Akhlak ialah tingkahlaku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang dan sikap yang menjadi sebahagian daripada keperibadiannya.
Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar daripada konseps dan gambarannya terhadap hidup. Dengan perkataan lain, nilai-nilai dan sikap itu terpancar daripada akidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan diyakininya.
Akidah yang benar dan gambaran tentang kehidupan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh kepalsuan, khurafat dan falsafah-falsafah serta ajaran yang palsu, akan memancarkan nilai-nilai benar yang murni di dalam hati. Nilai-nilai ini akan mempengaruhi pembentukan sistem akhlak yang mulia.
Sebaliknya, jika akidah yang dianuti dibina di atas kepalsuan dan gambarannya terhadap hidup bercelaru dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai fahaman palsu, ia akan memancarkan nilai-nilai buruk di dalam diri dan mempengaruhi pembentukan akhlak yang buruk.
Akhlak yang baik dan akhlak yang buruk, merupakan dua jenis tingkahlaku yang berlawanan dan terpancar daripada dua sistem nilai yang berbeza. Kedua-duanya memberi kesan secara langsung kepada kualiti individu dan masyarakat. Individu dan masyarakat yang dikuasai dan dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang baik akan melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera.
Begitulah sebaliknya jika individu dan masyarakat yang dikuasai oleh nilai-nilai dan tingkahlaku yang buruk, akan porak peranda dan kacau bilau. Masyarakat kacau bilau, tidak mungkin dapat membantu tamadun yang murni dan luhur.
1. Memelihara Kemuliaan Insan
Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula daripada pembinaan sistem nilai yang kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terpancar daripada akidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadanya. Justeru, akhlak mempunyai peranan yang penting di dalam kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhurannya. Martabat manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati dan dihayati. Oleh kerana itu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina keluhuran peribadi dan tamadun manusia. Akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta ketinggian hidup manusia di bumi ini.
Kepentingan akhlak dalam kehidupan dinyatakan dengan jelas dalam Al-Ouran menerusi berbagai-bagai pendekatan yang meletakkan al-Quran sebagai sumber pengetahuan tentang nilai dan akhlak yang paling terang dan jelas. Pendekatan al-Quran dalam menerangkan akhlak yang mulia, bukan pendekatan teoritikal tetapi dalam bentuk konseptual dan penghayatan..
Akhlak yang mulia dan akhlak yang buruk digambarkan dalam perwatakan manusia, dalam sejarah dan dalam realiti kehidupan manusia semasa al-Quran diturunkan.
Al-Quran menggambarkan bagaimana akidah orang-orang beriman, kelakuan mereka yang mulia dan gambaran kehidupan mereka yang penuh tertib, adil, luhur dan mulia. Berbanding dengan perwatakan orang-orang kafir dan munafiq yang jelek dan merosakkan. Gambaran tentang akhlak mulia dan akhlak keji begitu jelas dalam perilaku manusia sepanjang sejarah.
Al-Quran juga menggambarkan bagaimana perjuangan para rasul untuk menegakkan nilai-nilai mulia dan murni di dalam kehidupan dan bagaimana mereka ditentang oleh kefasikan, kekufuran dan kemunafikan yang cuba menggagalkan tertegaknya dengan kukuh akhlak yang mulia sebagai teras kehidupan yang luhur dan murni itu.
2. Akidah Mencorakkan Akhlak
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, nilai-nilai akhlak yang dipegang oleh seseorang dan sesuatu kebudayaan itu adalah hasil daripada akidah dan gambaran tentang kehidupan itu. Pembentukan nilai-nilai akhlak itu bergantung kepada bagaimana manusia memberikan jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang asasi dalam hidup.
Siapakah yang mencipta alam ini dan apakah tujuannya? Apakah tujuan manusia ditempatkan di bumi dan apakah tujuan dan matlamatnya yang sebenar? Jawapan-jawapan kepada persoalan asas berkenaan kehidupan ini akan menentu dan mencorak nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kebudayaan. Oleh kerana terdapat berbagai- bagai jawapan kepada persoalan tersebut, maka terdapat pelbagai sistem nilai di dalam masyarakat manusia yang mencorakkan pelbagai sikap dan tingkahlaku yang membentuk berbagai-bagai kebudayaan.
Al-Quran telah memaparkan pelbagai golongan yang memberi jawapan berbeza kepada persoalan-persoalan asasi kehidupan yang membentuk konsepsi dan akidah tentang kehidupan ini. Terdapat akidah orang-orang beriman, akidah orang-orang kafir, akidah orang-orang fasik dan akidah orang-orang munafiqin.
Akidah orang-orang beriman dinyatakan dalam al-Quran sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Taala, kepada Rasul-Nya dan kepada keagungan Allah yang mencipta dan memiliki alam ini. Mereka yakin kepada hari akhirat, yakin bahawa kejadian Allah tidak terbatas kepada alam lahir sahaja dan kejadian Allah itu tidak terbatas dalam lingkungan yang dapat diketahui oleh manusia. Kerana itu mereka percaya kepada kejadian Allah yang ghaib, seperti malaikat, syurga, neraka dan adanya makhluk-makhluk Allah yang lain yang tidak diketahui oleh manusia dan pengetahuan manusia tidak menjadi syarat bagi menentukan sesuatu kejadian Allah harus ada atau tidak ada.
Allah Subhanahu wa Taala bebas mengikut kehendak-Nya, untuk mencipta atau tidak mencipta sesuatu yang ada di dalam ilmu-Nya.
Akidah ini menyebabkan orang-orang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah Subhanahu wa Taala dan tidak bergantung harap kepada yang lain daripada-Nya.
Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah kepada Allah dan setiap tindak tanduk dan kelakuan serta tindakannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. Keredhaan Allah dan beribadat kepada Allah menjadi tumpuan dan pemusatan setiap aspek kegiatannya.
Pergantungan semata-mata kepada Allah memberikan kepada seorang mukmin itu kebebasan dan tidak terikat kepada mana-mana kuasa lain daripada Allah. Daripada perasaan inilah tercetusnya pengakuan seorang muslim bahawa “Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Subhanahu wa Taala.”
Manusia beriman yang sebenarnya, tidak mungkin menyembah kepada yang lain daripada Allah, tidak memperjuangkan sesuatu yang dicipta oleh mana-mana kuasa selain daripada yang ditentukan di dalam agama Allah Taala. Allah bagi mereka adalah Tuhan Yang Maha Sempuma, Maha berkuasa dan kepada Dia-lah tumpuan segala ibadah dan segala yang baik sama ada niat atau amalan. Lihatlah bagaimana pendirian yang bebas, tegas dan berani yang ditunjukkan oleh seorang mukmin yang sejati Rab’i bin Amir ketika berhadapan dengan Panglima Rum:
“Allah sesungguhnya mengutus kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya dan keluasan akhirat, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
Seorang mukmin berjiwa bebas, tetapi bukan sebagai debu berterbangan di udara. Kebebasan seorang mukmin sentiasa mendapat panduan dan bimbingan. Justeru, ia tidak berkelana dan hidup tanpa tujuan. la sentiasa bergerak bebas dengan memiliki peta yang menunjukkan haluan pergerakan dan perjalanannya. la sentiasa bertindak mengikut petunjuk Allah dan berpandu kepadanya.
Seorang mukmin berperasaan halus dan berhati lembut kerana keyakinannya bahawa ia adalah hamba kepada Allah Subhanahu wa Taala. Segala perbuatannya akan dinilai dan dihitung serta diberikan balasan atau ganjaran dengan adil dan saksama. Wawasannya, tidak semata-mata untuk mendapatkan habuan dan ganjaran di dunia, tetapi juga di akhirat.
Tentunya, ganjaran di akhirat adalah lebih baik daripada di dunia. Kerana itu, ia sanggup mengorbankan kurniaan Allah di dunia, untuk mendapatkan kurniaan Allah di akhirat.
Akidah dan pandangan hidup yang asas ini, memancarkan nilai-nilai yang murni dalam jiwa orang-orang beriman. Nilai-nilai ikhlas untuk Allah Subhanahu wa Taala dan tidak tunduk beribadah melainkan kepada Allah Subhanahu wa Taala adalah merupakan nilai yang agung yang membentuk akhlak yang murni dan jiwa yang luhur dalam kehidupan orang-orang beriman. Ia membentuk akhlak terhadap Allah Subhanahu wa Taala dan akhlak terhadap sesama manusia.
Hubungan manusia dengan Allah Subhanahu wa Taala dan kelakuannya terhadap Allah ditentukan mengikut nilai-nilai akidah yang ditetapkan. Begitu juga akhlak terhadap manusia dicorakkan oleh nilai-nilai akidah seorang muslim, sepertimana yang ditetapkan di dalam al-Quran yang merupakan ajaran dan wahyu daripada Allah.
Pergaulan manusia dengan manusia tidak boleh disamakan dengan perhubungan manusia dengan Allah Subhanahu wa Taala.
Akidah dan pegangan seorang beriman berbeza dengan akidah dan pegangan seorang kafir.
Justeru, nilai-nilai dan akhlak juga berbeza. Al-Quran memaparkan akidah dan pegangan orang-orang kafir dalam pelbagai kategori, justeru terdapat pelbagai bentuk kekufuran yang berlaku di kalangan umat manusia. Antara kekufuran yang berlaku disebabkan mereka menolak ajaran yang benar yang dibawa oleh utusan Allah dan mereka menafikan kerasulan utusan itu. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
“Maka berkata pembesar-pembesar yang kafir itu dari kalangan bangsanya, ini tidak lain daripada manusia seperti kamu. Ia hendak menonjolkan diri supaya lebih daripada kamu. Jika Allah hendak turunkan utusan, Dia akan turunkan malaikat . Kita tidak mendengar dari bapa-bapa kita yang terdahulu mengenai ini (utusan Allah dari kalangan manusia).” (al-Mukminun: 24)
Kekufuran juga berlaku kerana tidak percayakan hari akhirat. Kerana percaya bahawa tidak ada kehidupan selepas mati, mereka hidup berfoya-foya di dunia ini tanpa memikirkan seksaan di akhirat. Bagi mereka seperti yang dinyatakan oleh al-Quran “kehidupan ini cuma di dunia.” Manusia dilahirkan dan kemudian mati, mereka tidak dibangkitkan kembali, seperti kata mereka:
“Kehidupan kita tidak yang lain daripada kehidupan di dunia. Daripada tiada kita ada dan hidup. Apabila mati kita tidak dibangkitkan lagi.”
Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Dan berkata pembesar-pembesar dari bangsanya yang kafir dan mendustakan kehidupan akhirat dan kami jadikan berfoya-foya dalam kehidupan mereka di dunia, orang ini, hanyalah seorang manusia seperti kamu. ia makan dari apa yang kamu makan dan minum dari apa yang kamu minum.” (al-Mukminun: 33)
Kekufuran juga berlaku disebabkan sifat bongkak dan sombong serta ingkar kepada perintah Allah dan angkuh terhadapnya. Allah berfirman berkenaan kekufuran Iblis:
“Dan ketika Kami berkata kepada malaikat sujudlah kepada Adam. Mereka pun sujud, kecuali lblis. la ingkar dan takabur dan ia daripada orang-orang kafir.” (al-Baqarah: 34)
Akidah orang-orang kafir yang sombong terhadap Allah Subhanahu wa Taala, yang tidak percaya kepada para rasul yang diutus oleh Allah dan ajaran-ajaran yang mereka bawa, yang tidak percaya kepada hari akhirat dan tidak patuh kepada hukum-hukum Allah dengan ingkar kepada hukum-hukum itu, membentuk nilai-nilai kelakuan dan cara hidup yang menjurus ke arah kehidupan yang tidak berakhlak mulia dan luhur. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Muhammad: 12)
Mereka tidak mempunyai matlamat yang murni dan abadi dalam kehidupan mereka. Kehidupan ini bagi mereka mencari makan, mencari harta dan berfoya-foya semata-mata untuk di atas dunia ini. Itulah sahaja kehidupan mereka. Selain daripada itu, tiada matlamat yang jauh yang hendak dituju. Pandangan dan cara hidup mereka ini, sudah tentu mempengaruhi pembentukan akhlak mereka yang pincang dan bercelaru.
Satu lagi akidah kekufuran yang berbahaya ialah munafiq yang “pepat di luar rencung di dalam”, “telunjuk lurus kelingking berkait.” Bahaya kekufuran ini sangat dahsyat kerana sikap pemusuhan dan dendam mereka terhadap orang-orang yang beriman.
Gambaran tentang akidah mereka penuh dengan gambaran kepura-puraan. Mereka mengaku beriman, tetapi mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka berpura-pura percaya kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam yang diutus oleh Allah Subhanahu wa Taala tetapi dalam hati mereka benci dan memusuhi baginda. Mereka memandang rendah kepada ajaran Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dan sering mempertikaikan ajaran itu. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
“Dan di kalangan manusia ada yang berkata: “kami beriman dengan Allah dan Hari akhirat.” Pada hal mereka bukan daripada orang-orang beriman.” (al-Baqarah: 8)
Akidah munafiqin, melahirkan sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan keji yang mewakili akhlak yang buruk. Untuk menyembunyikan kekufuran, mereka berdusta, memutar belitkan kebenaran, memungkiri janji dan mengkhianati amanah. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara yang sesiapa yang mempunyainya di dalam diri maka ia adalah munafiq. Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji tidak dikotakan dan apabila diberi amanah ia khianat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Nilai-Nilai Mutlak Dan Relatif
Selain daripada memaparkan konsep dan penghayatan akhlak secara konseps dan praktikal dan membezakan antara akhlak orang yang beriman dan orang yang kafir berasaskan kepada perbezaan akidah mereka, al-Quran menghuraikan pengertian akhlak Islam yang didokong dan dihayati oleh orang beriman.
Akhlak Islam dijelaskan berdasarkan kepada model insan kamil yang terdapat dalam diri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang telah merealisasikan pengertian akhlak al-Quran dalam kehidupan yang realistik. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dikatakan sebagai al-Quran yang berjalan.
Aishah ra. berkata ‘Adapun akhlak baginda ialah al-Quran’. Kerana itu nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam ialah nilai-nilai mutlak. Nilai-nilai asas ini, tidak bersifat relatif atau nisbi. Nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam, tidak berubah-ubah mengikut zaman dan tempat. Ia tidak hanya baik pada masa yang lalu dan tidak baik untuk masa sekarang.
Apa yang diperakukan oleh al-Quran dan al-Sunnah sebagai baik, maka ia adalah baik untuk sepanjang zaman dan tempat. Apa yang dianggap tidak baik, maka ia adalah tidak baik untuk selama-lamanya. Apa yang baik adalah halal dan yang buruk dan tidak baik itu adalah haram. Perkara halal dan yang haram diterangkan dengan jelas.
Nilai-nilai yang baik dan buruk diprogramkan ke dalam hukum-hukum yang menentukan sama ada sesuatu perkara itu boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan, yang mesti dilakukan atau tidak mesti dilakukan, atau mesti ditinggalkan atau dijauhkan. Hukum-hukum itu ialah wajib, sunat, haram dan makruh. Perkara-perkara yang telah diprogramkan ke dalam hukum-hukum ini adalah mutlak sifatnya. Akan tetapi perkara-perkara yang termasuk dalam perkara harus adalah relatif sifatnya.
Nilai-nilai akhlak Islam, berbeza dengan nilai-nilai tamadun Barat yang semata-mata bergantung kepada akal dalam menentukan nilai-nilai baik dan tidak baik. Kerana itu, kebanyakan nilai-nilai dalam tamadun barat bersifat relatif.
Pada hari ini ia difikirkan sebagai baik dan di masa yang lain ia ditolak sebagai baik. Begitu juga yang dipandang buruk pada hari ini, tidak lagi dianggap demikian pada masa yang lain. Homoseksual dan Lesbian, dahulu dianggap haram dan tidak baik. Sebaliknya hari ini perbuatan itu dihalalkan dan dibenarkan sebagai legal serta mendapat hak-hak dan perlindungan perundangan. Kenisbian nilai-nilai akhlak ini, menimbulkan huru hara nilai yang mengakibatkan kepincangan akhlak.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam adalah contoh seorang hamba Allah yang bersyukur iaitu contoh berakhlak mulia dan tinggi dalam hubungan dengan Allah Subhanahu wa Taala. Ini berasaskan kepada peribadahan yang dilakukannya dengan penuh ikhlas mengikut sistem peribadahan yang ditentukan oleh Allah sebagaimana firman-Nya:
“Mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas serta mempunyai sistem agama.” (al-Bayyinah: 5)
Orang-orang kafir musyrik yang beribadah kepada yang lain daripada Allah adalah manusia yang tidak berakhlak dan berlaku biadab terhadap Allah. Abu Lahab, Firaun, Namrud dan lain-lain adalah contoh manusia yang tidak berakhlak dan biadab terhadap Allah. Mereka takbur, bongkak dan sombong. Mereka melakukan kemungkaran, kezaliman dan kerosakan di bumi akibat daripada kesyirikan mereka terhadap Allah. Nilai-nilai syirik menjadikan mereka manusia yang tidak bermoral dan makhluk perosak yang meluas seperti di kalangan generasi baru masyarakat barat.
4. Model Akhlak Al-Quran
Akhlak Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam adalah model akhlak-akhlak mulia yang dihurai dan dijelaskan dalam al-Quran. Keterangan jelas berkenaan konsep akhlak mulia dalam al-Quran, bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dilaksanakan. Contoh kepada penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam seorang mukmin yang terulung. Seorang yang telah diasuh dan dipelihara akhlaknya oleh Allah untuk dijadikan seorang rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan teladan sepanjang zaman. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
“Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung.” (al-Qalam: 4)
Juga firman-Nya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (al-Ahzaab: 21)
Rasulullah dan para sahabat yang beriman dengannya, adalah para hamba Allah yang tekun mengerjakan ibadat dan tunduk khusyu’ merendah diri kepada Allah, takut dan mengharap kepada-Nya, bertawakal serta bersyukur kepada-Nya. Wajah mereka berbekas kesan daripada sujud. Pada waktu siang mereka menjadi pahlawan gagah membela agama Allah. Sedangkan pada waktu malam air mata mereka berlinang kerana insaf dan memohon keampunan daripada Allah. Al-Quran menggambarkan pengabdian mereka kepada Allah dengan firman-Nya:
“ Nabi Muhammad (Sallallahu ‘alaihi wasallam) ialah Rasulullah dan mereka yang bersama dengannya tegas terhadap orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang dan belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Kamu melihat mereka ruku’ dan sujud dengan mengharapkan limpah kumia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang saleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud.” (al-Fath: 29)
Rasulullah paling banyak beribadah dan paling bertaqwa, tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kewajipan manusia yang lain. Isteri baginda ‘Aishah hairan kerana baginda begitu tekun beribadah kepada Allah.
Pada suatu ketika ‘Aishah bertanya, mengapa baginda begitu tekun dan kuat beribadah, pada hal Allah sedia mengampuni dosa baginda yang terdahulu dan terkemudian. Rasulullah menjawab:
“Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bersyukur adalah akhlak yang tinggi dan mulia dalam hubungan dengan Allah. Bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah, kemuncak daripada tujuan beribadah. Membentuk diri menjadi hamba Allah yang bersyukur, mercu kejayaan dalam usaha membentuk insan kamil yang meredhai Allah dan diredhai Allah. Kesyukuran itu, menambahkan lagi kesayangan Allah dan sentiasa mendapat tambahan nikmat-nikmat-Nya sebagaimana firmanNya:
“Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7)
Rasulullah adalah contoh manusia yang bersyukur kepada Allah dan kesyukurannya itu dilafazkan menerusi amalan ibadahnya kepada Allah. Ini ditambahi pula dengan ingatan yang tidak putus-putus terhadap Allah dan menjadikan seluruh kehidupannya dalam suasana beribadah kepada Allah semata-mata.
Beribadah dalam pengertian bersolat, berzikir, berpuasa dan amalan-amalan kerohanian yang lain dilakukan tanpa mengurangkan tanggungjawab dalam hubungan antara sesama manusia, seperti yang diperintahkan oleh Allah seperti yang dinyatakan-Nya dalam al-Quran:
“Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.” (Ali Imran: 112)
Justeru, al-Quran menggariskan prinsip-prinsip bagi mewujudkan sistem yang mengatur hubungan dengan Allah. menerusi ibadah dan taqwa serta sistem yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia. Sistem ini menjamin jalinan hubungan yang berasaskan akhlak yang dapat membebaskan manusia dari kehinaan dan dapat meningkatkan martabat mereka menuju kemuliaan dan kehormatan.
Pada suatu ketika Rasulullah mendengar perbualan beberapa orang sahabat tentang ibadat mereka. Seorang berkata, ia akan bersolat sepanjang malam. Sahabat yang lain pula berkata ia akan berpuasa setiap hari sementara seorang lagi berkata ia akan tidak berkahwin untuk menumpukan kepada ibadat. Rasulullah mendengar perbualan mereka lantas berkata, “Kamukah yang berkata demikian, demikian. Akulah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Akan tetapi aku solat dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka puasa malah aku mengahwini wanita-wanita.”
Tumpuan kepada ibadah khusus dalam menguatkan hubungan dengan Allah tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab dalam hubungan dengan manusia yang juga merupakan ibadah apabila dilakukan untuk keredhaan Allah serta melaksanakan perintah dan arahan-Nya.
5. Akhlak Terhadap Sesama Islam
Al-Quran dan al-Sunnah yang menterjemahkan ajaran al-Quran ke dalam realiti kehidupan, menggariskan akhlak-akhlak mulia dalam hubungan antara sesama orang-orang beriman, secara terperinci.
Hubungan antara sesama orang beriman itu diasaskan kepada persaudaraan. Persaudaraan yang sentiasa digerak dan dihidupkan, diperbaiki dan diperkukuhkan. Allah berfirman:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu.” (al-Hujuraat: 10)
Persaudaraan itu diikat dengan kasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama lain. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dari segi saling berkasih sayang dan berkasihan belas, adalah seperti jasad apabila satu anggota mengadu sakit, membawa seluruh jasad turut berjaga malam dan demam.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Perasaan kasih sayang terhadap sesama umat Islam adalah komponen yang membentuk iman. Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah mengandungi perasaan kasih kepada kedua-duanya. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihinya daripada yang lain dari kedua-duanya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam hubungan ini, kasih kepada orang beriman telah dikaitkan dengan kesempurnaan iman. lni menunjukkan bagaimana pentingnya nilai kasih sayang itu dalam kehidupan dan pergaulan sesama orang-orang beriman. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Hakim)
Nilai kasih sayang yang disemai dalam diri para mukmin sebagai menyambut arahan Allah dalam al-Quran dan ajaran Rasulullah dalam sunnahnya. la bertujuan untuk membina dan membentuk akhlak murni di kalangan orang-orang beriman dalam pergaulan antara sesama mereka. Pertemuan dan perjumpaan antara sesama Islam hendaklah dalam keadaan wajah yang berseri-seri dan manis, yang dijelmakan dalam senyuman. Rasulullah sbersabda yang bermaksud:
“Melemparkan senyuman kepada wajah saudaramu adalah sedekah.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Ini diikuti dengan mengucap selamat serta memberi salam untuk memulakan hubungan dan pertemuan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
”..Sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Seterusnya, Rasulullah menggariskan peraturan-peraturan memberi salam secara terperinci yang boleh dirujukkan kepada kitab-kitab hadith.
Bagi memupuk perasaan kasih sayang serta memperkukuhkan keimanan, Allah dan Rasul-Nya melarang tindakan-tindakan sama ada dengan perbuatan atau perkataan yang boleh membawa kepada terputusnya hubungan persaudaraan dan silaturrahim di kalangan orang beriman. Begitu juga perlakuan yang buruk yang menjatuhkan martabat dan ketinggian orang beriman.
Allah melarang penyebaran maklumat yang berkaitan dengan keburukan yang dilakukan dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, Islam memberi kebenaran melakukan pendedahan keburukan yang berkaitan dengan perlakuan zalim apabila dibuat di mahkamah semata-mata untuk menegakkan keadilan. Begitu juga saksi dan orang yang teraniaya boleh mendedahkan kezaliman yang dilakukan oleh seseorang untuk menegakkan keadilan. Allah berfirman:
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang melainkan mereka yang dizalimi.” (al-Nisaa’: 148)
Keburukan yang dilakukan oleh seseorang mukmin hendaklah disembunyikan. Jika keburukan itu berkaitan dengan pencabulan terhadap keadilan, ia hendaklah diadili di mahkamah dan dihukum jika disabit kesalahan. Walau bagaimanapun, berita berkenaan kesalahan dan hukuman yang dikenakan tidak boleh didedah dan disebarkan untuk dijadikan bahan perbualan orang ramai. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)
0 Ulasan