pada peringkat iman tetapi kurang sabar akhirnya jatuh kembali ke bawah.
Racun duniawi nyata memberi perlawanan hebat untuk menghancurkan binaan iman yang lama kita perjuangkan. Sekuat apapun usaha untuk mendapat petunjuk dan makrifat, tidak akan dapat mampu dimiliki melainkan atas kehendak Allah Subhanahu wa Taala.
Hidayah atau petunjuk ke jalan lurus ialah disiplin membabitkan kepercayaan dan keimanan. Ia dianggap perkara utama dalam hirarki beragama bagi seorang Muslim, malah kesempurnaan atau kekurangannya memberikan kesan besar dalam menentukan kecemerlangan dunia dan akhirat.
Perjuangan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengambil masa sehingga 13 tahun di Makkah semata-mata untuk memupuk kemantapan akidah di kalangan generasi terawal Islam agar mudah untuk mendapat hidayah dan petunjuk atau jalan yang benar. Hasilnya, umat Islam pada peringkat awal itu teguh akidah mereka. Umpamanya Bilal bin Rabah, walaupun diseksa sebegitu teruk di tengah terik matahari, dia tetap cekal mengatakan “Allah adalah Esa.” Keluarga Yasir walaupun berdepan dengan hukuman tragis orang kafir, tidak menggadai maruah keimanan mereka.
Tetapi, di akhir zaman ini, akidah umat Islam begitu rapuh malah ibarat biskut yang mudah hancur apabila dicicah dalam minuman. Apa sudah jadi dengan umat Islam zaman siber yang sanggup melakukan pelbagai perbuatan melanggar akidah seperti ajaran sesat, khurafat, bidaah dan lain-lain. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi, antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.” (HR Ahmad)
Hadis ini membuktikan umat Islam akhir zaman mempunyai akidah yang rapuh menyebabkan mereka mudah menukar agama dan mengisytihar diri murtad tanpa rasa bersalah atau malu. Hari ini ada juga golongan yang menjual agama kerana mengejar nikmat dunia, menjual tubuh asalkan dapat hidup mewah dan mengejar habuan dunia seolah-olah agama hanya perkara sampingan.
Ada beberapa perkara yang menjejaskan akidah sehingga sukar mendapat hidayah, tetapi ramai tidak mempedulikan. Dalam aspek ketuhanan misalnya, jika menganggap Allah bertubuh badan, mempunyai jisim dan isi padu seperti makhluk atau membayangkan serta menggambarkan Allah, hukumnya haram dan boleh merosakkan akidah dan menjadi kafir.
Begitu juga dalam aspek kenabian. Jika menganggap Nabi Isa ‘alaihissalam sebagai anak Tuhan atau membawa ajaran Kristian hukumnya menjadi kafir. Jika ada mendakwa wahyu turun kepadanya, seseorang itu juga boleh menjadi kafir kerana wahyu diturunkan Allah sudah sempurna.
Merujuk kepada fahaman bagi sesetengah aliran Syiah yang melampau, mendakwa malaikat Jibril tersalah menurunkan wahyu pada baginda dan yang sepatutnya pada Ali, ia juga bertentangan dengan pegangan majoriti umat Islam.
Dalam realiti sains hari ini dan ketika fahaman pemikiran bebas tanpa pegangan agama cuba mengambil tempat dalam pemikiran umat dunia, orang Islam turut terkena tempias, sehinggakan ada yang terkeliru mengenai keimanan, dosa, pahala, syurga dan neraka.
Ia menjadi bertambah keliru apabila berdepan dengan cabaran pihak terbabit yang berorientasikan bukti logik dan bersandarkan keupayaan akal manusia semata-mata. Sudah pasti perkara seperti itu sukar untuk dijelaskan melalui kuasa akal semata-mata kerana ia membabitkan perkara ghaib (samiyat).
Bagi umat Islam perkara ghaib walaupun sukar dibuktikan dengan akal tetap wajib mereka percaya kerana ia salah satu rukun Iman. Orang tidak percaya mengenai perkara ghaib seperti dosa, pahala, neraka dan syurga akan menjadi kafir. Wahyu dari Allah walaupun tidak boleh dibuktikan dengan akal dan eksperimen sains, wajib diterima. Benda-benda yang tidak nampak itu didatangkan untuk menguji keimanan kita.
Fastajaba lahum - Syeikh Ahmad al-Qathan al-Jauzi
0 Ulasan