Ticker

6/recent/ticker-posts

Perbezaan Pendapat Di Dalam Islam dan Ramadhan Sebagai Pemangkin

Seperti yang kita sedia maklum, agama Islam adalah tulen dan satu-satunya diterima Allah berdasarkan ayat 85 di dalam surah Ali Imran. Selain itu, ketulenannya juga mampu dibuktikan bukan sekadar dengan kepercayaan semata-mata tetapi dibuktikan dengan pendekatan logik. Ini sebagaimana dibawa oleh sarjana Islam seperti Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik yang mana berhujah dengan pelbagai lapisan pemikiran berhujahkan pemikiran yang logik. Contohnya ialah Islam agama yang betul kerana agama lain tidak ada kesahihan dalam kitab-kitab mereka yang mana menggunakan akal dan emosi para agamawan mereka untuk menipu orang bawahan sebagaimana dikaji dan diceramahkan oleh Zakir Naik sewaktu beliau datang ke Johor Bahru pada tahun 2012.
Setelah mengetahui bahawa Islamlah agama yang paling selamat sesuai dengan maksudnya secara literal, ramai yang gagal memahami erti mereka menganut Islam dari segi perbezaan pendapat. Ini dapat kita perhati apabila berlaku perbezaan pendapat dalam sesuatu isu maka ‘orang bawahan’ atau ‘pengikut’ akan lebih kuah dari sudu kerana emosi dan seolah pendapat mereka sahaja betul dalam agama ini. Amatlah silap sekali perbuatan tersebut kerana tidak mengikut ajaran Islam sepertimana arahan Allah,
فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ
Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur`an) dan Rasul (sunnahnya) [Surah an-Nisa’:59]
Sebagaimana ayat di atas, adalah menjadi kewajipan kita untuk kembali rujuk kepada al-Qur’an dan Hadis tentang sesuatu perkara yang kita perselisihkan bukan dengan mengejek dan merendahkan orang lain seolah kitalah yang paling alim dan bijak dalam Islam. Sebab itulah jika kita perhatikan terdapat empat (4) mazhab yang terkenal dalam Islam iaitu Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi yang mana pada hemat para ulama’ ke empat-empat mazhab itu adalah diterima dan boleh diamalkan. Contoh yang paling mudah dalam Malaysia ialah mazhab rasminya adalah Syafie namun tidak salah untuk kita beramal dengan mazhab lain kerana dalam hal mengeluarkan zakat, Malaysia tidak ikut pendapat Syafie yang mana tidak menerima penggunaan wang, tetapi perlu dikeluarkan dengan makanan asasi sesuatu tempat iaitu beras jika di Malaysia.
Saya tertarik dengan analogi mudah seorang ahli di dalam satu forum maya yang mana dia berikan contoh kenderaan dan sekolah. Dalam Islam, ibadah adalah ibarat pergi ke sekolah manakala perbezaan pendapat adalah sama ada menaiki bas, kereta, basikal atau motorsikal. Apa yang penting adalah kita sampai di sekolah dan belajar bukannya kita bertelagah bagaimana caranya untuk sampai ke sekolah. Tetapi yang menyedihkan sekarang ialah ramai orang bergaduh hanya dengan isu beza pendapat tetapi apabila melihat orang lain membuat kemaksiatan, diam seperti tikus. Hal yang paling jelas ialah qunut Subuh dan merokok. Qunut Subuh adalah pandangan mazhab Syafie sahaja tetapi jika seseorang itu tidak melakukan qunut kerana mengikut pendapat lain, dia akan dipandang serong dan dianggap sesat manakala orang yang menghisap rokok dianggap normal dan merasa biasa.
Kenapa saya letakkan Ramadhan sebagai pemangkin kepada isu ini adalah untuk membuatkan kita berfikir sejenak. Apa yang ada di dalam bulan Ramadhan ialah satu malam yang lebih baik dari seribu bulan seperti diterangkan dalam ayat 3 surah al-Qadr, iaitu malam lailatul qadar. Pernahkan kita duduk sebentar dan fikir kenapa Allah rahsiakan malam tersebut dari pengetahuan hamba-Nya? Alasan saya yang paling mudah ialah kerana Dialah yang memberi kita peluang untuk berlumba membuat amalan untuk akhirat kelak. Jika kita sudah tahu bila malamnya, akan ada satu perasaan sambil lewa. Ini kerana kita hanya akan beribadah sepenuhnya pada malam tersebut tetapi pada malam atau hari yang lain kita lupa serta lalai terhadap Allah, membuat kemaksiatan dan kemungkaran.
وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Dan barangsiapa yang menegakkan lailatul qadar kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosa yang telah dikerjakannya.[Bukhari]

            Inilah hikmah di dalam Islam, apa yang penting ialah keikhlasan beribadah kepada Allah dan mengikut sunnah Rasulullah. Bukannya bertelagah siapa betul siapa salah dan menghukum orang lain sesat pada takwilan mereka sendiri.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code

Responsive Advertisement