Ticker

6/recent/ticker-posts

Isi Bukan Pada Nama

Selepas menamatkan zaman persekolahan dengan keputusan SPM, saya tidak begitu bernasib baik kerana tidak berpeluang menyambung pelajaran terus ke universiti. Tetapi jangan salah sangka, hanya ketinggalan satu semester sahaja iaitu kira-kira enam bulan, apabila akhirnya berjaya masuk ke universiti dalam kemasukan seterusnya. Diringkaskan cerita, hal itu berlaku kerana saya tersilap mengisi program dalam laman web UPU. Apabila berjaya menempatkan diri ke universiti, hati mana yang tidak teruja terutama sekali gagal dalam percubaan kali pertama. Sepanjang tempoh enam bulan, saya menolong ayah ketika itu yang merupakan editor syarikat buku mendapatkan upah membantu kerja beliau.

Ketika awal kemasukan ke universiti, berlaku kejutan budaya kepada diri saya. Terutamanya dalam isu penempatan kolej kediaman pelajar. Ini kerana suasana kolej kediaman yang tak ubah seperti sekolah berasrama penuh cuma lebih sesak dengan perangai penghuni kurang berakhlak. Budaya senioriti begitu menebal dan tidak terkawal. Selain itu wujud juga ketidakselesaan kepada penghuni kolej apabila pelajar senior yang tidak mendapat penempatan telah memasuki mana-mana bilik junior secara haram. Oleh kerana budaya senioriti sangat menebal dan takut diganggu secara fizikal, kebanyakan pelajar hanya beradaptasi menerima sahaja asalkan tidak berlaku sesuatu serius.

Meskipun begitu, ada juga berlaku kes kecurian tetapi agak terpencil. Cuma yang menjadi kerisauan ialah pelajar baru terpaksa mengikuti arahan senior sehingga ke tengah malam semata-mata untuk berlatih tarian 'hakka' demi mendapat tempat pertama pada acara perlawanan antara kolej nanti. Apabila tiba waktunya, kebanyakan pelajar senior kolej akan menjerit-jerit dengan panggilan keji menyuruh turun ke bawah untuk berlatih hampir setiap malam. Yang menjadi-jadi ialah pelajar senior memegang portfolio jawatankuasa kolej, apabila berdiri di beranda sambil memandang pelajar semester satu dengan angkuh daripada atas.

Begitu teruk sekali penghinaan yang diberikan demi memenangi acara tarian 'hakka' dalam pertandingan akan datang. Pernah terjadi satu ketegangan berlaku apabila ada seorang pelajar baru yang sebelum ini tidak hadir diherdik oleh seorang senior dan pelajar tersebut membalas balik dengan marah. Kami yang lain hanya diam sahaja memerhati kerana tidak mahu berlaku sebarang masalah, memandangkan ibubapa menghantar ke universiti untuk belajar dengan baik. Tambahan pula, kami pelajar baru lepasan sekolah kebanyakannya kurang berpengalaman dan agak naif untuk bertindak.

وَلَا تَنَابَزُوْا بِالْاَلْقَابِۗ
"Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk."
(Surah al Hujurat ayat 11)

Selain paksaan mengikuti latihan setiap malam, berlaku juga sesi suai kenal antara senior kolej kediaman dan pelajar baru. Aktiviti ini berlaku sepanjang minggu pertama yang mana setiap malam kami perlu ke bilik setiap pelajar senior yang memegang jawatankuasa kolej kediaman tersebut. Dalam sesi perkenalan biasanya akan diperkenalkan setiap seorang supaya dapat eratkan hubungan satu sama lain. Perkara ini pada zahirnya memang baik dan terpuji. Namun yang menjadi masalah apabila mereka akan memberikan nama gelaran kepada pelajar baru berdasarkan kisah yang diceritakan. Perkenalan itu melibatkan pelajar baru berkongsi kisah hidup mereka secara ringkas kepada semua yang ada di dalam bilik itu diselangi dengan hilai tawa dan gurau senda. Setelah perkenalkan diri masing-masing, setiap seorang akan diberikan nama gelaran yang buruk. Jika ada yang masih belum diberikan nama gelaran, senior lain akan ambil peluang berikan pada kesempatan lain.

Secara peribadinya, hal ini termasuk dengan diri saya sendiri. Walaubagaimanapun, nama tersebut tidak lekat pada diri saya kerana setiap kali ada yang memanggil saya dengan gelaran tersebut tidak akan saya layan. Hasilnya, gelaran tersebut tidak lagi disebut apabila ingin memanggil saya. Namun, ada juga yang nama gelarannya masih digunakan kerana mereka tidak tegas mengabaikan hal demikian. Sehingga nama sebenar mereka tidak diketahui berbanding nama gelaran. Begitulah sketsa kehidupan di awal alam universiti. Sebelum memasukinya, tanggapan saya menganggap ianya satu institusi keramat yang penuh dengan budaya ilmiah dan akhlak baik. Namun, harapan saya jauh meleset. Nama bukanlah penentu isi kepada sesuatu. Nama gah dan baik sekalipun boleh menjadi lekeh dan teruk sekiranya kualiti yang kita isikan itu rendah. Contohnya ialah pusat tahfiz sekalipun jika tidak ditapis dan dikumpulkan anak-anak bermasalah yang tidak diberi perhatian, besar kemungkinan menghasilkan isu baru di dalam pusat tersebut seperti buli, gangguan seksual, dan penyalahgunaan dadah.

فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْبَعْثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ
"Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kerahmatan, kemaslahatan dan hikmah. Maka setiap perkara yang berubah dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia maka ia bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya".
(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail)

Sepertimana yang dinukilkan oleh Jabatan Mufti Perlis dalam laman web rasminya, Ibn Qayyim memberitahu kita bahawa sekalipun sesebuah perkara itu dipaparkan sebagai syariah Islam, namun jika pelaksanaannya tidak mengikut apa yang dibawa Islam, maka itu bukanlah benar. Hal ini boleh juga kita kaitkan dengan konsep lain. Walaupun sesebuah tempat itu dijenamakan sebagai pusat didikan akhlak murni dan penyuburan ilmu, namun apabila pelaksanaan dalaman dibiarkan ke tangan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keliaran kepada ahli yang lain, tidak boleh kita biarkan dan berpuas hati dengan paparan luaran semata-mata. Tujuan pendidikan bukan pada pencapaian akademik sahaja lalu membiarkan sahsiah pelajar sewaktu menginap di dalam kawasan universiti menjadi tidak terkawal.

Pada 18 Julai 2010, jam 10.30 malam, Ahmad Zulhelmi, yang ketika itu pelajar diploma Sains Kuantitatif mendakwa telah dibelasah oleh sebelas orang senior beliau. Bagaimanapun, pada tahun 2012, kesemua senior beliau yang diwakili oleh peguam telah memohon maaf terhadap beliau di dalam mahkamah sepertimana dilaporkan oleh Astro Awani. Begitulah ragam dunia, permohonan maaf hanya diterima apabila tindakan undang-undang dibuat. Jika tiada apa-apa tindakan mahupun laporan, pesalah dapat menikmati kehidupan bebas tanpa hukuman manakala mangsa terkontang-kanting bergelut dengan trauma peribadi.




























Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement